Tuesday, August 15, 2017

Ratib propaganda merdeka bergema kembali...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

OGOS adalah bulan kemerdekaan sejumlah negara di rantau sebelah sini. Selain Malaysia yang menyambutnya pada 31 Ogos, Singapura pada 9 Ogos, India pada 15 Ogos manakala Indonesia meraikannya pada 17 Ogos.

Di Malaysia, menjelang tarikh keramat 31 Ogos akan kembalilah 'ratib' mengingatkan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air seperti Leftenan Adnan Saidi, wira-wira (anggota polis) Bukit Kepong, Mat Kilau, Tok Bahaman, Tok Janggut dan sebagainya.

Di sebuah masjid berhampiran rumah saya, khutbah Jumaatnya baru-baru ini adalah berkaitan pengorbanan pejuang berkenaan; baguslah generasi muda diperingatkan mengenai perjuangan dan pengorbanan pahlawan bangsa.

Apabila khatib menyebut wira-wira Bukit Kepong; serta merta teringat di minda saya akan wawancara saya sebagai wartawan dengan wira terakhir yang terselamat dalam peristiwa Bukit Kepong, Sarjan (B) Yusof Rono (kini Allahyarham) yang ketika itu (wawancara) berusia 83 tahun.

Rumah Haji Yusof di Kampung Pengkalan Renggam, Kandang, terletak tidak jauh dari kediaman penulis. Menjelang kemuncak kempen pilihan raya Mac 2004, penulis dan rakan mengunjungi beliau di rumahnya. Walaupun Haji Yusof, ketika itu dalam keadaan kurang sihat selepas menjalani rawatan di sebuah hospital swasta, dia dan isterinya melayani kami dengan mesra sekali. 

Allahyarham menunjukkan cenderahati yang diterimanya dan akhir sekali menghadiahkan penulis sebuah buku kecil mengenai Peristiwa Bukit Kepong yang ditulis berdasarkan majlis Pengkisahan Sejarah oleh beliau di Memorial Perisytiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir. 

Sekalipun bersyukur dengan kehidupan tenang di rumah kampung miliknya yang terletak berhampiran Sungai Duyong (sungai yang merakamkan pelbagai peristiwa mengenai pahlawan terbilang - Laksamana Tun Tuah), Haji Yusof tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya akibat layanan pemerintah terhadap dirinya. 

Dalam perbualan penulis dengannya, Haji Yusof antara lain mendedahkan bagaimana pegawai pihak berkuasa gagal membantu beliau membiayai kos perubatan sebaliknya menempelaknya dengan berkata dia berpura-pura sakit bagi membolehkan bantuan disalurkan kepadanya. 

Demikianlah, ketika hayatnya, wira Bukit Kepong ini 'tidak berapa dilayan'. Tetapi selepas mati barulah disebut jasanya. Hal ini lumrah sepanjang zaman, di Alam Melayu ini nama-nama seperti Hang Nadim, Hang Jebat, Tok Janggut, Tok Bahaman dan Mat Kilau dianggap penderhaka pada zaman mereka.

Kini di ambang kemerdekaan negara ke-60 sekali lagi kedengaran ratib kehebatan pahlawan bangsa termasuklah Leftenan Adnan, wira-wira Bukit Kepong, Mat Kilau dan Tok Janggut tanpa kita sedari betapa ramainya wira semasa seumpama itu kita 'kambing-hitamkan' semata-mata bagi memuaskan nafsu kita sama ada dari segi politik, pangkat, kuasa, kekayaan dan seumpamanya. 

Hari ini mereka yang menentang penguasa zalim termasuk yang korup dan penipu adalah pejuang tanah air tetapi di mana 'keberadaan' sesetengah daripada mereka sekarang ini? Ada yang disumbat dalam penjara, ada yang cuba 'dibisukan' dengan pelbagai akta drakonian dan tak kurang 'dibonsaikan' perjuangan mereka.

Baru-baru ini (pada bulan Ogos keramat ini ) pemimpin menghimpunkan bekas pahlawan (bekas anggota pasukan keselamatan) 'bagi menawarkan itu dan ini' termasuk sejumlah wang. Bagi sesetengah pihak ini ada petanda pilihan raya kian hampir; bekas pahlawan pun 'digula-gulakan' bagi membolehkan mereka mengekalkan kuasa. Hal ini seolah-olah bermakna, 'apabila ada faedah kamu dicari; kalau tak, kamu pergi main jauh-jauh'!

Ya, sang penguasa menyamai 'auta' pembesar-pembesar zaman Hang Nadim yang tidak sesekali membiarkan seorang anak bijak 'melawan' mereka kelak. Mereka bertindak menghapuskan Hang Nadim awal-awal lagi, demikianlah sejarah berulang dengan penguasa sekarang bertindak awal (melakukan 'preemptive strike') bagi menghapuskan bakal (tokoh) pencabar atau memecahbelahkan pihak lawan bagi memastikan mereka kekal berkuasa dulu, kini dan selamanya!

No comments: