Dari Tashkent ke Timbuktoo dan dari Washington ke Wellington, kerajaan dunia dan media massa yang dikuasai mereka, terus menuding jari kepada apa yang mereka labelkan 'pelampau Islam' apabila berlaku sesuatu keganasan, termasuk kes terbaru di London.
Dan menjadi kecenderungan media massa negara Dunia Ketiga termasuk negara kita menjadi penyambung lidah kepada agensi berita asing/antarabangsa yang mempunyai agenda tersendiri, sama ada secara nyata atau sembunyi.
Mereka seolah-olah menjadi burung kakatua, mengutip apa yang dituturkan tuannya dan kemudian menghamburkannya.
Laporan berita secara membabi-buta (mengulangi apa yang disebarkan) oleh agensi berita asing/antarabangsa tidak menghendaki kehendak ummah yang mahu berfikir, apatah lagi mengaku sebagai seorang Muslim.
Dalam al-Quran (Ayat 6, Surah Al-Hujurat), Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Hai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan kecelakaan kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
Berdasarkan maksud firman Allah SWT ini, adalah penting untuk pengamal media dan cendekiawan mengambil iktibar untuk mewujudkan (atau jika sudah ada, memantapkan) satu cabang ilmu - 'Kewartawanan Islam'.
Bidang ini kurang mendapat perhatian jika dibandingkan dengan 'Kewangan Islam', 'Perbankan Islam', 'Ekonomi Islam', 'Insurans Islam' dan pelbagai skop pengajian lain yang digandingkan dengan nama 'Islam'.
Mungkin ada pihak yang berhujah 'Kewartawanan Islam' tidak segah bidang disebutkan (seperti kewangan dan perbankan) yang membabitkan 'soal wang (fulus)' tetapi berdasarkan perkembangan teknologi maklumat yang begitu pantas, cabang ilmu ini perlu diterokai, dijelas dan diperkemaskan.
Demikian juga perkembangan semasa yang semakin menghanyutkan kebenaran sebaliknya menonjolkan kemaksiatan dan kebendaan sebagai idola, adalah penting untuk menyegerakan cabang ilmu yang dinamakan 'Kewartawanan Islam' itu.
Dua puluh atau 30 tahun lalu, tiada orang bercakap mengenai 'Insurans Islam' atau 'Perbankan Islam' sebagai satu subjek di pusat pengajian tinggi, tetapi kini ia sudah menjadi kenyataan. Begitulah diharapkan dengan 'Kewartawanan Islam', tetapi persoalannya kini, siapa dan di mana ilmu ini hendak disuburkan.
Jika pihak swasta yang terbabit dalam dunia penyiaran dapat merintis jalan dalam menubuhkan akademi kewartawanan dan penyiarannya, tidak ada sebab individu atau kumpulan orang Islam yang berkemampuan sama ada dari segi kewangan atau keilmuan untuk menubuhkan sebuah 'akademi kewartawanan Islam' ataupun sekurang-kurang menghasil sejumlah karya-karya bermutu mengenai kewartawanan Islam.
Ini setidak-tidak akan menjadi cabaran kepada perkumpulan orang Islam, sama ada yang berkaitan dengan politik atau tidak, untuk membuktikan bahawa Islam mencakupi semua aspek kehidupan, hatta dalam pemberitaan dan pelaporan (kewartawanan) kerana media sudah menjadi dominan dalam masyarakat moden.
Sekolah-sekolah kewartawanan dan komunikasi di pusat pengajian tinggi sarat dengan segala ilmu dan teori oleh tokoh-tokoh Barat (dari Amerika dan Eropah) tetapi tidak mengetengahkan langsung seorang pun sarjana Islam dalam bidang berkaitan. Tidak juga dikutip sebarang ayat-ayat al-Quran atau hadis berhubung bidang komunikasi dan kewartawanan.
Pendek kata, hari ini kita dapat saksikan betapa jauh dan terpisahnya bidang kewartawanan dan keagamaan menyebabkan ada pengamal media yang mengaku beragama Islam tidak dapat membezakan antara perkara yang dibenar dan tidak dibenarkan (halal dan haram) dalam mereka menjalankan tugas masing-masing.
Sebagai contoh dalam dunia persuratkhabaran, apa yang sering ditekankan ialah 'sale, sale and sale' (jualan, jualan dan jualan). Dalam mengejar 'sale' ini, difikirkanlah cerita dan gambar yang dapat menarik perhatian pembaca. Maka natijahnya gambar lucah dan berita sensasi tanpa bukti dihidangkan bagi memenuhi keghairahan manusia tanpa sandaran agama semata-mata bagi mengejar 'material reward' (ganjaran kebendaan).
Ilmu kewartawanan yang dicelup bulat-bulat dari Barat itulah yang telah melahirkan sebahagian besar daripada wartawan kita hari ini - daripada pengarang, penerbit sehinggalah kepada wartawan, hatta kepada pemberita daerah atau sambilan nun jauh di ceruk pedalaman.
Mereka tidak menjadikan agama sebagai pokok (dasar) dalam menjayakan profesion mereka tetapi menuruti cendekiawan besar Barat dalam bidang ini. Mereka lebih mengenali dan berbangga dengan 5W mereka daripada memahami 6 Rukun Iman.
Jika mereka 'ada 6 Rukun Iman', salah satu daripadanya percaya kepada Hari Pembalasan, tentulah mereka takut untuk menyiarkan berita bohong atau gambar lucah kerana semuanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Tetapi disebabkan terlalu berkiblat kepada 'tok-tok guru' komunikasi dan kewartawanan Barat, maka jadilah mereka sebagai penyambung lidah agensi berita asing yang dengan mudah melabelkan orang Islam sebagai pengganas, pemberontak, militan, teroris, pengebom berani mati, fundamentalis, ekstremis, pelampau, pemisah dan sebagainya.
Dan alangkah malangnya, hati mereka tidak tersentuh langsung apabila mereka sendiri menulis, menterjemah dan mengambil secara bulat-bulat penghinaan musuh Islam dengan memberi gandingan labelan buruk kepada Islam seperti pengganas Islam, pelampau Islam, ekstremis Islam, teroris Islam dan pengebom berani mati Islam.
Jika musuh Islam melabel Islam begitu, ia difahami tetapi jika orang Islam sendiri yang berbuat begitu, alangkah malangnya nasib umat ini. Berdasarkan perkembangan ini, alangkah baiknya jika ada kumpulan umat yang prihatin dapat segera menyegerakan penubuhan sebuah sekolah atau pusat pengajian 'Kewartawanan Islam'.
2 comments:
Orang media mesti berbangga dengan Islam. Nama baik Islam mesti dijaga jauh lebih baik daripada jaga nama baik sendiri.
Terima kasih di atas bimbingan kewartawanan pada hari ini. Salam ceria (letak gambar dalam blog tentu lebih menarik) dan salam low profile.
assalamualaikum Saudara, terima kasih memberi pandangan, insya-Allah sama-sama perjuangkan Islam.
Post a Comment