Tuesday, August 22, 2017

ECRL: Cerita makan kangkung, tanam durian...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

PM Najib Razak baru-baru ini melancarkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di KotaSAS Sentral, Kuantan. Projek bernilai RM55 bilion dan sejauh ratusan kilometer itu dari Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan diberi pelbagai reaksi - ada menyokong dan ada menyelar - termasuklah kritikan perasmiannya yang terlalu 'ke-Chinaan'.

Kritikan itu bukan sesuatu yang menghairankan kerana projek mega itu dibiayai dan dimajukan oleh pihak dari Tanah Besar China hampir sepenuhnya. Bercakap mengenai pembabitkan China ini teringatlah saya sejumlah 'cerita' (saya memilih dua saja) mengenai 'kebijaksanaan' orang Melayu dan Cina yang diberitahu oleh guru dan bijak pandai ketika saya kecil dulu.

Ada pihak mendakwa 'cerita' ini sebahagian daripada sejarah. Terpulanglah kepada pembaca bagaimana untuk mengaitkannya dengan perkembangan sekarang (termasuk siapa untung dan rugi) yang menyaksikan pembabitan yang semakin 'berpengaruh' oleh pihak dari Tanah Besar China seperti ECRL dan Bandar Malaysia!

CERITA I

Pada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dulu,
ada sekumpulan pembesar Istana Melaka mengikuti rombongan Diraja
ke negara China.


Mereka yang dikononnya ketuai Tun Perpatih Putih (ada menyebut Hang Tuah) mengunjungi Maharaja China. Pada masa itu, salah satu pantang adalah melihat wajah Maharaja China. Menjadi kesalahan besar jika ada yang cuba melihat wajah Maharaja.

Rombongan Melaka disambut dengan penuh adat kebesaran. Mereka diundang untuk ke majlis santapan diraja. Tukang masak bertanya apakah hidangan diingini tetamu dari Melaka.

Tun Perpatih Putih meminta agar dimasakkan sayur kangkung tanpa mengerat sayuran tersebut kecil-kecil. Katanya, orang Melaka suka memakan kangkung panjang-panjang.

Pada majlis santapan, semua hadirin tunduk tidak berani mengangkat muka; apatah lagi melihat wajah Maharaja China. Tukang masak diraja pun menghidangkan lauk kangkung seperti yang diminta oleh orang Melaka.

Tetamu dari Melaka mengangkat sayur kangkung yang panjang ke atas. Mereka mendongakkan kepala bagi memasukkan sayuran itu ke dalam mulut masing-masing. 

Dengan berbuat begitu, dapatlah mereka menjeling, melihat wajah Maharaja China. Maharaja dan pembesar terkejut tetapi sebagai 'orang beradab', mereka tidak berbuat apa-apa bagi menjaga hati tetamu mereka iaitu orang Melaka.

* Nota - pembesar Melaka menjadikan kangkung bukan saja sebagai makanan pilihan tetapi benar-benar memakannya tetapi pembesar sekarang menamakan kangkung sebagai bahan makanan berharga murah tetapi tidak diketahui sama ada mereka benar-benar makan kangkung. Mungkin, kalau makan kangkung, akan lebih bijaksanalah mereka.

CERITA II

Buah kana di China dikatakan dikutip dari pokok-pokok yang sudah berusia lebih 100 tahun. Seorang lelaki tua di negara China ditanya oleh seorang pemuda mengapa dia menanam pokok itu sebab kemungkinan besar dia tidak berpeluang menikmati buah kana itu.

Cerita ini hampir sama dengan kisah seorang lelaki tua Melayu yang menanam durian; orang bertanya buat apa dia bersusah payah menanam durian sedangkan dia berkemungkinan besar tidak dapat menikmati buahnya.

Kedua-dua lelaki tua ini memberi jawapan yang sama - "atuk tanam pokok ini agar buahnya dapat dimakan oleh cucu cicit atuk." Ya, biar datuk tak merasa tetapi generasi berikut mendapat manfaatnya.

* Nota - atuk di negara China dan atuk Melayu dulu tinggalkan pokok kana dan durian untuk dinikmati anak cucu tetapi 'datuk' sekarang tinggalkan apa? Ada yang berkomentar 'datuk sekarang' meninggalkan hutang berbilion-bilion ringgit selain melelong 'tanah pusaka' ...persoalannya siapa terpaksa menanggung bebannya? Anak cucu dan cicitlah, siapa lagi!

No comments: