Thursday, February 15, 2018

Pilihlah antara 'Smart Selangor' atau tiada bas...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

RAMAI pemimpin pandai berjanji 'menyenangkan rakyat', tetapi
segelintir saja menunaikannya...dalam bab pengangkutan awam, penduduk
luar bandarlah yang paling 'terseksa' kerana sekarang ini perkhidmatan
bas di kawasan luar bandar dan pedalaman kebanyakannya sudah berkubur.

Baru-baru ini saya berkesempatan berkelana tiga hari di negeri
Selangor dan Perak - di negeri diterajui kerajaan Pakatan
Rakyat/Harapan itu saya berpeluang menaiki bas percuma 'Smart
Selangor' tetapi alangkah hampa di negeri Perak, kebanyakan kawasan
desa dan pedalamannya tidak lagi disediakan perkhidmatan bas
henti-henti.

Sebagai contoh apabila saya 'tersadai' di pekan Parit Buntar dan mahu
ke Titi Serong dengan menaiki bas awam, sejumlah orang yang saya
bertanyakan hal itu berkata sejak dua tiga tahun ini tiada lagi
perkhidmatan 'bas merah'...malah untuk ke pekan Tanjung Piandang pun
tiada bas. Jadi bagaimana untuk ke sana? Seorang menjelaskan "pakcik
naiklah teksi atau teksi sapu..."

Seorang anak muda menjelaskan: "Sekarang ini pakcik, semua orang ada
kereta...paling 'sengkek' (miskin) pun ada motor...". Persoalannya
adakah benar dakwaan pemuda ini? Hakikatnya masih ada lagi keluarga
dan individu miskin yang tak mampu memiliki sebarang
kenderaan...apabila ada keperluan mendesak seperti hendak ke hospital
atau menghantar anak ke sekolah asrama, terpaksalah mereka menggunakan
teksi sapu yang tambangnya kadang-kadang 'mencekik darah'.

Bukan saja perkhidmatan bas henti-henti Parit Buntar-Tanjung Piandang
sudah tamat, demikian juga dengan laluan lain seperti Bagan Serai ke
Selama. Sebenarnya banyak kawasan luar bandar di Perak tidak ada lagi
perkhidmatan bas, kata seorang lagi pemuda. Persoalannya jika
pemerintah di Selangor dapat menyediakan bas, malah 'free' lagi
termasuk di kawasan luar bandar, takkah 'teringin' pemerintah Perak
melakukan hal yang sama? Bagi rakyat buatlah pilihan bijak...antara
yang boleh menyediakan bas (menyenangkan rakyat) atau yang
tidak...tepuk dada tanya selera!

Sebagai seorang bekas pengguna bas henti-henti, saya memahami suka
duka penumpang bas awam (di kawasan yang masih ada perkhidmatan bas)
termasuk di persekitaran tempat tinggal saya, kasihan sungguh
kadang-kadang melihat datuk, nenek, makcik, pakcik dan anak-anak muda
dan kecil menunggu berjam-jam dalam keadaan panas terik atau hujan di
tepi jalan; bas yang ditunggu bagai tak kunjung tiba.

Benar, sebahagian besar pengguna bas awam sekarang ini mengalami
masalah berat. Sekalipun saya bukan penggunanya; jiran, saudara, rakan
sebagai penumpang selalu merungut menyatakan; "memang susah nak
dapatkan bas sekarang ini." Menunggu satu dua jam di tepi jalan adalah
perkara biasa kerana kekerapan perjalanan bas dikurangkan. Seorang
pemandu bas berkata, hal itu terpaksa dilakukan kerana jika tidak
pengusaha bas akan mengalami kerugian besar.

Pengguna bas henti-henti semakin kurang kerana semakin ramai orang
berkenderaan sendiri. Disebabkan kekurangan penumpang inilah pengusaha
terpaksa mengurangkan perjalanan bas di samping mengelak laluan tidak
menguntungkan. Namun bukan semua orang ada kenderaan sendiri; mereka
terpaksa bergantung kepada perkhidmatan bas. Merekalah golongan
teraniaya apabila perkhidmatan bas lembap atau tiada langsung.

Pengusaha juga tidak boleh dipersalahkan kerana mereka mendakwa
mengalami kerugian demi kerugian setiap hari. Tidaklah saya pasti
dakwaan ini benar atau tidak, tetapi berdasarkan keadaan puluhan bas
henti-henti yang buruk dan uzur di banyak tempat tidaklah dapat saya
menolak dakwaan mereka itu.

Pengguna bas berhenti-henti akan 'terus setia' menunggu di tepi jalan
raya; menunggu bas yang tak kunjung tiba, jadi di manakah kebenaran
cakap berapi-rapi pemimpin tertinggi kononnya apabila "BN memerintah,
semua masalah selesai" atau "BN memerintah, semua rakyat senang."

No comments: