Friday, July 28, 2017

U Masjid (30): Masjid Penjara Penor terbuka untuk semua...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 

UNTUK mengisi ruangan Universiti (U) Masjid kali ini saya mengembara solo dengan kapcai (motosikal kecil) dari Melaka ke Segamat kemudian ke Kluang, Mersing, Kuantan, Kertih dan Setiu, Terengganu. Dari Setiu saya menaiki bas ke Wakaf Bharu seterusnya menaiki tren KTM ke Segamat dan kembali ke kampung halaman seminggu kemudian.

Salah sebuah masjid 'menarik' yang saya singgah untuk solat adalah Masjid Penjara Penor. Sungguh mengujakan kerana masjid ini sekalipun terletak dalam kawasan penjara adalah terbuka untuk orang ramai. Dari jalan besar Kuantan-Pekan, ada satu laluan kecil terus ke masjid ini di mana pintu pagarnya terbuka; laluan dari penjara juga ada pintu pagar bagi membolehkan petugas dan banduan berkunjung untuk solat dan menjayakan pelbagai aktiviti lain.

Mengenai Penjara Penor, dicatatkan bahawa ia berkeluasan 200 ekar, terletak di Lot 2142, Mukim Penor, Daerah Kuantan, Pahang. Jaraknya dari pusat bandar Kuantan ialah 18 kilometer manakala dari Bandar Diraja Pekan ialah 30 kilometer. 

Penjara ini mula dibangunkan pada tahun 1982 dan pada mulanya untuk dijadikan Sekolah Henry Gurney, Kuantan. Tetapi memandangkan ketika itu, Penjara Kuantan mengalami masalah kesesakan serta bilangan penghuni di Sekolah Henry Gurney di seluruh Malaysia kurang, maka cadangan asal itu telah diubah. Pada 30 Julai 1990, penjara ini telah diwartakan sebagai 'Penjara Terbuka Penor'.

Ketika memasuki pekarangan masjid, tertanya-tanya pada diri sendiri apakah boleh saya menyertai solat zuhur berjemaah di masjid dalam penjara ini. Ketika itu kelihatan dua pengawal berteduh di bawah tempat letak kereta berbumbung mengawasi sejumlah bantuan yang sedang bekerja di dataran masjid.

Menyedari waktu solat zuhur sudah terlalu hampir, saya tidak sempat bertanya kepada pengawal berkenaan, sebaliknya terus ke tandas dan kemudian berwuduk. Selesai azan, solat sunat dan iqamah, solat zuhur jemaah dilangsungkan, teruja juga rasa hati ini kerana bersolat dengan pengawal dan sejumlah banduan.

Ketika berehat-rehat kemudiannya, saya bertanyakan seorang petugas adakah masjid itu dibuka untuk orang awam. Jawapan beliau melegakan. Katanya, "ini Rumah Allah, sesiapa pun boleh solat dalamnya!" Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa pada sebelah malam selepas solat isyak, pintu pagar masjid akan ditutup...jadi faham-fahamlah bahawa masjid ini tidak boleh dijadikan 'port' untuk tidur dan bersantai pada malam hari!

Jika kita melayari internet, akan terjumpalah kisah menyentuh hati mengenai masjid dan penjara ini.  Biasanya keluarga dari jauh akan 'melepak' dulu di masjid ini sebelum berurusan di penjara. Seorang daie (pendakwah) mencatatkan: "Seorang sahabat mempelawa saya bersamanya ke Penjara Penor, Kuantan. Ini kerana seorang sahabat kami bakal menikmati hari kebebasannya esok harinya!

"Kami bersama dua lagi sahabat bertolak ke sana. Kami tiba kira-kira jam 9.00 pagi. Sebelum itu, kami mengejar waktu, kerana maklumat diterima pembebasan pukul sembilan pagi. Namun prosedur melewatkan masa, kami, bersama-sama keluarga abang sahabat kami itu menunggu agak lama juga, hampir jam 12.00 tengah hari baru kami bertemu. 
"Tujuh tahun bukan masa yang sekejap walaupun asalnya dia dijadualkan ditahan lagi lama, 10 tahun. Ketika kami bersalaman saya bertanya, ingat lagi? Saya sebut nama, dia terus ingat! Dan dia terkejut! Sudah besar saya! Manakan tidak, terakhir bertemu saya masih seorang budak sekolah! Sekarang saya sudah macam bapak budak, cuma belum bertemu jodoh lagi."

Daie itu membawakan sejumlah hadis yang menunjukkan bahawa setiap insan berpeluang berubah ke arah kebaikan. Daripada Anas r.a., sesungguhnya Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu ialah mereka yang bertaubat. " (Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Darimi)

Beliau juga mendengarkan kisah yang diriwayatkan oleh Al-Imam Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka berdua, dinukilkan juga oleh Al-Imam An-Nawawi dalam Riadusoliheen, tentang kisah seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, kemudian digenapkannya dengan 100 orang, ketika dalam perjalanan ke sebuah negeri untuk bertaubat, dia meninggal dunia. Kisah berakhir dengan penerimaan taubatnya dan pengampunan dosa-dosanya. 

Ya, setiap orang melakukan kesilapan, kecil atau besar. Biarpun dia pernah menitikkan noda hitam dalam lembaran sejarah hidupnya, Tuhan Yang Maha Pengampun maha menerima taubat apabila hambanya bersungguh bertaubat, dan maka siapakah kita untuk memandang rendah dan mengenepikan banduan dan bekas banduan ini termasuk 'graduan' Penjara dan Masjid Penjara Penor?

No comments: