Saturday, July 21, 2012
Wartawan; ingat-ingatlah kisah Abu Talib…
DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ******************** “Hai orang-orang yang beriman diwajbkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa, (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu. Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (yaitu) : memberi makan seorang miskin. Barangsiapa yang dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itulah yang lebih baik baginya. Dan berpuasa lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. (Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan bulan yang didalamnya diturunkan Al Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang haq dan yang batil). Karena itu, barang siapa diantara kalian hadir (dinegeri tempat tinggalnya) dibulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka) maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. (Al Baqarah: 183 – 185) ***********************
APABILA sahabat lama saya, Mohd Zaini Hassan (kini Dato’) daripada Utusan Malaysia yang bersama-sama saya membuat liputan Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Teheran, Iran pada 1997, dilaporkan sebagai berkata, “pengamal media dibolehkan ‘memutar’ fakta untuk membentuk gambaran yang diingini kepada khalayak,” saya terpanggil untuk mengulasnya.
******************
Malaysiakini memetik Zaini sebagai berkata, langkah itu adalah "serangan berhemah" kepada pembangkang yang kini menguasai persepsi umum sehingga menyebabkan kerajaan BN "dibicarakan" dalam ruang politik negara.
*********************
"Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu ‘spin’ (putar fakta), satu lagi ‘blatant lie’ (pembohongan terang-terangan).
************************
"Dari segi perang psikologi kita jangan ikutlah ‘blatant lie’, kita jangan tulis pembohongan.
***********************
"Kita boleh ‘spin’, macam mana kita nak ‘spin’ sesuatu fakta tersebut memihak kepada kita, itu OK," kata Zaini.
******************
Beliau turut mengakui kelebihan kini berpihak kepada pembangkang dalam perang psikologi politik menerusi media sosial.
*******************
"Kalau kita lihat sebelah sana, media (mereka) tidak tengok duit.
******************
"Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah).
********************
"Tetapi kita di sini, minta maaf kalau saya cakap, tidak ada duit tak jalan (jentera)," kata Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan itu sewaktu bercakap pada forum Media Sosial: Mengurus Isu, Menangani Persepsi dan Emosi Rakyat di Kuala Lumpur baru-baru ini.
*******************
Jika betullah sahabatku Zaini telah mengungkapkan, “Di sana mereka kerja dengan hati, perasaan, dan fisabilillah (di jalan Allah)”, ertinya, jauh dalam sudut hatinya, beliau telah mengaku kebenaran yang diperjuangkan oleh kumpulan yang ditentangnya (dalam hal ini pembangkang seperti disebutkannya).
**************
Bagi saya, kebenaran itu satu hal, mengakuinya satu hal dan kemudian mempercayainya (beriman) dengannya satu hal lagi. Bagi membincangkan hal ini marilah kita rujuk kepada Sirah Nabi terutama pada zaman awal Islam seperti kisah Israk dan Mikraj yang dinukilkan oleh pencemarah pada penghujung bulan Rejab setiap tahun.
*******************
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w. ‘di-Israk dan Mikraj-kan’, dikisahkan Baginda tersangat dukacita kerana kematian isterinya yang tercinta Sayidatina Khadijah Khauwalid dan bapa saudara yang banyak berkorban untuknya, Abu Talib.
**********************
Kisah Abu Talib enggan masuk Islam dikisahkan secara terperinci oleh sesetengah penceramah. Kata mereka, Abu Talib mengiyakan kebenaran ajaran Rasulullah dan ketika nazaknya hampir saja mengikut kalimat yang diucapkan oleh Rasulullah tetapi disebabkan mahu menjaga ‘imej’ selepas diasak pembesar Quraisy termasuk saudaranya sendiri seperi Abu Jahal, maka akhirnya Abu Talib mati sebagai seorang yang tidak beriman.
*******************
Perihal matinya Abu Talib dalam keadaan kufur ini sangat mendukacitakan Rasulullah s.a.w. sehingga Allah SWT menegur Baginda bahawa memberi hidayah adalah hak-Nya. Kisah Abu Talib yang diperdengarkan pada sesetengah ceramah Israk dan Mikraj menunjukkan bahawa ada orang tidak memasuki Islam walaupun mengakui kebenarannya demi menjaga kepentingan diri sendiri.
**********************
Abu Talib tidak memeluk Islam kerana mempunyai kepentingan diri. Abu Lahab dan Abu Jahal juga bukanlah orang yang tidak mempercayai al-Quran. Ini kerana, terbukti dalam sirah bahawa Abu Lahab dan Abu Jahal boleh tenganga mulut ketika mendengar bacaan al-Quran, malahan diceritakan dalam sirah bahawa pada waktu malam, mereka secara sorok-sorok pergi ke rumah Baginda Rasulullah s.a.w. semata-mata mahu mendengar bacaan al-Quran di balik dinding.
******************
Demikian juga mereka yang ada ‘bisnes’ dengan patung seperti pengukir, pemahat dan penjualnya, mereka enggan menerima Islam kerana perniagaan mereka akan lingkup jika mereka berbuat demikian.
**************
Ini membuktikan, dari sudut hati kecil mereka, mereka percaya kepada al-Quran. Tetapi, memandangkan kedegilan mereka dan demi kepentingan diri, menyebabkan mereka tidak menerima Islam, malahan melawan Islam. Menurut sesetengah penceramah, Abu Talib adalah antara insan yang menerima seksaan paling ringan di neraka. Itu pun apabila batu panas diletakkan di tapak kakinya, otak di kepalanya mendidih.
*********************
Oleh itu, wahai sahabatku Zaini, saya bimbang bukan awak tidak percaya kepada perjuangan kumpulan yang awak tentang, tetapi demi menjaga kepentingan puak yang kamu sokong dan kepentingan diri sendiri termasuk periuk nasi, kamu terpaksa ‘melakonkan’ watak kamu sekarang.
***********************
Kalau kamu tidak mengaku kebenaran perjuangan kumpulan itu mengapa kamu menyatakan “mereka bekerja fisabillah?” Ya, sesetengah daripadanya bekerja hanya kerana Allah tidak seperti kumpulan kamu yang menurut kamu sendiri, “tidak ada duit tak jalan.”
*********************
Sahabatku, kamu sendiri mengaku kamu bekerja kerana mahu duit, kalau tak ada duit tak jalan. Kenapa begitu pendek sekali visimu orang sekumpulan kamu? Sempena Ramadan yang mulia ini, sukacitakan diingatkan kepada diri sendiri dan semua Muslim termasuk sahabatku bahawa misi dan visi setiap Muslim adalah untuk mendapatkan kebahagiaan dunia dan akhirat.
**********************
Inilah yang didambakan oleh setiap Muslim. Kita kerap berdoa, ‘Rabbana atina fid-dunya hasanatan, wa-fil akhiratai hasanatan, wa-qina azabannar' yang bermaksud: Ya Allah! Aku memohon kepada Engkau untuk kebaikan di dunia dan aku memohon kepada Engkau untuk kebaikan di akhirat, dan aku memohon kepada Engkau dijauhkan daripada seksaan neraka.
************************
Ya, di dunia ini orang memburu ringgit, riyal, dirham, dolar dan pound. Tidak kira secara halal atau haram. Tetapi yakinilah wahai sabahatku itu semua yang diburu itu tidak berguna di alam akhirat nanti. Ringgit dan dolar tidak laku di alam kubur. Yang laku hanya amalan kamu; jika baik, baiklah nasibmu; jika buruk, buruklah nasibmu.
*********************
Selain pemburuan duit (harta), pemburuan nama, pangkat dan kemasyhuran, juga adalah kerja meletihkan yang sia-sia. Semuanya akan berakhir dengan kematian. Sebelum mati pun, ada orang cuba guling atau singkirkan kamu. Termasuk dengan cara buruk seperti guna bomoh atau fitnah. Berapa lama kamu mahu menongkat dunia? Tidak ada orang yang pernah berkuasa dulu, kini dan selama-lamanya. Firaun yang hebat itu pun mati, demikian juga Hamman dan Namrud. Kamu dan saya juga akan mati; entah esok entahkan lusa, entahkan selepas ini...
********************
Jadi diperingatkan kepada diri, sahabat dan semua Muslim dan Muslimat khasnya kepada wartawan; kamu mahu mencapai tingkatan tertinggi apa dalam profesion ini sehingga sanggup menyatakan boleh melakukan ‘putar alam’ dalam bidang kewartawan (penulisan)? Di Malaysia, saya perhatian, yang paling tinggi adalah menteri; belum ada lagi seorang bekas wartawan menjadi perdana menteri. Itu pun seorang dua jadi menteri atau timbalan menteri, sehebat mana pun seorang wartawan dia akan pencen dengan status Ketua Pengarang organisasinya.
****************************
Jadi adakah berbaloi untuk mengampu sehingga menidakkan yang benar hanya untuk menjadi Ketua Pengarang atau menteri? Ohh, semua itu sia-sia kerana ‘dunia ini bukan kita punya’ – cukup masa kita akan kembali kepada-Nya. Masa itu mungkin hari ini, esok atau lusa. Ingat-ingatlah sajak Sasterawan Negara, Dato’ A Samad Said: “Kita ini tetamu senja...” Jangan lupa sajak ini ya, mentang-mentang Pak Samad sudah menyertai pejuang kebenaran, kamu lupakan pula ‘orang tua ni. Malah kamu hina pula dia!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment