Monday, July 2, 2012

Hanya separuh murid SK ke sekolah agama petang/pagi...

***************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *************** Renungan **************** "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ***************** DIDIKLAH anak-anak kamu mengikut zamannya – demikian antara lain saya menulis mengenai pesanan Sayidina Ali Karramallahu wajhah (k.w.) dalam blog ini tidak lama dulu dengan tajuk ‘Antara getah gelang, pemadam getah dan ‘handset…’ ****************** Ya, zaman sekarang amat susah mendidik anak-anak. Bagi mereka yang sedang mengasuh anak kecil atau pernah melalui zaman itu akan sedar bahawa anak-anak lebih senang mendengar cakap guru atau ustaz dan ustazah mereka daripada ibu bapa sendiri. ******************* Saya tak terkecuali, saya perasan anak-anak di tadika lebih mendengar cakap guru…apabila kita cuba mengajar sikit mereka berkata, “cikgu adik cakap macam itu…cikgu adik…” Asyik-asyik dia mengulang kehebatan dan ajaran gurunya saja…”cikgu adik, cikgu adik!” **************** Berdasarkan ini, tahulah kita bahawa peranan guru tersangat penting. Merekalah menjadi antara sandaran besar bagi masa depan anak-anak kita. Jika guru mencorakkan anak-anak kita dengan baik, insya-Allah akan selamatlah anak-anak kita; tetapi amat malang jika anak-anak kita jatuh ke tangan segelintir ‘guru khianat’. Kita berdoalah agar tiada ‘guru khianat’ dalam masyarakat kita. ****************** Selain guru, anak-anak begitu terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya mereka. Jika rakan ada buku menarik, mereka pun mahu buku yang sama. Jika rakan ada kasut yang cantik, mereka pun mahu jenis yang sama. Pendeknya guru dan rakan-rakan mempunyai pengaruh yang besar dalam proses pembesaran anak-anak. ******************* Berdasarkan kepentingan guru dan rakan sebaya ini, saya terperanjat besar apabila seorang ustazah Sekolah Agama Rakyat (sekolah agama sebelah pagi atau petang) memberitahu saya hanya separuh daripada murid-murid di Sekolah Kebangsaan (SK) iaitu pada sesi pagi menyambung pengajian di SAR pada sebelah petang atau sebaliknya. Saya berbual-bual dengan ustazah itu di dalam masjid ketika dia sedang mengawasi hampir 50 anak muridnya iaitu lelaki dan perempuan menunaikan solat asar berjemaah yang diimamkan oleh salah seorang kanak-kanak itu. Sungguh sejuk hati melihat anak-anak itu belajar solat secara praktikal beramai-ramai; tentunya mereka seronok melakukan bersama rakan-rakan. Beberapa hari sebelum itu, ketika praktikal solat, seorang ustaz melafaz bacaan dengan kuat agar diikuti mereka; pada hari saya berbual dengan ustazah itu mereka menunaikan solat secara lengkap, malah si ustaz pun menjadi salah seorang jemaahnya. Jika anak-anak tidak dihantar ke sekolah agama sebelah petang ini, saya bimbang bagaimana ibu bapa hendak mendidik ilmu agama kepada anak-anak ini termasuklah kaedah solat dengan betul. Dalam keadaan ibu bapa sungguh sibuk hari ini, ditambah dengan anak-anak yang sukar mendengar cakap mak ayah, dikhuatiri anak-anak akan menyimpang jauh. Ustazah itu melahirkan kebimbangannya mengapa ramai ibu bapa tidak peduli hal agama bukan saja kepada anak-anak tetapi diri mereka sendiri. Jika ibu bapa sendiri tidak solat, bagaimana anak-anak mahu solat? Jika ibu bapa sendiri jahil dalam bab agama, bagaimana mereka mahu mengajar anak-anak mereka tentang agama; lebih mendukacitakan mereka tidak mahu pula menghantar anak-anak ke sekolah agama petang yang menurut ustazah itu yang pengajiannya percuma, anak-anak hanya perlu membeli buku-buku tulis saja! Saya pernah bertanya seorang murid SK berusia 10 tahun mengenai mengapa dia tidak ke sekolah agama petang. Kata budak itu, emaknya menyuruhnya pergi tuisyen. Terperanjat saya dibuatnya, apa penting sangat tuisyen itu berbanding pergi ke sekolah agama? Bukankah kalau nak sangat anak hantar ke tuisyen, boleh hantarnya pada hari Sabtu dan Ahad. Saya perhatikan budak itu ke tuisyen pun tak pergi, ke sekolah agama pun tak pergi; asyik-asyik ‘main basikal’ jadi apa sebenarnya nak jadi dengan dia dan anak-anak orang Melayu/Islam yang ibu bapa mereka tidak peduli akan kepentingan anak-anak diberi pengajian agama dan mereka sendiri hidup beragama. Janganlah hendaknya agama hanya berguna pada tiga keadaan saja iaitu semasa kelahiran, perkahwinan dan kematian saja; demikian menurut seorang cendekiawan. Semasa lahir, anak diazankan kemudian semasa perkahwinan dinikahkan secara Islam dan akhirnya mati dimandi, kafan, solat dan dikebumikan; selain daripada hidupnya jauh daripada agama, solat dan masjid tersangat jauh daripada dirinya walaupun dia mungkin berjiran dengan masjid. Jika diri sendiri ‘malu’ ke masjid, janganlah benih keengganan ke masjid di tanam ke dalam diri anak-anak dengan tidak menghantar mereka ke sekolah agama; jika diri jahil agama jangan jadikan si anak jahil sama!

1 comment:

Unknown said...

Assalam Tuan. Saya tertarik dengan artikel yang dikongsikan berkaitan sekolah agama ini. Moga bermanfaat untuk orang-orang yang terbuka mata hatinya.

Terima kasih :)