Friday, January 20, 2023

Jamadilakhir 27, 1444: Berdakwah di udara

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran - Ayat 1-3 Surah Al-Asr


SEORANG sahabat saya (rakan sekolah menengah dahulu) masih kencang berniaga pada usia 'tak berapa muda' ini - ya usia kami sudah lebih 60 tahun. Urusan niaganya memerlukan dia kerap ke luar negara - baharu-baharu ini dia ke Algeria dan Kazakhstan.


Perjalanan ke negara-negara jauh ini memakan masa lama - adakalanya lebih 10 jam dalam perut kapal terbang. Tentunya seseorang penumpang yang tak betah memanfaatkan masanya akan terasa bosan.

 

Penumpang pelbagai ragam - ada yang membanyakkan 'tahi mata', ada yang asyik dengan paparan di skrin (tengok filem, rancangan hiburan), ada yang rancak berbual dan 'yang tak terduga' mengorat pramugari.


Kawan saya yang selalu ke luar negara itu juga menyatakan kebosanannya. Yalah dia sudah terlalu kerap naik kapal terbang, dia 'tak ambil pot' lagi dengan rutin dalam pesawat seperti aksi pramugari dalam bab keselamatan dan menghidangkan makanan. Dia bertanya apakah saya juga  jenuh dalam suasana begitu dan bagaimana saya mengatasi kebosanan di udara?


Saya tidak menjawab soalan sahabat itu tetapi menceritakan satu pengalaman tak terlupakan ketika saya dalam penerbangan dari Doha ke Kuala Lumpur tak lama dahulu. Penumpang di sebelah saya adalah seorang doktor pakar bius bangsa Cina dari sebuah hospital swasta di Pulau Pinang. 


Maklumat mengenai dirinya tidak saya perolehi pada awal perkenalan, tetapi lama kemudian, al-maklumlah 'kita' terpaksa duduk terhimpit dalam pesawat itu lebih kurang lapan jam. 


Penumpang itu duduk di sisi tepi laluan pejalan pesawat, saya meminta izin untuk bertukar tempat kerana saya orang jenis kerap ke tandas. Takut pula kerap mengganggu penumpang sebelah. Dia nampaknya enggan berpindah, tetapi bertanya apakah saya ada masalah kesihatan yang menyebabkan saya  kerap ke tandas.


Saya berterus terang menyatakan saya ada masalah prostat; tak tersangka dia ramah memberi penerangan mengenai penyakit itu. Doktor dua tahun lebih tua daripada saya (dia berusia 62 tahun) berkata ada kemajuan dalam bidang perubatan membolehkan penyakit prostat dirawat tanpa melakukan pembedahan.


Apabila sudah 'ngam' rancaklah perbualan kami. Apabila pengumuman menyatakan makanan akan dihidangkan sebentar lagi, saya perhatikan doktor itu mengeluarkan satu plastik ubat dan dia menelan sebutir ubat. Saya tanyakan ubat apakah itu? Kemudian, lepas makan, dia menelan ubat lagi.


Doktor itu berkata dia ada masalah kesihatan juga. Dia perlu mengambil pelbagai pil termasuk ubat pencair darah (aspirin) dan ubat sakit jantung. Saya 'ketawa dalam hati' - eh bukan sahaja aku yang kena ambil ubat harianku untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi - doktor pun kena makan ubat. Tetapi 'ketawa dalam hati' aje sebab kalau 'nak cari nahas' jawabnya.


Penyakit membawa seseorang dekat kepada kematian, ya, ya, bukan saya sahaja sakit, doktor pun sakit. Saya teringat sebuah lagu sufi...raja-raja mati, orang miskin mati, semua orang mati, saya akan mati dan doktor pun akan mati. Tiada orang yang tak mati...


Sambil makan banyak perkara kami bualkan...selepas makan saya perhatikan dia mengambil dan menatap sebuah buku tebal 'The Rise and Fall of the Roman Empire' (Kebangkitan dan Kejatuhan Empayar Rom). 


Tiba-tiba Allah SWT ilhamkan saya untuk bercakap hal agama dengan doktor itu. Saya katakan kepadanya, doktor sedang membaca buku mengenai empayar Rom, tahukah doktor dalam al-Quran ada kisah mengenai Rom ini? Ada 114 surah dalam al-Quran, salah satu daripadanya bernama Surah Al-Rom.


Doktor itu berkata, yakah? Selepas itu banyaklah perkara agama yang kami diskusikan. Dia berkata dia dahulu penganut Buddha sebab mak bapak dia Buddhist,dia ikut sahaja. Selepas itu menjadi Kristian sehingga sekarang.


Saya terangkan kedudukan Jesus (Isa a.s.) dalam Islam - Isa seorang Nabi sama seperti Nabi Muhammad s.a.w., Noah (Noh), Abraham (Ibrahim), Moses (Musa)...


Doktor itu bertanyakan soalan-soalan yang sukar mengenai Islam - misalnya adakah orang Islam menyembah batu hitam (Kaabah) dan apa ada dalam Kaabah itu...dan soalan maut ini...mengapa orang Islam (pemimpin) di Malaysia 'banyak' yang rasuah?


Sehingga kapal terbang mendarat di KLIA selepas lapan jam, kami lebih banyak berbual daripada tidur. Saya mengingatkan doktor itu supaya cuba mencari al-Quran terjemahan bahasa Inggeris bagi mengetahui Surah Al-Rom dan kalau 'susah dan sibuk sangat' (al-maklumlah dia doktor pakar hospital swasta) cubalah 'google' (Dr Google) di internet dan dapatkan maklumat mengenai hal itu.


Doktor itu mengiyakan dan menulis nama dan nombor telefon peribadi di tiketnya dan menyerahkan kepada saya dan berkata sudi-sudilah telefon dia...ya saya telah cuba berdakwah di udara...jadi kepada sahabat yang kerap naik kapal terbang itu, cuba-cubalah berdakwah di udara.


No comments: