Tuesday, December 25, 2018

Jangan lari... (22): Tabung Haji usah khianati petani, penoreh, nelayan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Masukkan kami dalam golongan hamba-Mu ya Allah, yang Kau sebut dalam al-Quran: 'Wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhan-Mu dalam keadaan reda dan diredai. Masukkan kami ke dalam syurga-Mu ya Allah'." (Maksud ayat 27-30 Surah Al-Fajr)
TABUNG HAJI sinonim dengan umat Islam Malaysia. Sejak saya bertugas secara tetap di sebuah akhbar arus perdana (1986-1998) dan Harakah (1999-2012) saya membuat potongan gaji setiap bulan untuk dicarum dalam akaun Tabung Haji saya dan anak-anak. 

Berdasarkan 'kesetiaan' saya kepada Tabung Haji, dengan rendah diri dalam kolum ini saya mencelotehkan hal berkaitan institusi ini demi kebaikan bersama.

Pada permulaan kerjaya saya sebagai wartawan, Tabung Haji adalah antara 'subjek fokus' yang diamanahkan kepada saya. Maka keraplah saya hadiri majlis dianjurkan institusi ini; dan di sanalah saya mengenali dan berkesempatan mewancara 'orang besarnya'.

Dalam sebuah rencana utama yang disiarkan oleh akhbar itu pada 18 Ogos 1988 dengan tajuk 'Mewujudkan sistem kewangan tanpa riba' antara lain saya menulis: "Sebuah keluarga 10 orang yang tinggal di pinggir sebuah bandar baru-baru ini menerima tujuh pucuk surat yang tertera perkataan 'Tabung Haji' di sampulnya (dulu pendeposit Tabung Haji tidak mempunyai buku akaun bank, apatah lagi penggunaan kad ATM; setiap pelanggan akan menerima penyata kewangan mereka enam bulan sekali).

"Surat itu mengandungi penyata setengah tahun Tabung Haji mengenai jumlah wang yang disimpan dan bonus yang diterima oleh setiap ahli (hanya untuk penyata akhir tahun). 

"Penyata si ayah menunjukkan simpanannya berjumlah $2.41 (ketika itu RM belum dipakai), si ibu $56, seorang anak yang sudah bekerja RM360 dan empat lagi anak yang masih bersekolah di antara $2 dan $3. 

"Keluarga ini mempunyai kesedaran mengenai kepentingan menyimpan kerana tujuh daripada 10 ahli keluarga sudah membuka akaun di Tabung Haji tetapi kerana sebab-sebab tertentu jumlah simpanan mereka terlalu kecil dan sebahagiannya tidak membuat tambahan sejak simpanan pertama."

Demikian betapa daifnya penyimpan Tabung Haji masa itu; hal ini perlu direnungkan oleh semua pihak terutama 'orang besar' institusi ini serta pemimpin negara. Apabila 'direnung-renungkan' hal ini, maka insya-Allah tidaklah sampai hati untuk 'merembat', 'menganiaya' atau mengkhianati amanah rakyat marhain yang hampir semuanya menanam hasrat berkobar-kobar untuk menunaikan Rukun Islam kelima - haji.

Pengarah Besar Tabung Haji ketika itu, Haji Ahmad Haji Yeop Abdul Hamid berkata 90 peratus daripada 1.1 juta penyimpan mempunyai kurang RM1,000 dalam akaun masing-masing. Malah sebahagian besar penyimpan tidak aktif kerana ramai menganggap simpanan adalah untuk menunaikan haji saja, selepas haji mereka mengabaikannya.

Tabung Haji, kata Haji Ahmad bercita-cita dan berwawasan tinggi. Ia mahu mewujudkan sistem kewangan tanpa riba dan ini merangkumi pinjaman membeli rumah untuk ahlinya. Inilah cita-cita besar Tabung haji (yang pertama pastilah berkaitan urusan jemaah haji) dan selain perumahan, ia mahu mewujudkan perkhidmatan bebas riba dalam bidang kehidupan lain seperti pembelian kenderaan dan modal perniagaan.

Kini sudah hampir 30 tahun berlalu; Tabung Haji sudah muncul sebagai sebuah institusi kewangan terkemuka tanah air. Penyimpannya sudah lebih lapan juta orang. Kegiatan perniagaannya amat luas; persoalannya setakat yang saya tahu (maafkan jika saya tersilap) Tabung Haji tidak pernah membuat tawaran terbuka kepada penyimpan (seperti saya) untuk membuat pinjaman membeli rumah atau kenderaan bebas riba. Ya, tak pernah ada tawaran seperti itu.

Kepada 'orang besar' Tabung Haji sekarang dan dulu (termasuklah pemimpin dan bekas pemimpin negara), ingat-ingatlah apa yang dijanjikan oleh Haji Ahmad kepada pendeposit 30 tahun lalu antaranya wang simpanan digunakan bagi pelaburan yang HALAL dan BERSIH di sisi hukum syarak.

Sehubungan itu, usahlah LARI daripada amanah yang diberikan rakyat; simpanan mereka di Tabung Haji adalah hasil jerih perih mereka daripada usaha menanam padi, menoreh getah dan menangkap ikan - adakah anda hendak pecah amanah wang mereka yang disimpan secara berdikit-dikit...RM5, RM10 dan RM50? 

No comments: