Wednesday, June 23, 2010

Awasi dukun bergelar ustaz

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Diriwayatkan daripada Anas Radhiyallahu 'anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam telah bersabda, bermaksud: "Kalimah Laa Ilaha Illallah akan selalu memberi manfaat kepada mereka yang mengucapkannya dan akan menghindarkan mereka daripada azab dan bencana, selama mana mereka tidak mengabaikan hak-haknya. Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, apa yang dimaksudkan dengan mengabaikan hak-haknya?" Beliau menjawab: "Apabila maksiat telah dilakukan secara terang-terangan, tetapi tidak dicegah dan diubah daripadanya." (Hadith riwayat Al-Ashbahani - dalam kitab At-Targhib)
***

SEORANG ustaz muda dalam satu pertemuan pada suatu subuh di Masjid Al-Azim Melaka baru-baru ini memberitahu penulis kebimbangannya mengenai rawatan dukun atau pengamal perubatan tradisional yang sewenang-wenangnya mengelar diri mereka ustaz atau orang lain menggelarkannya begitu.

Katanya, sekalipun zaman semakin moden dan canggih, masih ramai orang yang yakin akan rawatan menggunakan bomoh. Tentunya, mendatangi dukun dan bomoh adalah salah dari segi agama, tetapi lebih membimbangkan kerana sesetengah pengamal rawatan cara ini bergelar atau digelar ustaz, katanya.

“Perkembangan ini amat mengelirukan kerana masyarakat Islam terperangkap dengan gelaran ustaz itu lantas berpendapat rawatan dukun atau bomoh berkenaan adalah sejajar dengan ajaran Islam,” katanya.

Ustaz muda itu berkata, pada zaman sekarang, sebahagian besar orang Islam sudah menyedari bahawa mendatangi bomoh atau dukun itu adalah haram tetapi apabila gelaran ustaz atau tok guru dikaitkan dengan pengamal perubatan berkenaan, mereka menjadi keliru lantas terbabit dalam amalan berbahaya yang boleh membawa kepada syirik.

Mengenai rawatan dukun atau perawatan tradisional ini, Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai menjauhi pengamal yang tidak berdaftar kerana boleh menyebabkan penyakit yang dialami bertambah teruk atau mungkin mengakibatkan maut.

Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&C) Kementerian Kesihatan, Dr Ramli Abdul Ghani berkata, jika orang ramai memerlukan rawatan alternatif, mereka boleh ke hospital kerajaan tertentu (hospital di Kepala Batas, Putrajaya, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kota Kinabalu dan Kucing) yang menyediakan perubatan tradisional seperti akupunktur, urut tradisional Melayu dan ubatan herba.

Berbalik kepada isu yang diperkatakan ustaz muda tadi, beliau merujuk kepada kitab Hukum Sihir, Dukun dan Zina karangan Syekh Abdulaziz Baaz dan Umar Suweed yang diterjemahkan oleh Muhammad Abbas, yang antara lain ditulis: “Akhir-akhir ini banyak sekali tukang-tukang ramal yang mengaku dirinya sebagai tabib, dan mengubati orang sakit dengan jalan sihir atau perdukunan. Mereka ini banyak menyebar di berbagai-bagai negeri, orang-orang awam yang tidak mengerti sudah banyak menjadi korban pemerasan mereka.

“Maka atas nasihat kepada perintah Allah dan kepada hamba-Nya, saya ingin jelskan tentang betapa besar bahayanya terhadap Islam dan umat Islam, oleh adanya ketergantungan kepada selain Allah, serta bertolak belakang dengan perintah Allah dan Rasul-Nya.

“...Oleh kerana itu tidak dibenarkan bagi orang yang sakit mendatangi dukun-dukun yang mendakwakan dirinya mengetahui hal-hal yang ghaib, untuk mengetahui penyakit yang dideritanya. Tidak diperbolehkan pula mempercayai atau membenarkan apa yang mereka katakan, kerana sesuatu yang mereka katakan mengenai hal-hal yang ghaib itu hanya didasarkan atau perkiraan belaka, atau dengan cara mendatangkan jin, dan meminta tolong kepada jin-jin itu tentang sesuatu yang mereka inginkan.

“Dengan cara demikian dukun-dukun tersebut telah melakukan perkara-perkara kufur dan penyesatan. Rasulullah s.a.w. menjelaskan dalam pelbagai hadisnya, antaranya daripada Abu Hurairah r.a. yang berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya; ‘Barang siapa yang mendatangi kahin (dukun) dan membenarkan apa yang ia katakan maka sungguh telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. (Hadis riwayat Abu Daud)

Menurut ustaz muda tadi, amalan mengunjungi bomoh tradisional semakin berkurangan tetapi yang menjadi kebimbangan kian ramai yang percaya kepada golongan pengamal yang berselindung di sebalik gelaran ustaz atau mereka yang disyorkan oleh ustaz atau tuan guru. Antaranya, dakwa beliau adalah rawatan pembedahan secara batin, yang tidak memerlukan seseorang pengamal itu membedah anggota tertentu pesakit seperti jantung (bagi pesakit saluran jantung tersumbut dan buah pinggang (seperti pembuangan batu karang).
Ustaz ini mendakwa, ramai orang tertipu dengan kaedah ini, kerana sepanjang sejarah Islam, lahir sejumlah tokoh perubatan sebenar (seperti Ibnu Sinna) yang perlu mendalami ilmu berhubung tubuh manusia bertahun-tahun lamanya dan beliau sendiri melakukan pembedahan sebenar yang membabitkan penggunaan perkakas perubatan.

Beliau turut mendakwa, berdasarkan kisah pembedahan dan penyucian hati Nabi Muhammad s.a.w. yang dilakukan oleh malaikat, pembedahan berlaku secara benar dan bukan batin sahaja. Bahkan hati baginda dibasuh malaikat dengan menggunakan air zam-zam.

Katanya, hal itu sewajarnya menjadi rujukan kepada umat Islam yang sesetengahnya percaya begitu saja terhadap perawat tradisional bergelar ustaz yang mendakwa boleh membedah pesakit dan membaiki anggota yang sakit secara batin, tidak membabitkan pembedahan sebenar.

Ustaz ini meminta masyarakat berfikir secara rasional kerana menurutnya seorang doktor yang menjadi pakar dalam bidang pembedahan pun memerlukan masa belajar yang sangat panjang. “Untuk lulus sebagai doktor saja seseorang itu memerlukan masa pengajian enam tahun di universiti dan untuk menjadi pakar bertahun-tahun lagi,” katanya.

Dalam masyarakat hari ini wujud sejumlah pengamal perubatan tradisional yang mendakwa boleh menyembuhkan penyakit kronik seperti barah, jantung dan buah pinggang. Dakwaan mereka boleh diragui kerana ramai juga yang rasa tertipu selepas menjalani rawatan yang memakan kos ribuan ringgit. Malah kerana terlalu percayakan pengamal perubatan ini (terutama dukun), sejumlah mangsa perempuan diperkosa atau dirogol.

Baru-baru ini seorang wanita membuat laporan kepada Kementerian Kesihatan menyatakan dia ditipu oleh seorang perawat tradisional yang mendakwa berjaya mengubati penyakit barah hatinya.

Hakikatnya selepas menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) menunjukkan barah itu telah mencapai tahap empat dan penyakit itu sudah merebak ke bahagian lain badannya.

Sehubungan itu, ustaz muda berkenaan mengingatkan masyarakat tidak terpedaya dengan perawat tradisional (dukun) termasuk yang digelar ustaz kerana dikhuatiri boleh jatuh syirik manakala wang ratusan atau ribuan ringgit terbang begitu saja manakala ada yang hilang kehormatan.

No comments: