Monday, November 29, 2010

Tulislah apa yang terbit dari hati, kata Naimisa Yusof

Posted on 29th NOV 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Ucapkanlah wahai anak, ‘Ya Tuhanku, kasihilah kedua ibu bapaku sepertimana mereka berdua mengasihi aku sewaktu aku kecil.” (Surah al-Israk, ayat 24)

***
Buku terbaru saya 'Kusaksikan Keajaiban Tanah Suci' telah diulas oleh Saudara NAIMISA YUSOF (http://naimisa.blogspot.com)

Berikut adalah catatan beliau.

“Tulislah apa yang terbit dari hati”

Demikian kata-kata inspirasi yang membuatkan sesebuah penulisan mempunyai ‘magnet’.

Menulis dari hati melahirkan ekspresi yang luhur, jujur dan tidak terselindung dengan suatu hal yang tidak baik seperti mahu menunjuk-nunjuk kepandaian.

Mungkin kita tercari-cari bahan bacaan yang mampu memberi motivasi langsung untuk melakukan seuatu hal. Misalnya haji.

Buku Kusaksikan keajaiban Tanah Suci tulisan wartawan Roslan Hamid adalah antara pilihan yang tepat. Lihat sahaja gaya penulisan saudara Roslan Hamid dalam koleksi Dilema Seorang Wartawan Islam atau siri-siri penulisan dalam kolum akhbar tempat dia sedang bertugas.

Buku kecil ini adalah catatan pengalaman peribadi beliau menunaikan haji bermula dari persiapan haji - mengumpul wang, berkursus sehinggalah bergelar haji. Penulis juga melontarkan idea dan persoalan berkaitan falsafah haji yang perlu dihayati.

Menunaikan Rukun Islam kelima ini bukan sekadar mengorbankan wang ringgit, masa dan tenaga bahkan perlu diinsafi natijah kepada diri. Orang-orang kaya memang diberi kelebihan wang untuk menunaikan haji berulang kali. Tetapi haruskah begitu? Dan apakah dengan itu orang miskin menjadi kurang bernasib baik tidak berkesempatan menjadi tetamu Allah di Makkah?

Penulis berkongsi pengalaman peribadi secara bersahaja dan mungkin akan dialami oleh bakal haji. Selaku pembaca, olahan dalam buku ini sangat memberansangkan. Ada nilai inspirasi tersendiri. Misalnya sesetengah orang berpendapat haji perlu ditunaikan apabila urusan anak-anak beres. Atau setelah semua anak dewasa.

Penulis memberi contoh benar pengalaman beliau menunaikan haji bersama isteri ketika anak bongsu mereka berusia tiga tahun. Yang pasti buku ini tidak menyajikan panduan haji kerana sifatnya (motif penulisan) sebagai stimulus bagi menggerakkan minda dan tindakan pembaca untuk sama-sama menanam niat menyahut seruan Allah.

Setelah membaca buku ini, saya dapati stigma baru dalam minda untuk mengubah persepsi terhadap pelaksanaan haji. Terima kasih dan syabas kepada penulisnya. Semoga Allah memberi kekuatan kepadanya untuk menghasilkan buku-buku inspirasi dalam aspek yang lain pula. Insya-Allah.

*
Dapatkan naskhah saudara/saudari di kedai-kedai buku berhampiran atau berhubung dengan Kemilau Publika di talian 03-61573314, faks 03-61573341, di alamat #34-A Jalan Pekaka 8/3 Seksyen 8, Kota Damansara 47810 Petaling Jaya Selangor, e-mel admin@kemilau.com.my atau www.kemilau.com.my

1 comment:

tungkaran hati.blogspot said...

Perjuangan PAS tanpa DAP dan PKR saja yang dapat memertabatkan Islam dan Ketuanan Melayu dinegara ini.