DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Demi masa. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. - Maksud Ayat 1-3 Surah Al-Asr
ALHAMDULILLAH, baru-baru ini saya ke Tanah Suci, mengerjakan umrah. Saya ke sana bersama isteri dan dua anak perempuan remaja. Syukur kami dapat menunaikan ibadat dengan selesa dan selamat kembali ke tanah air.
Pada bahagian pertama siri ini, izinkan saya menukiil kisah kucing yang diketahui menjadi binatang kesayangan Rasulullah s.a.w. Ada dikisahkan Nabi Muhammad s.a.w. memotong bahagian jubahnya yang 'ditiduri' seekor kucing kerana tidak mahu mengganggunya. Malah ada seorang sahabat baginda digelar Abu Hurairah yang bermaksud Bapa Kucing.
Di kawasan rumah saya, saya ada 'membela' kucing-kucing terbiar. Kucing-kucing itu datang dan pergi, saya hanya menyediakan makanan dan minuman untuk mereka. Jumlah kucing itu berubah-ubah...suatu pagi saya mengira ada 15 ekor semuanya.
Seminggu sebelum berangkat ke Tanah Suci, berlaku 'fenomena' luar biasa terhadap kucing-kucing itu. Suatu malam saya terjumpa bangkai seekor kucing hitam besar di pangkal pokok mangga. Untuk 'segera selesai masalah', saya menggambil cangkul, menggali lubang dan mengambus bangkai itu di situ juga.
Tengah hari esoknya terkejut besar saya mendapati bangkai kucing jitam itu terdampar di tanah dengan kuburnya ada kesan dibongkar. Ini 'satu misteri' tetapi saya buat tak peduli dengan mengandaikan kubur itu digali oleh biawak yang tak sempat 'melarikan mayat'. Sekali lagi saya kuburkan bangkai kucing itu dan menganggap masalah sudah selesai.
Rupa-rupanya kisah kematian kucing hitam itu tidak berakhir di situ. Seekor demi seekor kucing di kediaman kami mati. Ada kalanya saya menanam dua 'mayat' (bangkai) pada satu hari. Akhirnya, pada hari saya berangkap ke Tanah Suci, di kediaman kami tiada seekor kucing pun untuk 'mengucapkan selamat jalan' kepada kami!
Saya gagal membaca isyarat Allah SWT daripada peristiwa ini. Masih terbetik di hati saya kucing-kucing ini mati disebabkan penularan penyakit - mungkin sama seperti yang berlaku kepada ternakan ayam jika terjadi serangan penyakit sampar atau orang kampung saya kata 'penyakit berak kapur'. Saya pernah menyaksikan keadaan ini di mana hampir semua ayam mati.
Ketika kucing banyak di kediaman saya, saya membeli berpaket-paket palet makanan kucing sebagai simpanan. Kini apabila kucing sudah tiada, apa saya hendak buat dengan makanan itu? Seorang anak lelaki yang baru balik dari Makkah, mencadangkan: "Bapak bubuh palet itu dalam botol minuman kosong, masukkan dalam beg dan di Makkah dan Madinah nanti bapak bagilah kucing-kucing di sana makan!"
Saya tak buat seperti yang disyorkan anak saya itu dan apabila berada di pekarangan Masjid Nabawi memang betul ada sejumlah kucing yang montel-montel serta jinak menunggu 'disantuni' dan diberi makan oleh kita...jadi sangat menyesallah saya.
*****
Pada ruangan ini saya memohon tuan puan pembaca yang ingin menceritakan pengalaman di Tanah Suci sebagai tatapan dan iktibar pembaca Harakah agar menulis dan 'meng-e-melkan;nya' kepada saya: di alamat Lanh14@gmail.com. Insya-Allah, kisah berkenaan akan disiarkan di ruangan ini.
*********
Mengenai kisah kucing, ada dua pembaca menukilkan cerita mereka.
1. Di Masjidilharam saya terlihat beberapa ekor kucing dekat telaga Zamzam (sekarang ini sudah ditutup). Saya cuba membelai kucing-kucing berkenaan kerana memang sukakan haiwan itu.
Malangnya apabila dipanggil, ia hanya mengiau dari jauh. Semuanya sihat-sihat belaka dan sungguh comel sekali seperti kucing Friskies.
Suatu ketika selepas sembahyang Maghrib, seekor kucing yang sedang berkeliaran tiba-tiba membuang air kecil di atas beg tangan seorang jemaah dari Malaysia yang diletakkan di hadapan beliau.
Kami terdiam melihat peristiwa tersebut dan berasa tidak senang hati. Apa agaknya hikmah di sebalik peristiwa itu hanya Allah yang tahu.
2. Ada seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji beberapa tahun lalu. Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.
Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur.Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja. Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.
Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.
Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius.
Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap. Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati
dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.
Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.
Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.
Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.
Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.
Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.
Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.
Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda. Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya.
No comments:
Post a Comment