Dewasa ini pelbagai institusi pendidikan membabitkan generasi muda dilaporkan mengalami masalah kronik. Daripada sekolah sehinggalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) semuanya bermasalah.
Muktakhir ini gejala gengsterisme di sekolah-sekolah dilaporkan menjadi-jadi sekalipun selepas Menteri Pelajaran, Hishammuddin Hussein memberi amaran akan bertindak keras ke atas pembuli.
Amaran itu diberikan selepas seorang pelajar sebuah sekolah agama di Negeri Sembilan dibelasah sampai mati tidak lama dulu.
Demikian juga gejala tidak diingini membabitkan peserta PLKN semakin berleluasa walaupun selepas Timbalan Perdana Menteri, Najib Tun Razak berikrar bertindak membendungnya.
Gejala songsang ini seolah-olah tidak mempunyai penamatnya. Lagi ditegur, lagi menjadi-jadi, laksana mencurahkan minyak ke dalam api. Nasihat pun tidak diendahkan, bagaikan mencurah air ke daun keladi.
Tentulah masyarakat tertanya-tanya mengapa hal ini terjadi. Di sini kita berharap masyarakat dapat membuka hati dan fikiran agar permasalahan ini dapat dilerai bersama.
Kata pepatah Melayu, bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kalau hendak melentur buluh biar daripada rebungnya manakala bijak pandai pula berkata 'kalau nak tahu masa depan negara, lihatlah pada generasi mudanya'.
Demikianlah, kita percaya sebahagian daripada punca generasi muda kita semakin tidak terkawal adalah persekitaran yang begitu membingungkan.
Jika di rumah dan sekolah, segala keluhuran diterapkan tetapi apabila berada di luar, anak-anak hilang punca.
Di luar sana pelbagai suasana negatif mereka saksikan dan hadapi. Misalnya, akhbar dan majalah lucah serta separuh lucah membanjiri pasaran.
Apabila menjenguk gerai-gerai majalah, kira-kira 80 peratus daripada bahan bacaan, memaparkan gambar-gambar wanita dalam aksi keterlaluan.
Sebaliknya pula, amat kurang sekali bahan bacaan bermutu yang dapat menyuntik minda generasi muda. Demikian juga pengaruh media massa lain seperti televisyen dan radio. Dalam akhbar pun disiarkan keputusan judi (empat nombor ekor).
Jika dalam usia setahun jagung, anak-anak didedahkan dalam suasana kurang sihat, bagaimana mereka dapat membesar dalam keadaan bebas daripada gejala negatif?
Di sini kita ingin bertanya, mengapakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) begitu mudah memberi kebenaran kepada penerbit untuk mengeluarkan bahan-bahan yang boleh merosakkan masa depan generasi muda, seterusnya masyarakat dan negara?
Generasi muda juga mendambakan idola tetapi yang menjadi tumpuan adalah artis-artis dan dunia hiburan yang kerap benar terpesong daripada sempadan tuntutan agama.
Sekali lagi generasi muda gagal mendapatkan contoh baik sebaliknya mereka terikut-ikut gaya penghidupan songsang.
Akhir sekali pemimpin juga mempunyai tanggungjawab besar dalam menentukan masa depan generasi muda.
Jika pemimpin gemar dengan agenda berfoya-foya dengan pesta yang tidak pernah habis-habis, maka tidak hairanlah generasi muda akan terikut sama.
Kata orang, bapa borek anak rintik, kalau guru kencing berdiri, anak murid pula akan kencing berlari!
No comments:
Post a Comment