Friday, January 24, 2020

Tanah Suci 2: Rela berpanas daripada memasuki masjid...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang beriman, beramal salih, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr

ALHAMDULILLAH sebagai insan yang pernah menunaikan haji dan umrah (bukan pada musim haji), penulis berpeluang menyaksikan sedikit sebanyak perbezaan senario kedua-duanya.

Keadaan jemaah pada musim haji adalah terlalu sesak; di dalam masjid sama ada di Masjid Nabawi di Madinah atau Masjidilharam di Makkah sentiasa penuh dengan jemaah tetapi tatkala menunaikan umrah (di luar musim haji dan Ramadan), ada banyak 'lompang' (suasana kosong) dalam masjid.

Namun apa yang menimbulkan tanda tanya di hati penulis mengapa ramai juga jemaah yang suka beriibadat di luar masjid termasuk di dataran bawah payung  'pintar' di Masjid Nabawi dan tepi kedai-kedai berhampiran Masjidilharam.

Penulis saksikan daripada awal lagi (lama sebelum masuk waktu solat waktu), mereka berhimpun dalam saf di dataran luar masjid malah ada yang siap sedia menunggu di dataran berhampiran tandas. Penulis tidak berani membuat sebarang tanggapan terhadap golongan ini. penulis serahkan kepada agamawan untuk menghuraikannya.

Cuma di bawah ini penulis sertakan tulisan seorang pembaca mengenai perkara ini.

KISAH 2

MENJELANG maghrib, ketika memasuki kota Makkah dari Madinah, entah kenapa dada saya berdebar-debar. Bagi menenangkan hati, saya bertalbiah sehingga sampai ke hotel Al-Rashid.

Ingatan saya kembali ketika berkursus di mana ustaz menerangkan bahawa sembahyang di Masjid Nabawi adalah 1,000 kali lebih afdal daripada masjid lain manakala di Masjid Al-Haram ia adalah 100,000 kali ganda.

Oleh demikian alangkah ruginya jika jemaah yang datang dari seluruh dunia tidak merebut peluang keemasan seumur hidup itu? Ramai juga yang suka duduk di luar kawasan masjid, berbual-bual dan terus membeli-belah sekalipun solat waktu sudah hampir.

Pelbagai ujian, rintangan dan dugaan Allah saya tempohi. Saya memohon kepada Allah janganlah saya mudah jatuh semangat dalam menyempurnakan rukun dan wajib haji.

Suasana ketika hendak masuk waktu solat di persekitaran masjid amat menakjubkan kerana semua umat Islam menuju ke satu arah sehingga menyebabkan kesesakan amat teruk.

Menitis air mata melihat lautan manusia - kecil, besar, tua, muda dan cacat - berpakaian serba putih. Sayu mata memandang dan dapat dirasakan betapa kerdilnya diri kita di sisi Allah.

Ketika itu tenaga amat diperlukan. Dinasihatkan kepada orang muda yang mampu, jangan berdolak-dalih untuk mengerjakan haji. Ada yang takut hendak menunaikan haji semasa muda kerana bimbang akan membuat maksiat selepas itu.

Semasa berulang-alik ke Masjid Al-Haram, suatu hari saya terpandang seorang jemaah berusia dalam lingkungan 55 tahun beriktikaf di atas jalan raya.

Tempatnya di jalan ke arah Maktab Tabung Haji, berdepan Istana Raja sambil menunggu waktu Asar dan membaca surah Yasin.

Terlintas di fikiran saya, daripada berpanas, dan menghadapi pelbagai situasi kurang elok seperti jemaah berkahak, menghembus hingus manakala persekitaran berdebu dan bernajis tahi burung, lebih baik duduk di dalam bilik hotel saja.

Dari bilik hotel yang berhawa dingin, nampak juga pintu Al-Malik Abdul Aziz. Hari berulang hari, saya amati orang yang sama berada di situ sehingga timbul rasa cemburu di hati dan ingin tahu apakah istimewanya tempat itu.

Pada keesokan harinya saya bergegas awal ke masjid jam 3.00 petang untuk solat Asar bagi memastikan ruang dalam masjid masih ada.

Saya terpandang orang yang sama baru saja menghamparkan sejadah di atas jalan raya. Saya mendekati beliau dan mendapati jemaah itu rupanya dari Malaysia berdasarkan kad nama di bajunya.

Ketika itu tidak semena-mena saya beristifar berulang kali serta menggeleng-geleng kepala kerana berfikir alangkah ruginya jika pak cik itu datang awal-awal tetapi tidak mahu masuk ke dalam Masjid Al-Haram.

Apakah dia tidak mahu melihat Kaabah, bertawaf dan berjemaah di dalam saf. Kenapa...?kenapa...? kenapa...? Tidakkah pak cik itu tahu dengan melihat saja Kaabah, dia sudah mendapat pahala, apatah lagi jika dia tawaf atau solat dalam Masjid Al-Haram.

Adakah pak cik ini tidak mahu berfikir!!! Adakah dia beranggapan lebih baik duduk di tepi jalan ini sama orang lain yang berjanggut, berjambang dan berjubah daripada kalangan bangsa lain? Adakah dia fikir jika duduk di tepi jalan itu, selepas sembahyang senang keluar, tak payah berebut-rebut hendak balik.

Tergerak juga hati saya hendak menegur sikap pak cik itu tetapi terasa berat mulut, kelu, terkunci tidak upaya untuk berkata-kata.

Hanya mata memandang pada hal sayalah orangnya yang akan menegur, tidak kira tua atau muda ke arah kebaikan dalam hal-hal yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.
Pengalaman tersebut adalah sebagai peringatan kepada bakal jemaah haji supaya rajin-rajinlah berkursus dan menambah ilmu sebagai bekalan ke Tanah Suci.

Ini kerana ketika di sana, tidaklah kita teraba-raba termasuk mengikut-ikut orang lain. Lain orang lain mazhabnya dan tidak wajar kita mengikut mereka secara membabi-buta.

Jemaah terlalu sibuk dengan urusan masing-masing bagi menyempurnakan ibadat haji sedangkan kita akan terkontang-kanting sendirian jika tiada ilmu. - HAJI AAL

No comments: