POSTED ON 12ND NOV 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Ketahuilah oleh kamu! Janganlah hendaknya kamu menjadikan kubur-kubur itu sebagai tempat menyembah, saya melarang daripada perbuatan itu." (Sahih Muslim)
***
KINI umat Islam berada pada 10 hari pertama bulan kemuncak haji, Zulhijah. Selain jemaah haji yang pastinya dalam konsentrasi mengerjakan manasik haji termasuk wukuf di Arafah; bagi orang yang tidak menunaikan haji pelbagai amalan amat dituntut pada hari-hari ini termasuklah berpuasa sunat terutama pada Hari Wukuf (9 Zulhijah).
Bagi penulis, memasuki bulan Zulhijah ini, berlaku satu peristiwa yang benar-benar mengheret perasaan, menyentuh kalbu, sekali gus menginsafkan diri. Subuh 7 November lalu, sebaik saja membuka gril pintu untuk ke masjid bagi menunaikan solat, ibu penulis memberitahu bahawa seorang sepupu penulis bersama suaminya, kedua-duanya dalam usia 60-an, maut apabila kereta yang mereka naiki terbakar selepas berlanggar sebuah treler di lebuh raya Gambang-Segamat.
Kerana sudah lewat, penulis mengiyakannya saja dan selepas mengucapkan innalillahiwainnailaihirojiun, bergegas ke masjid. Di masjid sebaik saja imam memberi salam, penulis saksikan suami seorang lagi sepupu menarik tangan noja, menuju beranda. Penulis menyertai mereka dan bertambah terkejut apabila mendengar dua orang lagi terkorban, salah seorangnya adalah teman baik isteri penulis, yang menjadi ahli keluarga berkenaan melalui perkahwinan.
Penulis bergegas pulang untuk menyampaikan berita itu kepada isteri. Beliau berlinangan air mata mengenangkan pemergian seorang sahabat yang pernah berkongsi kisah suka duka sejak zaman sekolah menengah dan universiti dan kini sesekali ke rumah dan ber-SMS dengannya. Penulis juga kenal baik dengan Allahyarham kerana dia dan isteri penulis adalah ‘junior’ satu universiti, juga pernah bekerja satu syarikat dan kini bersaudara pula selepas dia berkahwin dengan abang suami sepupu penulis yang terbunuh itu.
Hidup dan mati adalah ketentuan-Nya, apa yang boleh dilakukan adalah berdoa untuk kebahagiaan arwah di alam sana, namun sebagai manusia terpahat nostalgia di hati yang mungkin tidak terpadam. Bagi sepupu dan suaminya yang meninggal itu, rumah mereka di Kampung Ceras Baru menjadi markas pertama penulis ketika mula-mula berkelana di Kuala Lumpur 25 tahun lalu.
Di rumah itulah penulis makan dan minum dan tidur baring selama sebulan ‘free of charge’. Selepas bergaji barulah penulis memberi sagu hati dan berpindah ke rumah sewa orang bujang. Ya begitu besar jasa mereka, semoga Allah membalas segala kebaikan di samping mengampuni mereka. Syukur alhamdulillah, kedua-duanya telah menunaikan haji beberapa tahun lalu.
Bagi sahabat baik isteri pula, sungguh penulis terhutang budi kerana banyak jasanya termasuk mempunyai saham bagi menyemarakkan hubungan cinta penulis dan isteri sehingga termetrai perkahwinan pada 1989.
Kini, sudah dua tiga kali isteri penulis mengulang-ulang kata-kata rayuan Allahyarham: “Kalau awak suami isteri mahu tunai umrah lagi, kami suami isteri mahu ikut sama.” Mungkin, Allahyarham mahu perhatian kami memandangkan kesihatan suaminya kurang memuaskan.
Akhirnya rayuan itu berkubur bersama jasadnya apabila dia terkorban dalam nahas jalan raya itu. Namun kesyukuran diucapkan oleh isteri saya kerana sahabat itu walaupun meninggal dunia dalam usia 46 tahun, sudah dua kali menunaikan haji.
Allahyarham seperti kebanyakan orang lain yang sudah ke Tanah Suci, hatinya sentiasa dilambai-lambai untuk ke sana lagi dan lagi. Masjidilharam dengan Kaabahnya dan Masjid Nabawi dengan makam Nabi s.a.w. tetap tersemat di hati.
Semoga Allah merahmati sahabat ini dan dimasukkan rohnya di kalangan orang-orang beriman, demikian juga didoakan kepada mangsa lain pada bulan haji yang mulia ini!
No comments:
Post a Comment