***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Apa sahaja yang Allah anugerahkan kepada manusia berupa rahmat, maka tidak ada seorang pun yang dapat menahannya; dan apa sahaja yang ditahan oleh Allah maka tidak ada seorang pun untuk melepaskannya sesudah itu dan dialah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Ayat 2, Surah Faathir)
***
ALHAMDULILLAH penulis baru kembali daripada menunaikan umrah. Apabila suasana kurang selesa (jet lag) perjalanan balik Jeddah-KLIA berkurangan, penulis membaca akhbar-akhbar lama yang dibeli anak-anak untuk mengikuti kembali perkembangan semasa di tanah air.
Selepas hampir dua minggu tidak mengikuti sebarang berita tempatan, tersentak hati penulis apabila membaca laporan bahawa Kementerian Pelancongan bercadang memperkenalkan Festival Ramadan yang antara lain akan cuba menarik kedatangan pelancong Arab ke sini bagi melihat keunikan orang Malaysia menyambut bulan puasa. Festival Ramadan yang dicadangkan itu sebenarnya tidak lama lagi. Sekarang bulan Rejab, tidak lama lagi Syaaban dan selepas itu Ramadan.
Orang Malaysia apabila diperkatakan tentang Ramadan, satu aspek sejak turun temurun tidak dapat dipisahkan daripada mereka adalah soal makanan. Seolah-olah Ramadan dan pesta makanan sudah sinonim. Sebelum Ramadan orang sudah bercakap mengenai tapak bazar Ramadan dan menu serta bufet Ramadan bagi santapan di hotel-hotel. Di masjid dan surau pula, tok siak dan petugasnya sibuk mengatur menu berbuka puasa dan moreh manakala imam dan ustaz sibuk mengedar borang mengajak jemaah menyumbang bagi majlis tahlil dan sebagainya.
Mungkinkah aspek ini (Ramadan dan pesta makanan) hendak dipromosikan bagi menarik pelancong ke Malaysia. Antara sasarannya orang Arab yang terkenal dengan poket tebal, yang sesetengah pihak mendakwa ada melihat mereka di kota-kota hiburan dunia seperti Bangkok bagi melempiaskan nafsu masing-masing.
Betullah, pada Ramadan yang penuh barakah itu alangkah beruntungnya jika dapat ditukarkan destinasi mereka daripada ke Bangkok ke Kuala Lumpur, jadi tidaklah mereka terlalu bebas untuk bermaksiat. Namun benarkah andaian itu? Dan betulkah kita akan mendapat manfaat besar daripada penganjuran Festival Ramadan terutama bab berkaitan pesta makanan itu?
Orang Islam yang peka apabila bercakap mengenai keuntungan, akan mengiranya daripada aspek dunia dan akhirat. Kita tidak mahu untung di dunia tetapi rugi di akhirat, tetapi mahukan kedua-duanya sekali sesuai dengan salah satu bacaan doa setiap kali selepas solat.
Adakah Festival Ramadan termasuk pesta makan-makan itu sesuai dengan kehendak Islam? Berdasarkan tujuan dan falsafah berpuasa yang mahu mendidik jiwa untuk taat kepada perintah Allah SWT termasuk sama-sama menyelami kelaparan dan orang miskin dan melarat, adalah tidak relevan sama sekali mengaitkan puasa dengan pesta makan-makan. Puasa adalah bulan untuk menahan diri daripada makan berlebihan dan bukan untuk memuaskan nafsu makan.
Tetapi perkara itulah yang berlaku dalam masyarakat kita. Tempat menjual makanan termasuk bazar bertambah setiap tahun, manakala sebahagian makanan yang ditawarkan seperti tahi itik dan badak berendam, tidak mudah didapati pada bulan-bulan lain. Apabila Ramadan dikaitkan dengan pesta makan-makan dan pada peringkat lebih besar Festival Ramadan, maka secara automatik nilai ibadah merosot teruk.
Jika amalan buruk kita (pesta makan-makan dan aneka kegiatan lagi seperti membeli belah, membuat kuih termasuk yang tradisional seperti dodol, mahu ditonjolkan kepada pelancong luar terutama Arab, dikhuatiri kita memberi gambaran yang salah berhubung ibadah puasa sebagai Rukun Islam ketiga.
Pada bulan puasa, surau dan masjid di tanah air kita digemakan dengan solat tarawih dan tilawah al-Quran dan apa yang dibimbangi pengenalan Festival Ramadan akan menjejakan kegiatan peribadahan ini sebaliknya menonjolkan perkara yang tidak terkandung dalam ajaran agama.
Festival Ramadan akan menjadi salah satu acara budaya, lambat laun dikhuatiri ia akan mengembalikan masyarakat ke zaman jahiliah. Ya, dengan semakin bersemaraknya majlis-majlis berbuka puasa sekarang ini termasuklah yang diadakan di hotel ternama, budaya santai makan sepuas hati akan berkembang dan tidak dapat lagi disekat.
Perhatikanlah apa yang berleluasa pada majlis berbuka puasa, jarang ditekankan sama ada hadirin berpuasa atau tidak, soal sembahyang atau menutup aurat dan bebas pergaulan lelaki-perempuan. Malah ada majlis berbuka puasa disertakan nyanyian, kebanyakannya dengan alasan dendangan lagu-lagu nasyid. Sekalipun puasa itu adalah tuntutan agama (Rukun Islam ketiga) tetapi nampaknya kehendak agama diketepikan sebaliknya budaya baru yang muncul termasuk dari segi komersial diketengahkan.
Sehubungan itu, apakah kerosakan ini hendak kita tonjolkan kepada pelancong asing, termasuk orang Arab? Apakah orang Arab yang ‘terbang’ dengan pesawat ke kota hiburan seperti Bangkok mahu kita alihan tumpuan mereka ke festival baru yang mahu kita ada-adakan itu? Benar mereka bagaikan burung yang terbang, yang didambakan ‘duit yang mereka bawa’ tetapi wajarkah tanpa memikirkan kesan dunia dan akhirat, kita sudah memipiskan ladanya?
Berdasarkan pemerhatian penulis di Tanah Suci baru-baru ini, pantang saja hari cuti termasuk hari Jumaat sebagai cuti mingguan, orang Arab begitu bersemangat bersolat di Masjid Nabawi dan Masjidilharam. Mereka akan membawa keluarga, termasuk bayi untuk sama-sama berada dalam masjid, mungkin bagi tempoh sehari suntuk. Jadi keadaan masjid pada hari Jumaat begitu sesak sedangkan hari lain, jemaahnya agak kurang.
Demikian juga kesesakan ketara pada bulan Ramadan. Jemaah dari seluruh dunia Arab termasuk negara jauh seperti Mesir dan Iraq turut berpusu-pusu untuk beribadat di Tanah Suci. Seperti kebanyakan orang Islam dari seluruh dunia, menjadi impian orang Arab untuk beribadat di Tanah Suci terutama di Masjidilharam pada bulan Ramadan. Ini kerana ganjaran pahala dijanjikan Allah SWT berlipat kali ganda, apatah lagi dengan adanya Lailatulqadar. Beribadat dalam Masjidilharam dijanjikan 100,000 kali ganjaran dan jika dilakukan pada bulan puasa, tentunya manfaatnya lebih besar lagi.
Demikianlah hebatnya tawaran Allah SWT kepada insan-insan yang mahu menyerah dan membersihkan diri mereka di Tanah Suci. Penulis percaya insan Arab yang mahu melarikan diri ke kota hiburan seperti Bangkok hanya segelintir saja. Oleh itu, untuk memikat orang Arab ke Malaysia, menyaksikan Festival Ramadan, terasa bagai usaha sia-sia apatah lagi untuk mendapat sedikit sebanyak wang daripada poket mereka, mungkinkah tindakan kita itu menepati peribahasa burung terbang dipipiskan lada?
No comments:
Post a Comment