Friday, February 23, 2018

Kenapa 'takut' pemantau PRU?

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)


PENULIS masih ingat pada April 1994, hanya tiga pemberita Malaysia termasuk diri ini (penulis) membuat liputan pilihan raya pelbagai kaum pertama Afrika Selatan yang menyaksikan Nelson Mandela dan Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) pimpinannya dijulang ke persada kuasa.

Apa yang menarik mengenai pilihan raya 27 April yang menandakan berakhirnya 'apartheid' (pengasingan kaum) ini dan dikendalikan oleh 'Independent  Electoral Commission' (Suruhanjaya Pilihan Raya Bebas, IEC) adalah kehadiran pemantau (pemerhati) antarabangsa daripada pelbagai badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Komanwel British, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perpaduan Afrika (OAU).

Alhamdulillah, di kota bersejarah Johannesburg pada detik penting itu, penulis berpeluang berjumpa dua tokoh pemerhati dari Malaysia yang mewakili Komanwel British. 

Mereka adalah bekas Menteri Luar, Tan Sri Ghazali Shafie (kini Allahyarham) dan penulis Zainah Anwar. Kedua-duanya begitu tekun membuat pertemuan demi pertemuan dengan rakyat dan melakukan tugasan memantau secara rapi sebelum tarikh keramat pilihan raya bagi sama-sama membantu agar pengundian dilangsungkan secara adil dan saksama.

Pilihan raya itu yang dimenangi ANC dengan kira-kira 62 peratus undi, diisytiharkan secara umum sebagai bebas dan adil. Pemerhati PBB, Komanwel British, EU dan OAU mengeluarkan kenyataan ini: "South Africans' confidence in the secrecy of the ballot was manifest and they were able to participate freely in the elections. The outcome of the elections reflects the will of the people of South Africa." 

Jika dulu (pada pilihan raya 1994 Afrika Selatan) dapat disaksikan kehadiran rakyat (tokoh) dari Malaysia sebagai pemantu, sekarang ini pun sejumlah rakyat Malaysia dilaporkan menjadi pemantu pilihan raya di sejumlah negara seperti di Indonesia dan Uzbekistan. Jadi kehadiran pemantau atau pemerhati pilihan raya bukan suatu isu besar tetapi persoalannya mengapa pemimpin kerajaan Umno BN 'gelabah' mendepani hal ini?

Apabila Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mengesyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjemput pemerhati pilihan raya antarabangsa dan tempatan bagi memantau pengendalian PRU ke-14 tidak lama lagi, pemimpin kerajaan Umno BN lantang dan pantas bersuara bahawa pilihan raya di negara ini mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dan telah ditambah baik oleh SPR lantas tidak memerlukan kehadiran pemerhati.

Bagi parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan, jika kerajaan sementara (caretaker) Umno BN (selepas pembubaran Parlimen) telus dalam pengendalian PRU, mereka sewajarnya tidak mempunyai sebarang kerisauan dengan kehadiran pemerhati termasuk dari luar negara. Ya, menjadi amalan banyak negara yang mendakwa mengamal demokrasi mengundang pemantau antarabangsa...jadi jika anda 'benar' wahai pemimpin Umno BN apa yang hendak kamu takutkan!

Mengenai pilihan raya bebas dan adil, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA, UKM), Dr Mohd Faizal Musa dalam sebuah kajiannya menulis: "Pilihan raya yang sihat seharusnya mengungsi sebarang bentuk diskriminasi (National Democratic Institute for International Affairs and United Nations Electoral Assistance Division, 2005: 1). Muna Ndulo, penasihat politik bagi PBB antara tahun 1992 sehingga 1994 di Afrika Selatan telah menggariskan enam kriteria untuk dipenuhi oleh setiap negara yang menganjurkan pilihan raya. Sesebuah pilihan raya di sebuah negara itu dapat ditanggapi sebagai bersih dan adil apabila memenuhi enam kriteria berikut; (i) hak untuk semua pengundi terlibat dan melibatkan diri dalam setiap proses pilihan raya tanpa sebarang halangan; ii) kebebasan berkempen untuk setiap parti politik yang bertanding; iii) kerahsiaan bagi setiap undi; iv) kelancaran atau kepantasan yang munasabah untuk proses pengiraan undi; v) akauntabiliti dan keterbukaan bagi setiap proses pilihan raya yang melibatkan setiap pihak bertanding; dan vi) undang-undang pilihan raya yang diterima dan dipersetujui semua pihak terlibat (Muna Ndulo, 1996/97)."


Ilmuan itu kemudian bertanya apakah pilihan raya di Malaysia mencakupi enam kriteria di atas? Katanya, sekiranya Malaysia ingin mendapat penghormatan di peringkat antarabangsa, tiga perkara ini dapat dilakukan bagi menjaga nama baik negara. Pertama, pembersihan sistem pilihan raya di Malaysia perlu dilakukan, malah terus ditingkatkan keberkesanan dan kelicinannya dari semasa ke semasa. 
Kedua, pemantau pilihan raya antarabangsa mesti dihormati, dibenarkan aksesnya dari masa ke semasa dan institusi yang mengendalikan pilihan raya mestilah telus, tidak berpihak dan tidak melenting apabila ditegur.
Ketiga, bagi memulihkan keyakinan dan juga memberi lebih banyak ruang untuk hak asasi manusia yang sihat membesar, partisipasi masyarakat sivil perlu diraikan malah digalakkan ke tahap sama-sama diundang memulihkan sistem pilihan raya supaya Malaysia lebih demokratik, bebas korupsi dan seterusnya benar-benar terbilang dalam barisan negara membangun.

No comments: