Monday, January 15, 2018

Apabila rakyat susah, kerajaan pun susah...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

SEKARANG ini pada awal pagi ketika menuju masjid untuk solat subuh, ada kalanya saya perasan sejumlah tong sampah besar di tepi jalan sudah 'diselongkar' dan 'dibongkar' menyebabkan 'isinya' (sampah) bertaburan di tepi tong dan di tepi jalan raya.

Saya hampir pasti ini perbuatan 'mat penyelongkar' yang kerjanya mencari barangan kitar semula seperti bekas minuman tin dan plastik, kertas, kadbod dan besi buruk. 'Mat-mat' ini memanglah kurang disiplin, mereka mahu cepat saja mendapatkan barangan lusuh berkenaan, mereka hampir pasti tak memikirkan kesusahan orang dan pihak lain.

Awal pagi itu apabila lori pengangkut sampah sampai, saya perhatikan bagi membereskan tong tanpa sampah bertaburan (pekerja melekapkan sisi tong ke lori dan sampah ditelangkupkan secara automatik), masa diambil adalah 30 saat tetapi apabila ada tong dengan sampah bertaburan, pekerja terpaksa memungut dan menyapunya menyebabkan masa diambil lebih kurang 2-3 minit.

Mengapa sekarang ini semakin banyak tong sampah diselongkar? Saya berpendapat kehidupan sesetengah rakyat sekarang ini semakin susah menyebabkan mereka terpaksa melakukan apa usaha untuk mendapat duit atau menambah pendapatan.

Perkembangan ini adalah contoh mudah apabila rakyat menjadi susah, kerajaan pun turut sama susah. Berdasarkan kisah tong sampah diselongkar ini, apabila rakyat susah, mereka menyusahkan pekerja, lantas pada peringkat akhirnya menyebabkan kos pengurusan kerajaan menjadi tidak efisyen dan membazir sama ada dari segi kewangan atau masa.

Banyak lagi contoh kesusahan rakyat menyebabkan kerajaan pun susah. Sebagai contoh kalau kita ke klinik dan hospital kerajaan sekarang ini, keadaan amat sesak. Rakyat yang semakin kurang wang dan tertekan, ramai yang enggan mendapatkan rawatan pihak swasta...jadi hospital kerajaan menjadi tumpuan menyebabkan kos kerajaan meningkat manakala kakitangan termasuk doktor teramat 'stress' (tertekan).

Bagi mereka (terutama pemimpin Umno BN) yang tidak percaya sebahagian rakyat semakin susah, ikutilah coretan seorang pesara kerajaan berusia 80-an dari Pontian yang dihantar kepada penulis baru-baru ini. Terima kasih diucapkan kepada Pak Asmaranda yang berusaha menyedarkan rakyat dan pemimpin kerajaan.

Antara lain beliau menulis: "Kata orang tua-tua, 'jauh berjalan banyak pemandangan. Lama hidup banyak dirasa'. Top, top dalam usia menjelang 'maghrib', saya ketemu 'gaya hidup' di mana orang miskin kena bayar cukai' (GST).

Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, mewahnya negara.  Semua orang hidup kecukupan. Orang tidak tahu hendak beri zakat kepada siapa.

Saya mengalami empat zaman. Pertama masa anak-anak hidup dalam 'REJO' (sebelum pecah Perang Dunia Kedua). Barang makanan/pakaian mewah. Harga murah. Nilai duit sen laku. Masa itu British yang memerintah. Namun ia bukan bererti saya suka penjajah.

Zaman 'BOCAH', tahun 1942-45, Tanah Melayu dijajah oleh 'Si Katik' dari negara matahari terbit. Orang Jawa kata ini zaman 'Paceklik'. Susah sandang. Susah pangan. Duit British tak laku. Tak ada barang asas atau pakaian di pasaran. Garam pun tidak ada dijual di kedai.

Setelah negara merdeka, 1957 hingga tahun 1970-an, semasa saya bujang dan kemudian berumah tangga, bolehlah dikatakan zaman senang. Getah laku, makanan dan pakaian murah. Nilai duit besar. Sekati beras 27 sen, gula/tepung 15 sen sekati. Minyak tanah/kelapa sebotol besar 10 sen. Sebungkus nasi lemak 5 sen. Duit 20 sen boleh beli empat jenis jajan. Harga petrol 70 sen segelen.

Tetapi apabila saya bersara, terutama selepas 2000 sehingga kini, rupanya kemerdekaan menjadi beban rakyat. Pemimpin yang memerintah, orang Melayu/Islam. Tetapi sifat pemimpin sudah 'melayu'. Kata orang Jawa, 'Melayu' itu 'lari'. Lari daripada matlamat sebenar menuntut kemerdekaan yang dicita-cita oleh pemimpin pengasas dulu - 'daripada rakyat, kepada rakyat, untuk rakyat'.

Apakah 'saluran getah paip' negara yang diperintah oleh pemimpin sekarang sudah banyak bocornya? Air dari tasik negara yang makmur, tak sampai ke pili rakyat. Susah, susah hidup rakyat sekarang ini. Semua kena cukai. Semua kena bayar.  Beban hutang pula sampai ke anak cucu.

Baru-baru ini saya pergi ke Pesta Nanas di Bandar Perdagangan Pontian. Apa yang banyak saya temui adalah gerai jual air, makanan dan pakaian - serupa pasar lambak atau tani. 

Untuk bawa balik ole-ole, saya singgah di gerai jual 'karipap' inti kentang/daging. Harganya 2 biji RM3. Saya juga beli 4 cucuk sate puyuh, harganya RM10. Lalu saya terkenang tahun 1960-an/70-an. Kauih 'epek-epek' (karipap) sekeping 5 sen, satu cucuk sate daging lembu 10 sen. Nasi lemak 5 sen. Anak-anak pergi sekolah bawa duit 20 sen. Selain beli kuih, dapat beli ais krim. Jauhnya keadaan Malaysia sekarang dan dulu, umpama langit dan bumi.

Kalau sekarang saya bawa RM50 ke pesta serupa itu, bawa cucu-cucu, apakah agaknya yang dapat dibeli? Lama hidup banyak dirasa, tetapi hidup rakyat sekarang ini rata-ratanya susah!"

No comments: