Wednesday, April 18, 2012

Media massa: Izinkanlah persaingan sihat

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)." - Surah Al-Isra': Ayat 32)
*****************

Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dipanjangkan usia kita dan dilimpahi rahmat yang tidak terhitung banyaknya yang antaranya membolehkan kita memuzakarahkan isu semasa. Kali ini kita ingin menyentuh hal media massa terutama menjelang pilihan raya umum yang begitu hampir itu.

Akses kepada media massa yang adil adalah antara lapan tuntutan Bersih 2.0. Namun hal ini dikesampingkan oleh pemerintah; hari ini kita dapat saksikan betapa media massa yang didakwa sebagai arus perdana itu ‘mengamuk sakan’ – mempromosi malah boleh dikatakan ‘membodek melangit’ parti pemerintah sebaliknya ‘memukul’ malah boleh dikatakan ‘membunuh’ parti-parti pesaing.

Perkembangan ini amat jelek ketika dunia diklasifikasikan sebagai tanpa sempadan kerana perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi yang memungkinkan situasi apa dipanggil ‘langit terbuka’.

Namun sebagai negara sedang membangun, perkembangan terbaru ini tidak merata di seluruh negara kita. Pelbagai halangan seperti prasarana komunikasi, perhubungan, kemampuan ekonomi dan pendidikan menyebabkan sebahagian besar rakyat masih bergantung kepada media massa tradisional seperti akhbar cetak, televisyen dan radio.

Ya, media tradisional inilah yang menjadi ‘benteng terakhir’ medan propaganda parti pemerintah. Sudah pasti pihak ini tidak akan melepaskan ‘cengkaman’ mereka terhadap media ini, tetapi apa yang kita pinta, pihak berkuasa perlulah memberi hak kepada pesaing mereka untuk memajukan media massa mereka sendiri

Di negara-negara maju, di samping media tradisional, peranan media alternatif tidak dikesampingkan.

Di negara-negara ini, media massa alternatif mempunyai peranan besar bagi mengetengahkan kehidupan, termasuk perjuangan golongan atau kumpulan minoriti. Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili golongan majoriti.

Berdasarkan perkembangan di negara Barat ini yang demokrasinya menjadi sanjungan banyak pihak di Malaysia termasuk parti pemerintah, maka perlulah pihak berwajib memberikan hak untuk semua parti-parti politik termasuklah daripada pembangkang seperti PAS untuk membangunkan media massa mereka sendiri termasuk TV dan radio yang siaran atau terbitannya tidak terhad kepada ahli parti tetapi untuk semua warga. Jika situasi ini dibenarkan, akan wujudlah persaingan sihat media massa yang sudah tentu akan menguntung serta memaju serta mematangkan rakyat negara ini.

Namun apa yang berlaku, pihak berkuasa tidak membenarkan hal ini berlaku kerana mereka mahu memonopoli siaran media bagi membolehkan mereka terus berpropaganda demi mengekalkan kuasa ‘dulu, kini dan selama-lamanya’.

Bukan saja kehadiran media alternatif baru ditakuti, media alternatif lama seperti Harakah digeruni mereka. Buktinya pihak berkuasa membataskan pengedaran Harakah cetak di kalangan ahli-ahli PAS saja manakala naskhah yang ‘jatuh’ di tangan orang bukan ahli sangat dicemburui mereka.

Itulah sebabnya apabila Harakah diedarkan secara percuma di kawasan elit Putrajaya baru-baru ini, pemimpin Umno kepanasan; mereka bertindak mengoyak-goyakkan akhbar berkenaan. Mereka sungguh takut rakyat mendapat maklumat dalam usaha mereka mencari kebenaran kerana ini akan membuka jalan kemusnahan pihak yang mahu berkuasa dulu, kini dan selamanya!

No comments: