*******************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat44)
*******************
PERIBAHASA yang menjadi tajuk artikel ini bermaksud: “Jika hendak membuat pekerjaan yang baik, jangan berlebih-lebihan sehingga tidak pada tempatnya, dan pekerjaan yang jahat hendak dihindarkan sama sekali.”
Saya memilih peribahasa ini untuk dicelotehkan kerana melihatkan perkembangan semasa terutama menjelang pilihan raya umum ke-13 di mana banyak pihak dan orang ramai melakukan perbuatan yang dilihat baik tetapi jika diperhalusi, tidak menepati kehendak agama. Demikianlah dalam menghambat sokongan, terpaksalah dipamerkan kebaikan, malangnya perbuatan itu dibimbangi tersasar daripada hukum syarak.
Disebabkan saya bukanlah berkelulusan tinggi dalam bidang agama, bagi mengulas isu-isu yang diutarakan dalam ruangan ini, saya merujuk kepada ilmuan seperti ustaz dan buku panduan terbitan pihak berkuasa agama seperti jabatan mufti.
Suatu hari ketika ke satu walimatulurus (perkahwinan), terpinga-pinga saya apabila melihatkan sekumpulan wanita dengan diketuai seorang wanita yang ‘bagaikan imam’ mengadakan majlis tahlil termasuk membaca Surah Yassin dengan menggunakan sistem pembesar suara. Maka berkumandanglah suara-suara perkumpulan wanita berkenaan dengan suara lantang ‘imam’ di majlis itu sedangkan hadirin termasuk mereka yang berkopiah dan berserban terpaksa mendengar suara melengking itu.
Ustaz yang ditanya menyatakan tidak wajar diadakan majlis tahlil seumpama itu. Suara wanita itu sendiri adalah aurat, jadi tidak elok diperdengarkan melalui pembesar suara pula sekalipun apa yang disebut adalah ayat-ayat al-Quran dan kalimah memuji Allah SWT. Apatah lagi majlis zikir diketuai oleh seorang wanita pada tempat umum yang ada ramai lelaki.
Menurut ustaz itu jika kumpulan wanita mahu mengadakan majlis sesama wanita tidak mengapa jika ia dilakukan di tempat tertutup tanpa kehadiran lelaki. Tetapi untuk wanita mengetuai majlis tahlil di tempat terbuka seperti walimatulurus apatah lagi menggunakan pembesar suara adalah tidak wajar dan perlu diberhentikan segera. Itulah bagi memenangi hati penduduk kampung, pendekatan ala-agama juga digunakan, malangnya ia tersasar daripada hukum.
Satu lagi kecenderungan orang kita kononnya untuk membuat kebajikan ialah berusaha mengumpul duit sebanyak-banyaknya untuk tabung masjid tetapi membekukan wang di bank. Kononnya jika masjid kukuh kedudukan kewangannya dengan banyak simpanan di bank, pengurusan masjid perlu dipuji kerana telah menjalankan tugas dengan bagus.
Baru-baru ini saya ada membaca buku ‘Garis Panduan Penggunaan Wang Masjid dan Surau Negeri Melaka’, terbitan Jabatan Mufti Negeri Melaka yang menegur sikap dan tindakan itu dengan menyatakan: “Terdapat sesetengah masjid/surau yang tidak membelanjakan dana yang terkumpul kepada aktiviti-aktiviti yang mampu memberikan pulangan yang menguntungkan masjid/surau dan para jemaah sedangkan pihak masjid/surau bertanggungjawab memastikan derma orang ramai dimanfaatkan supaya pahala kebajikannya mengalir sebagaimana yang diharap dan dihajatkan oleh penderma.”
Mengenai kegiatan mengutip wang dengan menggerakkan tabung kecil beroda antara jemaah ketika imam sedang berkhutbah solat Jumaat atau Hari Raya seperti mana yang dilakukan di sebahagian masjid yang dianggap satu kebajikan besar di kalangan sesetengah daripada kita, Jabatan Mufti menyatakan: “Perbuatan menggerakkan tabung derma masjid semasa khatib sedang membaca khutbah sekiranya menyebabkan jemaah terganggu atau memalingkan mereka daripada mendengar khutbah, maka ia termasuk perbuatan yang tidak digalakkan dan menghilangkan fadilat Jumaat.
“Justeru, amalan tersebut walaupun mempunyai tujuan yang baik tetapi tidak digalakkan kerana pelaksanaannya boleh menimbulkan gangguan kepada jemaah. Jawatankuasa masjid dinasihatkan agar mencari kaedah lain umpamanya mengedarkan tabung sebelum khutbah dimulakan, meletakkan tabung di setiap pintu masjid, memperbanyakkan tabung untuk memudahkan jemaah menderma dan membuat pengumuman kepada jemaah agar menderma.”
Demikianlah, jika mengutip derma melalui tabung bergerak ketika khatib sedang berkhutbah tidak boleh kerana hukum mendengar (mengikuti) khutbah adalah wajib sedangkan menderma hanya sunat (sesuatu amalan sunat tidak boleh dilakukan jika ia berlawanan dengan yang wajib), apa pula yang dapat dikatakan kepada tindakan sesetengah masjid yang menugaskan seseorang dengan kantung di tangan bergerak dari satu saf ke satu saf bagi tujuan mengutip derma?
Tentunya kesalahannya lebih berat lagi. Jadi insaflah tidak semua perbuatan yang kita anggap baik benar-benar baik; bijak sungguh orang dulu-dulu yang menukilkan peribahasa ‘buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali’.
No comments:
Post a Comment