DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
SESEKALI saya sekeluarga bertukar selera - makan di restoran Arab. Biasanya makanan Arab disediakan dalam 'portion' (hidangan) besar. Kerap benar kami tidak mampu menghabiskannya.
Apa yang menggembirakan di restoran Arab kita boleh meminta pelayan 'mentapau' (membungkus) lebihan makanan untuk dibawa pulang. Mereka selalunya gembira melakukannya - buktinya selain senyum mereka memasukkan makanan itu bungkusan baru yang kemas dan cantik. Mereka tidak merungut sikit pun.
Namun ketika makan di gerai atau restoran Melayu saya tidak pernah meminta pelayan membungkus makanan yang tak habis di makan. Sebab apa? Ini kerana muka pekerja atau pemilik kedai dilihat kerap masam mencuka menakutkan pelanggan. Saya pun tidak pernah menyaksikan pelanggan yang meminta makanan yang tak dihabiskan, dibungkus untuk dibawa pulang.
Yalah, kerap benar di gerai atau restoran, saya lihat makanan yang masih berbaki separuh atau suku pinggan dibuang begitu saja. Di majlis orang kahwin pun sama. Ada tetamu mengambil nasi dan lauk bertimbun. Ramai tetamu makan tak habis, dan paling menyedihkan mereka membasuh tangan di atas lebihan makanan itu. Malah ada yang menggunakan ketulan nanas dan potongan buah limau untuk mencuci (meramas) tangan - kononnya bagi menghilangkan kesan minyak.
Demikianlah, sayang seribu kali sayang, ramai orang melakukan pembaziran makanan; mungkin sesetengahnya tidak pedulikan langsung sebuah hadis yang menyebut bahawa pembaziran itu adalah kawan syaitan.
Berdasarkan senario ini dan di pelbagai tempat lagi, statistik menunjukkan jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.
Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia. Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.
Berdasarkan ini, kita berpendapat kerajaan Malaysia Baharu dan rakyatnya perlu mengubah orientasi dalam bab mengenai makanan ini. Dulu rejim lama dilhat terlalu 'menekankan' mengenai 'bab makan' ini - sebagai contoh pada ketika pegawai bermesyuarat atau berkhusus 'makanan adalah mewah' sehingga ada mendakwa 'mereka makan lima kali sehari'. Demikian juga majlis perjumpaan politik atau hari terbuka perayaan...rakyat 'diajar' untuk makan dan makan! Di sini banyak berlaku pembaziran makanan...jika bapa (pemimpin) borek, anak (rakyat) rintek.
Baru-baru ini Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan satu laporan yang menyatakan Perancis sebagai negara paling kurang membazir makanan. Pengguna di negara ini membuang kira-kira 67.2 kilogram makanan setiap orang setahun berbanding 95.1kg di Amerika Syarikat, 87.1kg di Belgium dan 78.2kg di Kanada.
Di Perancis sudah diperkenal peraturan semua pasar raya wajib 'menyedekah' produk makanan lama kepada rumah kebajikan demi elak pembaziran. Ya kenapa agaknya di negara maju Barat boleh dikurangkan pembaziran makanan sedangkan di negara kita malah di negara Arab/Islam yang kaya raya seperti Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berlaku pembaziran makanan yang melampau? Dilaporkan di UAE, 500 tan makanan dibuang setiap hari pada bulan Ramadan.
Ada cendekiawan mengesyorkan Akta Pembaziran Makanan diwujudkan di negara ini bagi mengatasi budaya pembaziran dalam kalangan rakyat terutamanya yang dilihat banyak berlaku sepanjang bulan Ramadan dan Syawal.
Akta ini perlu diperkenalkan segera dan pelbagai jenis tindakan undang-undang berbentuk penalti boleh diwujudkan untuk diambil terhadap individu atau organisasi yang melakukan atau terlibat dalam aktiviti pembaziran tanpa mengira waktu dalam negara ini. Yalah, adalah baik untuk kita memikirkan hal ini walau sejenak cuma!
No comments:
Post a Comment