Saturday, April 7, 2012

Ubah gaya hidup; cakap biar serupa bikin

*******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Janganlah memuji dirimu

Janganlah anda memuji-muji diri anda sebagai orang yang suci dan bersih daripada dosa. Dengarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Ia (Allah) lebih mengetahui akan keadaan kamu semenjak Ia menciptakan kamu (berasal) daripada tanah, dan semasa kamu berupa anak yang sedang melalui berbagai-bagai peringkat kejadian dalam perut ibu kamu; maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih daripada dosa). Dialah saja yang mengetahui akan orang-orang yang bertakwa." (An-Najm:32) - Hidayah Rabiulawal 1433/Februari 2012
****************

TERINGAT saya sewaktu menyertai bantahan kebaikan harga minyak di jalan raya berhampiran KLCC pada awal tahun 2006 dulu, peserta perhimpunan diikejar anggota FRU.

Mereka melarikan diri macam anjing kurap dibaling batu. Namun sebelum anggota polis bertindak, hadirian dihiburkan oleh seorang pembantah yang memakai topeng wajah Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak dengan slogan bertulis besar ‘Ubah Gaya Hidup’. Dia ke hulu ke hilir mempamerkan wajah lucu seorang pemimpin negara.

Untuk menangani kesan kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter itu, TPM Najib mengesyorkan ‘Ubah Gaya Hidup’. Berhubung hal ini, Najib dipetik sebagai berkata: ““Kita perlu terima hakikat bahawa kenaikan ini tidak dapat dielakkan. Jika sudah terima hakikat, lebih mudah untuk kita membuat penyesuaian, cara hidup dan berbelanja supaya walaupun harga naik, kita dapat mengekalkan kualiti hidup. Yang penting, kita perlu sedar bahawa dengan langkah penjimatan ini, kerajaan meletakkan asas ekonomi dan kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.”

Ya, ubah gaya hidup…bunyinya sedap tetapi bagi rakyat kebanyakan hakikatnya pahit. Jika orang kaya dan berkuasa mempunyai pelbagai kehendak, orang miskin hanya mahu memenuhi tiga keperluan asas manusia iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Pada zaman moden ini, ada beberapa lagi keperluan asas seperti pendidikan anak-anak. Jadi apa erti ubah gaya hidup dalam memenuhi keperluan asas ini?

Apakah dari segi makanan; jika dulu makan tiga hari sekali, mahu dikurangkan kepada dua kali sehari? Dari segi pakaian pula, jika dulu pakaian hanya berganti pada musim perayaan atau permulaan persekolahan (bagi anak-anak) apakah tak perlu diganti, cukuplah untuk menerima pakaian terpakai pemberian organisasi kebajikan? Dari segi tempat tinggal pula, apakah ubah gaya hidup bermakna teruslah menyewa atau tinggal di kawasan setinggan, jangan cuba-cuba membeli rumah kerana tidak mampu membayar bayaran muka atau bulanan.

Tak apalah, bagi menyahut ‘seruan suci’ itu, rakyat bersedia berkorban untuk mengubah cara hidup. Jika dulu naik kereta buruk, juallah kenderaan itu dan mulalah naik bas. Menggunakan bas awam boleh berjimat, lagi pun TPM sudah berjanji memperbaiki mutu pengangkutan awam kerana katanya, pendapatan daripada pengurangan subsidi minyak dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Amanah bagi penambahbaikan sistem berkenaan. Duitnya tentu banyak sebab Najib ada berkata jika harga minyak tidak dinaikkan, subsidi dan pengecualian cukai adalah sebanyak RM6 bilion.

Masa berlalu dengan begitu pantas. TPM yang begitu pandai mengubah gaya hidup akhirnya menjadi PM. Malangnya mereka yang mengikut syornya mengubah gaya hidup tidak pula bersinar hidupnya. Bagi yang mengubah hidup dengan menjual kereta buruk untuk menaiki bas, nasib sesetengah mereka begitu buruk, pengangkutan awam terutama di luar bandar dan kawasan pedalaman menjadi semakin teruk. Banyak syarikat bas gulung tikar, kini orang yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri, derita mereka makin parah.

Perkhidmatan bas pinggir bandar amat teruk sekali. Seorang pengguna memberitahu dia terpaksa menunggu berjam-jam di tepi jalan untuk mendapatkan bas. Suatu hari katanya, dia terpaksa balik saja selepas menunggu dari jam 10.00 pagi tetapi bas tidak datang sehingga jam 1.00 tengah hari. Di sesetengah tempat, perkhidmatan bas awam sudah tidak wujud lagi. Nasiblah rakyat, itulah jangan cepat-cepat hendak ubah gaya hidup dengan menjual kereta atau motosikal buruk itu. Orang yang mengesyorkan ubah gaya hidup makin bergaya hidupnya, awak sendiri jadi papa kedana!

Ya, rakyat makin derita kerana menyahut seruan pemimpin untuk ubah gaya hidup. Tetapi adakah pemimpin sudah ubah gaya hidup mereka? Maksudnya ubah gaya hidup ke arah kehidupan sederhana (wasatiyyah seperti digembar-gemburkan PM sendiri) dan bukan sebaliknya iaitu ubah gaya hidup kea rah kehidupan bermewah-mewahan seperti mengadakan majlis pertunangan anak dengan kos setengah juta ringgit atau sambutan hari jadi RM10,000?

Nampaknya, pemimpin 'auta' cakap berdegar-degar. Minta rakyat berkorbanlah untuk negara; mempertahankan negara ke titisan darah terakhirlah, berjimat cermatlah dan ubah gaya hidup. Malangnya, mereka memperagakan gaya hidup mewah seperti mengadakan majlis seperti 'pesta kahwin puteri kayangan' atau macam anak Raja Donan - 40 hari 40 malam.

Mereka terus boros berbelanja sedangkan rakyat disuruh 'jimat, jimat, jimat' dan pada masa yang sama surat khabar dan TV menyiarkan tuduhan mereka kononnya pemimpin pembangkang sebagai 'auta'.

Ya siapa yang 'kaki auta' kerana apabila dekat dengan pilihan raya ini ramai pemimpin yang 'auta' rakyat - mereka bagi duit dan bantuan itu dan ini tetapi berkata ia tidak ada kena mengena dengan pilihan raya.

Ada pula yang 'gian' nak bertanding atau yang sudah menjadi calon, ketika kempen pilihan raya tiba-tiba pandai menoreh getah, menggoreng mi, menjual ikan dan berkain pelikat sambil menghirup kopi. Tolonglah, jangan nak auta rakyat. Cakaplah serupa bikin, jangan cakap tak serupa bikin!

No comments: