Friday, March 10, 2017

U Masjid (13): Perlis; ambillah peduli Masjid Ahmad yang daif...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)

SESUDAH solat zuhur dan kemudian 'melepak' di sebuah ruang di sisi dewan solat masjid, saya bergegas bangun menuju bilik air. Saya mahu membersihkan diri; bersiap sedia berangkat pulang.

Ketika berbaring-baring sambil memandang 'ke sana sini', sedih saya melihat keadaan masjid. Bangunan sisi masjid adalah daripada kayu yang telah uzur dan kusam. Keadaan kelihatan kotor dan tak terurus. Ada baju bergantungan 'di sana sini', siling dan kipas angin bersawang, manakala kitab bersepah di atas dan dalam almari yang juga telah uzur.

Ada sejadah tidak berlipat dan baju kotor terperok di sudut-sudut tertentu. Apabila ke tandas terpaksa berjalan di ruang-ruang bangunan kayu. Tandas adalah 'fesyen lama' - seakan-akan 'pondok jamban' yang biasa digunakan pada tahun 1960-an dan 1970-an. Mangkok tandasnya pula adalah macam 'besen' yang dilekapkan di atas lantai...Hai, 'sungguh unik' sekali tandas masjid ini - tidak pernah saya lihat di mana-mana masjid di Semenanjung!

Apakah nama masjid ini? Mula-mula sampai saya tidak tahu; kemudian ketika saya bertanyakan seorang jemaah, dia meminta saya ke bahagian depan masjid - nama masjid itu ditulis pada sebuah plak kusam di bahagian atas dinding. Antara lain ditulis 'Masjid Ahmad Padang Besar, Perlis. Tan Sri Dato' Sheikh Ahmad Mohd Hashim, Menteri Besar, Perlis - dirasmikan beliau sendiri pada Jumaat 24 Disember 1977, 6 Zulkaedah 1391'.

Selepas 'menengok sana sini' macam rusa masuk kampung, saya ke sebuah gerai berhampiran untuk makan tengah hari (sebenarnya hari sudah petang, hampir jam 3.30 petang). Gerai ini menyediakan makanan masakan ala Thai; saya 'pekena' nasi pabrik. 

Sambil makan, saya perhatikan suasana di persekitaran masjid. Ada sebuah kereta Mercedes berplet Thai; kelihatan seorang wanita bertudung sibuk memindahkan barang-barang dari dalam kereta ke bahagaian bagasi di belakang. Agak-agak saya dia orang Thai membawa barangan untuk dijual di Malaysia.

Seorang lelaki berserban menunggang motosikal berplet Thailand melepasi gerai. Mungkin dia baru selesai solat di Masjid Ahmad. Ada beberapa kenderaan dengan plet Thai di tempat parkir di kawasan lapang antara masjid dengan gerai itu yang merangkumi satu dereten kedai.

Berdasarkan senario itu, saya mencongak bahawa Masjid Ahmad adalah perhentian pertama sebahagian orang Islam Thailand yang memasuki Malaysia melalui kompleks imigresen Padang Besar. Mereka berhenti di situ untuk solat, makan dan juga beristirehat. 

Mungkin mereka sudah 'biasa' (selalu keluar masuk) dengan keadaan masjid yang 'tak terurus' itu tetapi bagi 'orang asing' seperti saya keadaan masjid yang uzur dengan ada barangan yang tidak tersusun begitu memeranjatkan. 

Terfikir di benak saya, tidak malukah kita dengan keadaan masjid kita kepada orang Thailand yang baru sampai ke negara ini. Mungkin keadaan di masjid ini akan menjadi gambaran pertama akan masjid-masjid dan syiar Islam secara keseluruhan di Malaysia.

Berbual-bual dengan seorang dua jemaah, mereka mendedahkan mengapa hal itu berlaku. Seorang jemaah mendakwa, tanah tapak masjid itu adalah rizab KTM, jadi sebarang pembangunan tidak boleh dilakukan tanpa kelulusan pihak berkenaan. 

Ada ura-ura masjid itu hendak dirobohkan tetapi AJK masjid bertindak bijak dengan menubuhkan koperasi masjid. Koperasi ini yang mentadbir masjid dan menjalankan sejumlah perniagaan di premis dan kawasan sekitar masjid. 

Gerai tempat saya 'pekena' nasi pabrik pun adalah milik koperasi manakala antara kegiatan lainnya adalah menyewakan bilik dan pakir kenderaan dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan Malaysia dan Thailand.

Sebelum laungan azan asar, saya sudah meninggalkan persekitaran Masjid Ahmad - nun jauh di sebalik tembok (ketika saya kembali ke jalan besar dan menunggang di sebuah jejambat yang tinggi) dapat dilihat deretan kontena-kontena berhampiran stesen kereta api, menunjukkan betapa berpotensinya masjid itu jika dapat dijadikan pusat tumpuan rakyat Malaysia dan Thailand sebelum mereka meneruskan perjalanan masing-masing.

Namun apa yang berlaku begitu kontradik - stesen kereta api Padang Besar sudah dinaik taraf menjadi 'first class' tetapi Masjid Ahmad kekal kusam dulu, kini dan harap-harap tidak selamanya! Diharapkan pihak berkuasa di Perlis, ambil perhatian dan bertindak segera!

No comments: