Monday, July 23, 2012
Patuhi semua hukum-hakam Islam mulai Ramadan ini
******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*************
Renungan
***********
"Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah semua amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya." (Hadis laporan Muslim)
*******************
Bersyukur ke hadrat Ilahi kita dipanjangkan usia untuk berada dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini buat kesakalian kalinya. Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan, semoga Ramadan kali ini memberi jutaan rahmat kepada kita semua, dan yang terpenting kita selamat di dunia dan akhirat.
****************
Kehadiran Ramadan menyuntik kebaikan kepada ummah. Namun sesetengahnya melakukan sedikit perubahan seperti orang perempuan yang biasanya membiarkan rambut terdedah, menyerkup kepala mereka dengan tudung sekalipun jambulnya masih tersembul, manakala orang lelaki tertatih-tatih ke masjid untuk solat secara berjemaah.
*****************
Ini perkembangan yang baik tetapi alangkah besar manfaatnya jika amalan ini berterusan sepanjang waktu. Jika perubahan ini dilakukan semata-mata bagi menghormati Ramadan atau mendapatkan kelebihan beribadat pada bulan penuh barakah ini, dikhuatiri seseorang itu menjadi hamba Ramadan dan bukan hamba Allah SWT yang menunjukkan ketaatannya sepanjang usianya.
***********************
Berhubung perkara ini, kita tertanya-tanya mengapa sesetengah pihak hanya begitu ghairah beribadah pada bulan Ramadan tetapi melupakannya selepas itu. Apakah ini bermaksud pada Ramadan saja kita berbuat baik sebaliknya pada bulan-bulan lain bebas berbuat sesuka hati kita? Apakah ini bermaksud Tuhan hanya ada pada Ramadan, sedangkan pada bulan-bulan lain, Tuhan seolah-olah tidak wujud?
***********************
Pemikiran dan tindakan mengasing-asingkan corak kehidupan berdasarkan masa dan tempat ini sebenarnya amalan sekular. Berdasarkan ini, tidak hairanlah orang berusaha mematuhi suruhan agama seperti memakai tudung pada bulan Ramadan tetapi pada bulan-bulan lain tidak menghiraukannya sedangkan perintah Allah SWT berhubung penutupan aurat adalah pada sepanjang masa.
*********************
Demikian juga ketika menunaikan haji di Tanah Suci, seorang Muslimah sentiasa mengenakan pakaian menutup aurat sepenuhnya, tidak kelihatan seorang pun wanita yang memperlihatkan rambutnya. Adakah ini bermaksud Allah SWT itu hanya ada di Makkah, manakala di luar musim haji dan di luar Tanah Haram, Allah SWT tidak wujud kerana perintah-Nya dilanggar sewenang-wenangnya.
**********************
Pemikiran sekular ini sudah lama meresap dalam masyarakat kita; sebahagian daripada kita melakukan perintah Allah SWT berdasarkan apa yang disenangi sebaliknya menolak apa yang difikirkan mendatangkan kerugian. Misalnya, pada ayat 178 Surah al-Baqarah, Allah SWT memerintahkan manusia berhukum dengan hukum qisas, kebanyakan manusia tidak mempedulikannya tetapi apabila diperintahkan berpuasa pada ayat 183 surah yang sama, mereka menerimanya.
********************
Kecenderungan melakukan perintah secara terpilih ini, menyebabkan umat Islam berkelakukan baik pada suasana yang memerlukan mereka bertindak sedemikian, sebaliknya pada luar lingkaran itu bertindak di luar batasan agama. Jika mereka di masjid, mereka menunjukkan ketaatan tetapi di luar pintu masjid, seolah-olah perintah Allah tidak laku. Itulah sebabnya mengapa sebahagian umat Islam terutama pemimpin melakukan aneka maksiat seperti rasuah, perompakan dan penyelewengan kerana agama bagi mereka adalah dalam lingkungan masjid dan pada bulan dan musim tertentu saja.
********************
Pada bulan Ramadan ini, ramai bertukar baik, tetapi sebaik saja masuk bulan Syawal kelakuan mereka kembali buruk. Aneka maksiat kembali dilakukan, penyelewengan dan penganiyaan menjadi-jadi termasuklah dalam politik seperti penipuan dalam pilihan raya. Penindasan diteruskan, segala tazkirah dan pengajaran Ramadan tidak sangkut di hati. Manusia kembali liar, malah mungkin lebih buruk lagi sebelum Ramadan.
***********************
Ramadan adalah madrasah bertujuan menjadikan kita lebih baik daripada semalam. Awalnya adalah rahmat, pertengahannya adalah pengampunan dan akhirnya bebas daripada api neraka. Jadi beribadat dan berbaktilah sepanjang hayat kita, istiqamahlah untuk mematuhi semua hukum hakam Islam mulai Ramadan ini. Berusahalah bersungguh-sungguh agar kita menjadi hamba yang mendapat keredaan-Nya dunia dan akhirat.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment