Sunday, September 9, 2012

Bersih yang kotor, syaitan yang baik…

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. **************** Renungan ******************** Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim) ******************** HANYA sesekali saya menonton TV. Tatkala menonton, terlihatlah iklan propaganda murahan seperti ‘Bersih yang kotor’ dan ‘Saya pilih mengundi’. *************************** Ya, sejak akhir-akhir ini media massa termasuk TV diperkudakan semahu-mahunya oleh sang penguasa demi kesinambungan politiknya untuk berkuasa dulu, kini, dan selamanya. Apabila ketamakan untuk berkuasa menguasai diri, maka keharmonian alam termasuk susunan tata kehidupan dilanggar sekehendak nafsu. ****************************** Kini kecelaruan semakin bermaharajalela di kalangan orang awam. Perkara baik dan buruk bercampur aduk, masyarakat kian keliru. Misalnya, apa maksud bersih yang kotor, dan akhir-akhir kita digembar-gemburkan dengan ungkapan ‘syaitan yang dikenali lebih baik daripada malaikat yang tidak dikenali’? **************************** Masakan orang awam tidak ‘confuse’ (terkeliru), kerana keharmonian alam (termasuk dari segi laras bahasa seperti baik macam malaikat, jahat macam syaitan; apakah kita mahu menterbalikkannya...) sudah jadi tunggang langgang; bersih dikatakan kotor manakala ada syaitan pula lebih baik daripada malaikat…kita khuatir nanti akan muncul pelbagai pelanggaran lagi yang sudah pasti membingungkan anggota masyarakat termasuklah budak-budak sekolah. Akan tertanya-tanyalah mereka apa itu bersih yang kotor dan syaitan baik…! ***************************** Bagi penulis, kehidupan kita adalah mudah, tetapi manusia sendiri merumitkannya. Sesetengah orang termasuk pemimpin cenderung atau sengaja ‘mencari pasal pada perkara yang tidak ada pasal’. ************************************* Misalnya, sejak kecil kita sudah ditancap dengan Rukun Iman yang enam termasuk percaya kepada malaikat; kita tahu makhluk ini paling taat kepada Allah manakala iblis (syaitan) makhluk paling kufur, jadi tidak timbul langsung ada syaitan lebih baik daripada malaikat. *********************************** Namun apabila ada orang menimbulkan ‘kununnya’ ada syaitan lebih baik daripada malaikat…orang ini tidak wajar dilayan…ada yang tidak kena dengannya. Lebih baik lupakannya, sebaliknya tumpukan kepada kehidupan kita untuk membuat sebanyak mungkin kebaikan sebelum kita dipanggil-Nya. **************************** Firman Allah SWT melalui ayat 179 Surah Al-A’raf bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai." ********************************** Berhubung kejahatan syaitan, di sini saya memetik pesanan ibu saya yang disampaikan dalam satu pertemuan keluarga tidak lama dulu. Apa ditekankan di sini adalah supaya kita awasi syaitan manusia (mereka inilah yang membuat onar dalam masyarakat) agar kita tidak disesatkan daripada mengikuti jalan lurus! ********************************* “Dalam Surah An-Nas, yang ertinya manusia kita diminta berlindung kepada Allah daripada sebesar-besar musuh yang terdiri daripada jenis iblis dan suku-sakatnya. Ada pun yang dapat menggoda yakni membisikkan hati sehingga terpesona dan mengikut atau menurut saja pihak yang menggodanya ialah syaitan daripada bangsa jin dan manusia. **************************** “Tidak syak lagi syaitan daripada bangsa manusia itu lebih jahat dan sangat bahaya berbanding syaitan daripada bangsa jin. Apabila orang membaca ‘istiazah’ yakni meminta perlindungan Allah, syaitan akan bersembunyi sedangkan syaitan daripada bangsa manusia, dia akan sentiasa memperlihatkan perbuatan keji dan mungkar dengan pelbagai perhiasan yang menarik sehingga dipandang indah dan tidak akan undur sedikit pun malahan akan terus menggoda termasuklah percakapan yang manis-manis. ************************** “Waspadalah kita semua kerana manusia itu termasuklah datuk nenek, ibu bapa, suami atau isteri, anak-anak, cucu, adik beradik, ipar duai, mentua, sanak saudara, sahabat handai dan jirannya tertangga. Orang yang terselamat daripada godaan syaitan jin dan manusia hanyalah orang yang diperlihara oleh Allah, orang yang ikhlas dalam amal perbuatannya. ************************* “Kalau dijaga dengan baik, manusia itulah yang paling mulia antara segala makhluk. Ada banyak ayat (firman) Allah di dalam al-Quran mengingatkan kita manusia supaya jangan ikutkan nafsu, nanti kita terjerumus ke lembah hina, lebih teruk daripada binatang. Kata pepatah, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Kita berusaha sikit saja, Allah memberi berlipat ganda. Dalam hidup jangan rasa tak cukup saja, manusia kebanyakannya tidak bersyukur apa yang ada… *********************** “Doa saya kepada semua: “Ya Allah, jadikanlah kami daripada golongan yang ikhlas dalam beramal dan hindarkan kami daripada bahaya syaitan bangsa manusia dan jin yang kerjanya menggoda hati manusia. Selamatkanlah kami daripada azab api neraka dan janganlah kami diberi malu di hadapan khalayak ramai pada hari manusia sekalian diberi pembalasan. *********************** “Ya Allah berikan kami sekeluarga petunjuk untuk mendapat kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan hindarkan kami sekeluarga daripada azab api neraka.”

No comments: