Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah
KEMAJUAN dalam bidang perubatan terkini membolehkan pembuangan batu karang dilakukan tanpa pembedahan - salah satu prosedurnya dinamakan 'cystolitholapaxy' - pakar memasukkan satu tiub nipis berkamera ke pundi kencing (urethra) melalui saluran kencing.
Pakar mendapat gambaran mengenai batu itu dan kemudian berusaha memecah batu melalui kaedah laser, ultrasound atau alatan kecil dan kemudian melakukan proses 'vacuum' - menyedut keluar serpihan batu itu.
Kaedah inilah yang dilakukan ke atas diri ini di hospital swasta itu. Sebelum ini pakar memberitahu saya komplikasi daripada 'cystolitholapaxy' adalah jarang tetapi ada kalanya boleh menyebabkan koyakan di tembok pundi kencing dan berlaku infeksi.
Pilihan lain daripada 'cystolitholapaxy' adalah melakukan pembedahan - pakar bedah akan menembusi pundi kencing melalui torehan di perut (abdomen) dan mengeluarkan batu itu. Namun perlu diingat bahawa sebarang prosedur pembedahan, ada risikonya dan proses pemulihan dan penyembuhan adalah lebih lambat.
Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah, proses membuang batu karang ke atas saya melalui kaedah 'cystolitholapaxy' ini berjalan lancar - hampir jam 12.00 tengah malam (saya dimasukkan ke kamar bedah jam 9.00 malam), saya 'ditolak' kembali ke katil saya di wad. Memanglah ketika itu saya tak dapat bergerak kerana kesan bius, beberapa 'misi' bekerjasama memindahkan saya ke katil asal.
Sekarang ini, apabila mengenang-genang peristiwa ini, saya bermuhasabah akan beberapa perkara. Yang pertama, betapa pemurah dan penyayang Yang Maha Berkuasa...tiba-tiba sahaja saya mendapat rezeki (pembiayaan) tanpa disangka-sangka untuk menjalani rawatan di hospital swasta ini.
Teringat saya bicara ustaz-ustaz mengenai rezeki tidak disangka-sangka itu. Mereka memetik firman Allah SWT.yang bermaksud: "Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, maka Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dari kesusahan, dan diberikan-Nya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan keperluannya." (Surah At-Talaq ayat 2-3)
Perkara kedua yang saya fikir-fikirkan adalah mengenai keajaiban doa yang kerap disyarahkan sejumlah ustaz yang berkata doa yang menjadi senjata orang mukmin itu dimakbulkan oleh Allah SWT melalui pelbagai cara.
Ada doa yang dimakbulkan secara terus - misalnya kita nak satu perkara (katakan A), Allah akan bag A kepada kita di dunia ini lagi. Ada doa pula, ditangguhkan makbulnya, di akhirat nanti kita akan dapatkannya, dan ada doa pula, katakan kita nak A, Allah tak bagi A tetapi bagi kita B. Misalnya kita berdoa nak kaya tetapi kita tak kaya-kaya pun tetapi Allah bagi kita kesihatan yang baik atau mengelakkan kita daripada bencana.
Bagi diri saya dalam menghadapi penyakit ini...selepas membaca sejumlah kisah luar biasa insan lain seperti mereka memperbanyakkan sedekah bagi merawat penyakit masing-masing...ya ada yang sembuh daripada penyakit jantung, kanser dan sebagainya...saya pun secara 'sikit-sikit' cuba menjejak langkah mereka.
Ada yang menjadikan kisah Nabi Ayub a.s. sebagai panduan. Selepas bertahun-tahun, penyakit Nabi Ayub akhirnya diangkat oleh Allah SWT, Insan-insan ini berdoa agar penyakit mereka pun diangkat oleh Yang Maha Kuasa.
Saya ada berdoa, antara lain...ya Allah, Kau hilangkan batu itu daripada diriku...Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah...batu itu benar-benar hilang daripada diri ini...kini serpihan batu itu terkumpul dalam sebuah tabung plastik kecil (agak banyak) berada dalam simpanan saya - ya untuk dibuat kenangan dan bahan muhasabah...dahulu ia berada dalam tubuh saya, sekarang sudah berada di luar. Demikian betapa hebat kuasa Allah SWT
No comments:
Post a Comment