Tuesday, November 23, 2010

Islam Sederhana ganti Islam Hadhari?

Posted on 23 NOV 2010
***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tidak sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya tetapi kamu tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia Maha Penyantun, Maha Pengampun." (Surah Al-Isra, ayat44)
***

Selepas setahun lebih teraju kepimpinan negara bertukar tangan, kini tidak lagi terdengar slogan Islam Hadhari yang dulunya diangkat sebegitu tinggi sehingga hampir dijadikan subjek di institusi pengajian.

Kini, mungkin tiada lagi yang ingat 10 prinsip asas Islam Hadhari iaitu (i) Keimanan dan ketakwaan kepada Allah, (ii) Kerajaan adil dan amanah, (iii) Rakyat berjiwa merdeka, (iv) Penguasaan ilmu pengetahuan, (v) Pembangunan ekonomi yang seimbang dan komprehensif, (vi) Kehidupan berkualiti, (vii) Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita, (viii) Keutuhan budaya dan moral, (ix) Pemeliharaan alam semula jadi dan akhirnya (x) Kekuatan pertahanan.

Apa yang digemakan kini adalah Islam Sederhana (Moderate) sehinggakan hal ini dinyatakan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak kepada Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Sehingga kini kurang jelas apa dikatakan Islam Sederhana kerana ia tidak terlalu diinstitusikan seperti Islam Hadhari tetapi dari sehari ke sehari konsep ini semakin popular sehingga pada Perhimpunan Agung Umno lalu, diperkenalkan istilah Arab, wasatiyyah yang didakwa sesetengah pihak sebagai bertepatan dengan konsep 1-Malaysia.

Maksud wasatiyyah ialah pertengahan atau sederhana. Malah al-Quran menggelarkan umat Islam sebagai umat pertengahan (Ummatan Wasatan). Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 143 bermaksud: “Dan demikianlah Kami jadikan kamu (umat Islam) sebagai umat yang pertengahan (umat pilihan dan adil) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad s.a.w.) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.”

Sarjana mendefinisikan umat pertengahan dalam ayat di atas mempunyai beberapa maksud, antaranya: (a) umat yang terpilih di sisi Allah kerana sikap dan amalannya, (b) umat yang adil dan tetap dalam keadilan, (c) umat yang di tengah iaitu yang diperhati oleh orang lain sebagai contoh kerana keunikannya dan (d) umat yang mengamalkan sikap sederhana dalam segenap segi.

Namun kita tersangat bimbang sederhana atau moderate itu ditafsirkan sesetengah pemimpin jauh daripada kehendak Islam, misalnya bersederhana dalam menjana pendapatan dan hiburan sehingga mencadangkan dirancakkan penubuhan hab hiburan maksiat bagi memperhebatkan perkembangan ekonomi negara dan tidak lama dulu disyorkan pertaruhan (judi) bola sepak dalam negara.

Kemudian isteri pemimin negara mengetengahkan fesyen pakaian yang didakwa sebagai Islamik di pentas antarabangsa atas nama kesederhaan dalam berpakaian sedangkan hal itu dilihat sebahagian besar ulama sebagai amat bercanggahan dengan kehendak Islam.

Suatu hal yang membimbangkan apa didakwa kesederhaan yang ditonjolkan pemimpin ini akan menjadi rujukan dan ikutan sedangkan ia terpesong daripada maksud sebenar kesederhanaan itu. Benar dalam beribadat pun seseorang dituntut bersederhana, tidaklah dia diminta solat sepanjang masa sehingga meninggal kewajipan hidup seperti makan minum, berfesyen (berpakaian) dan sebagainya tetapi semuanya wajib dilakukan dalam orbit dibenarkan Islam. Tidaklah benar dibolehkan menubuhkan hab hiburan maksiat atau mengenakan pakaian tidak menutup aurat sepenuhnya atas dakwaan mahu berserdahana dalam kehidupan.

Mereka yang mengemukan konsep sederhana cara ini perlulah insaf akan ayat Quran lain, misalnya Ayat 85 Surah al-Baqarah yang bermaksud: “...Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Berdasarkan peringatan Allah SWT ini, adalah penting untuk umat Islam termasuk pemimpin mengambil dan mengamalkan seluruh isi al-Quran dan bukan menurut nafsu mengambil separuh-separuh atas dasar mahu bersederhana kononnya.

No comments: