***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Siapa yang berusaha keras membantu janda dan orang miskin, sama ertinya berjuang di jalan Allah atau selalu sembahyang sepanjang malam dan selalu puasa pada siang hari." (Sahih Bukhari)
***
Bersyukur ke hadrat Ilahi, pertandingan bola sepak Piala Dunia sudah berlangsung tetapi judi bola berlesen belum beroperasi.
Kita yakin penangguhan ini adalah hasil bantahan keras orang ramai, dan perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa suara rakyat amat ditakuti pemerintah. Mesejnya, perhebatkan bantahan sehingga judi bola berlesen dihapuskan terus, bukan ditangguhkan saja.
Pada musim Piala Dunia sekarang, lebih 200,000 orang terbabit dalam pertaruhan perlawanan bola sepak (tentunya yang tidak berlesen) dengan jumlah kutipan sejak permulaan pertarungan 11 Jun lalu sebanyak RM300.7 juta. Kita tidak tahu motif pendedahan ini oleh polis dan media, apakah ini untuk menunjukkan betapa kesan buruk akibat daripada ‘judi haram’ selepas ‘judi berlesen’ belum dilaksanakan?
Keghairahan sejumlah rakyat untuk berjudi dan melakukan aneka maksiat lain, menunjukkan terlalu banyak perkara yang tidak kena dengan pemerintah dan rakyat. Misalnya, sekalipun hebat menguar-uarkannya sebagai negara Islam contoh, pengambilan minuman keras di Malaysia adalah antara 10 negara teratas dunia menyamai negara-negara Eropah manakala satu laporan mengandaikan tiga juta daripada 27 juta penduduknya pernah melakukan zina. Kini pembunuhan, pembuangan bayi dan pelbagai kezaliman lain, berleluasa membayangkan betapa buruknya keadaan.
Sebenarnya kejelekan rakyat adalah akibat daripada pemimpinnya yang jelek. Sifirnya mudah, jika pemimpin korup rakyat pun korup, jika pemimpin tidak hendak kepada agama, rakyat pun cenderung tidak hendak kepada agama. Jika pemimpin kaki judi dan meluluskan lesen judi pula, rakyat juga akan gila berjudi.
Namun kita bersyukur kerana pada zaman gerhana ini, ada pihak yang sedar dan tidak mahu mengikut kebatilan pemimpin. Golongan ini yang sedikit ini tidak rela diperalatkan, mereka sedar diri mereka sendiri dan generasi akan datang perlu diselamatkan daripada memenuhi hawa nafsu pemimpin yang gila kuasa, seolah-olah mereka akan menongkat dunia dulu, kini dan buat selamanya.
Sejarah membuktikan bahawa golongan sedikit inilah yang akan menjadi buruan pemimpin, hayatilah bagaimana kisah pengikut Nabi Musa a.s. dan baginda sendiri menjadi mangsa buruan Firaun, begitu juga dengan pemuda Askhabul Khafi yang terpaksa menyelamatkan diri daripada raja zalim.
Sehubungan itu dalam isu lesen judi ini, marilah golongan sedikit ini menyemarakkan tentangan rakyat terhadap kehendak penguasa yang dibutakan mata hati mereka untuk mengaut keuntungan daripada lambakan wang penjudi. Setakat ini, bantahan di seluruh negara didapati berkesan kerana sehingga kini operasi ‘judi bola halal’ belum lagi berjalan sebaliknya pihak berkenaan ghairah mendedahkan betapa berleluasanya ‘judi bola haram’ kononnya bagi membuktikan bahana tidak menjalankan kegiatan ‘judi halal’.
Pemerintah sebenarnya berada dalam keadaan tertekan kerana tentangan dalam isu judi ini bukan saja dibuat rakyat beragama Islam tetapi juga orang bukan Islam termasuk parti yang dimonopoli mereka seperti Gerakan dan DAP. Jika orang bukan Islam sendiri tidak menyukai judi, amat menyedihkan pemimpin dan rakyat beragama Islam masih terhegeh-hegeh mempertahankan pemberian lesen judi ini.
Apakah mereka tidak tahu atau mengambil tahu isi kandungan al-Quran mengenai perkara ini seperti firman Allah SWT dalam Ayat 90 dan 91 Surah Al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dan perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?"
No comments:
Post a Comment