Monday, April 27, 2020

Secebis Kisah Ramadan 4: 'Tangan ajaib'

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

RENUNGAN

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35) 


SECEBIS KISAH RAMADAN 4

'Tangan ajaib'


DULU semasa menjadi editor sebuah akhbar, saya meminta seorang ustaz menulis untuk akhbar kami.  Ustaz itu berkata dia akan cuba. Tetapi selepas berjumpa semula, sang ustaz meminta maaf, bahan itu tak dapat disiapkan. Katanya dia tak ada bakat menulis.


Katanya, sekali pun 'biasa' menjadi khatib Jumaat, berceramah, bertazkirah, menyampaian pengajian di masjid dan tempat lain, dia tidak ada bakat menulis.


"Saya cuba menulis, tetapi tak jadi. Dulu apabila menulis menggunakan mesin taip, kerap kali saya renyuk dan lemparkan kertas ke dalam tong sampah. Tak jadi-jadi apa yang saya tulis. Maaf ya, saya tak dapat menulis untuk akhbar awak."


Sekarang ini ketika perintah 'berkurung' dan Ramadan, saya teringat kisah sang ustaz ini. Ramai orang memanfaatkan masa untuk melakukan pelbagai kerja tangan - daripada cuba memasak, membuat kuih, menanam sayur-sayuran dan membuat barangan DIY (do it yourself).


Sekarang orang kita menjadi kreatif, mereka ambil ilham daripada media sosial. Jadi mereka cuba tanam tauge, bawang dan pelbagai sayur-sayuran lain dalam bekas tertentu dan dalam rumah lagi. Mereka masak, cuba pelbagai menu. Ada yang jadi, ada yang hasilnya tak memuaskan dan lebih malang lagi ada 'projek'benar-benar lingkup (ada masakan rentung) dan merugikan!


Dulu saya yang senantiasa menanam sayur-sayuran di sekitar rumah, menghadiahkan benih bendi kepada rakan-rakan dan jiran-jiran di kampung. Seorang sidang kampung mengadu benih yang disemainya tak tumbuh-tumbuh sedangkan tanaman isterinya tumbuh subur dan segar.


Kami ketawa membicarakan hal itu. Kata saya, Allah mengurniakan 'tangan ajaib' kepada orang tertentu. Ada individu mempunyai 'tangan ajaib' dalam bab-bab pertanian - apa yang ditanamnya, insya-Allah menjadi. Ada yang 'tangannya keras dan panas'...apa yang ditanamnya berkemungkinan tak menjadi.


Orang yang 'tangan keras' dalam bab menanam, mungkin dia ada 'tangan ajaib' dalam memasak - apa yang dimasaknya sedap-sedap belaka...seorang anak berkata apa yang dimasak ibunya sedap-sedap belaka...campak-campak saja pun sedap 'nau'!


Ada orang mempunyai 'tangan ajaib' dalam bertukang. Apa yang dibuatnya semuanya menjadi. Ada pula yang 'tangan keras' atau 'keras tangan' - apa yang ditukangnya tak menjadi malah apabila dia naik darah, habis barangan yang dibuatnya dihentam dengan tukul sampai hancur lunyai!


Subhanallah, setiap orang Allah SWT bekalkan kemahiran dan kehebatan pada diri masing-masing. Mungkin tak ada orang yang mempunyai 'tangan ajaib' dalam semua perkara. Kalau seseorang itu mempunyai 'tangan ajaib' dalam semua bidang...susahlah orang lain kerana dia tak perlukan perkhidmatan orang lain.


Sebagai contoh, ada orang ada 'tangan ajaib' dalam bab berniaga; duitnya mungkin berkepol-kepol tetapi dia masih perlukan khidmat orang lain misalnya petani bagi menyediakan beras, nelayan bagi menyediakan ikan, pengusaha makanan bagi menyediakan minyak, tempe, mi, cili boh dan sebagainya. Malah dia perlukan 'tangan ajaib' sang isteri atau pembantu bagi menyiapkan 'makanan di meja'!


Jadi, jangan risau jika anda tidak mempunyai 'tangan ajaib' sebaliknya 'tangan keras' atau 'keras tangan' dalam memasak atau menanam sayur kerana hasilnya 'HANCUS', tetapi anda perlu sedar dan insaf dikurniakan Allah SWT 'tangan ajaib' dalam bidang lain...anda perlu akui nikmat Allah ini, jika tak tahu, cuba muhasabah diri, apatah lagi kini adalah Ramadan.


* TERUSKAN amalan Ramadan sekali pun dalam 'berkurung'






No comments: