Saturday, September 7, 2019

Rumah tangga 8: Terbanglah wahai si anak burung...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

PERTENGAHAN dan akhir tahun ini, puluhan ribu anak-anak muda memasuki institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Mereka memulakan hidup baru, sebahagiannya berenggang daripada ibu bapa buat pertama kali dalam hidup.

Bagi lepasan SPM (sesetengahnya belum berumur 18 tahun) yang berpeluang ke luar negara, dilihat sebagai ‘terlalu hijau’ untuk meneroka alam baru di tempat asing. Tetapi itulah hakikatnya, pengorbanan diperlukan daripada seorang insan bergelar pelajar bertukar mahasiswa bagi menjayakan cita-cita murni diri, keluarga, bangsa, negara dan agama.

Sebagai insan yang pernah melalui zaman ‘sukar’ ini (membuat pemilihan terbaik kira-kira 30 tahun lalu), penulis gagal memenuhi harapan banyak pihak sama ada ibu bapa, sekolah, saudara-mara, penduduk sekampung, penaja pengajian malah diri sendiri.

Teringat semasa saudara-mara berkumpul di rumah tatkala menghantar saya menaiki kereta api ke sebuah negeri nun di utara tanah air bagi memasuki tingkatan satu sebuah sekolah berasrama penuh di sana pada tahun 1975 dulu, ada yang berkata; “inilah bakal doktor”, “inilah bakal ‘engineer’ (jurutera)” dan “ini bakal loyar (lawyer).”

Masa cepat berlalu, pengajian sekolah menengah pun berakhir. Saya dalam dilema. Saya tidak berminat dalam profesion dinyatakan, saya mahu menjadi seorang penulis, wartawan atau sasterawan. Begitu mengejutkan kerana saya memilih memasuki tingkatan enam, bertukar aliran daripada sains kepada sastera.

Memanglah saya menyediakan cabaran tersangat hebat kepada banyak pihak terutama ibu bapa. Mereka terpaksa bersabar dengan karenah ‘gila’ saya itu. Bayangkan suatu ketika beberapa pegawai MARA dari Kuala Lumpur datang ke teratak kami, bertanya mengapa saya tidak melaporkan diri, membuat persiapan di Wisma Belia KL, sebelum dihantar ke luar negara.

Itu cerita lama, kini ada anak saya menghadapi situasi hampir sama. Memang benar remaja dalam usia 18 tahun, selepas tamat sekolah menengah, berada dalam keadaan ‘terumbang-ambing’ membuat pilihan. Mereka tidak tetap dalam membuat keputusan. Kejap mahu menyertai bidang itu, kemudian bidang lain pula. Sekejap mahu masuk matrikulasi, kemudian universiti, masuk institusi perguruan, selepas itu berubah fikiran lagi.

Sebagai bapa, saya memberi kebebasan kepada anak-anak. Terpulanglah kepada mereka hendak jadi gurukah, jurutera, doktor, peguam atau apa saja bidang pekerjaan sama ada dengan belajar di dalam atau luar negara. Terbanglah wahai anak-anak, buatlah apa yang terbaik untuk agama, bangsa, negara dan keluarga.

Demikianlah pada usia 18 tahun, selepas tamat tingkatan lima, adalah permulaan zaman baru yang begitu mencabar. Bagi yang tidak melanjutkan pelajaran, sebahagian besar akan memasuki dunia pekerjaan, ada yang melalui dunia getir bernama pengangguran dan tidak kurang menempah tiket menjadi suami atau isteri.

Kepada mereka diucapkan ‘selamat terbang’ bagi memulakan penghidupan baru. Seperti anak-anak burung yang mula menggerak-gerakkan kepak untuk terbang, demikanlah anak-anak ini. Belajarlah untuk ‘terbang’ daripada kediaman selesa dan ketiak ibu bapa masing-masing, berdikari menghadapi dunia penuh pancaroba. Anak-anak burung akan terbang dan jatuh; demikian juga anak-anak remaja. Ada kalanya patah sayap, akhirnya terbang jua.

Saya pernah membaca pesanan-pesanan hebat daripada ibu bapa kepada anak-anak sebelum mereka meninggalkan rumah masing-masing bagi memulakan kehidupan baru. Seorang bapa Amerika sebelum menghantar anaknya ke kolej (universiti) dipetik sebagai berkata: “Terbanglah wahai si anakku bagi memulakan kehidupan barumu. Rumah ini sentiasa terbuka untuk kepulanganmu. Tetapi seperti burung yang sudah pandai terbang, kamu pasti tidak betah kembali. Namun, percayalah ayah sentiasa menyediakan bahu untuk kamu sandari kepalamu.”

Demikian juga bagi remaja yang memilih untuk berkahwin seterusnya meninggalkan rumah orang tua ada pesanan hebat dibuat oleh bapa dan ibu.

Asma’ binti Khorijah dipetik sebagai menyampaikan pesanan ini kepada anak perempuannya tatkala malam pernikahannya: “Sesungguhnya engkau akan keluar dari sarang yang membesarkanmu lalu engkau beralih ke tempat tidur yang tidak kamu ketahui dan pendamping yang kamu tidak pernah bergaul denganya. Maka jadilah engkau sebagai bumi baginya agar ia menjadi langit bagimu.

“Jadilah kamu hamparan baginya agar ia menjadi sendi bagimu. Jadilah hamba baginya agar dia menjadi hamba bagimu. Janganlah engkau memaksa tuntutanmu sehingga dia membencimu. Janganlah engkau menjauhinya sehingga dia melupakanmu. Jika dia mendekatimu, maka dekatilah dia dan jika dia menjauhimu maka hindarilah dia. Jagalah hidung, pendengaran dan matanya. Janganlah sekali-kali ia mencium daripada dirimu kecuali bau yang harum, janganlah ia mendengar daripadamu kecuali ucapan yang baik dan janganlah ia memandang darimu kecuali yang indah-indah.”

Seorang tokoh pendidikan tempatan, lain pula pendapatnya. Katanya, sekalipun sudah keluar rumah dan memulakan kehidupan baru, anak-anak perlu sentiasa dipantau. Sekalipun mereka sudah berkahwin, ibu bapa perlu ambil tahu hal ehwal anak-anak. Sesekali jenguklah rumah anak-anak yang sudah berkahwin, ambil tahu sama ada kehidupan mereka berlandasan Islam atau tidak. Pastikan anak menantu ambil berat hal ehwal agama terutama sekali solat. Anak-anak mereka (cucu) juga perlu dididik secara Islam agar terselamat dan tergolonglah keluarga itu dalam warisan orang beriman seperti yang didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada anak cucu baginda.

Cabaran anak-anak yang ke luar negara lagi hebat, oleh itu ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menasihati mereka. Dalam usia mentah 18 tahun, mereka pasti terkejut dengan kelainan budaya dan cara hidup. Tetapi, mahu tidak mahu, mereka pasti ‘terbang’ jua, jadi sebelum ke ‘awan biru’ lengkapilah dada mereka dengan ilmu agama secukupnya.

No comments: