Wednesday, August 31, 2016

Rakyat boleh sehati sejiwa dengan pengkhianat negara?

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Maksud Ayat 56 Surah Adz-Zariyat)
***

SEDARKAH anda bahawa tema Hari Merdeka (Kebangsaan) 2015 dan 2016 adalah 'Sehati Sejiwa'? Dapatkah rakyat yang hidup miskin/daif 'sehati sejiwa' dengan pembesar dan pemimpin Melayu yang senang lenang dan kaya raya, tinggal di mahligai dan banglo?

Adakah rakyat marhaen yang ditarik hidung seperti lembu makan rumput dan tinggal dalam kandang buluh boleh terima tema 'Sehati Sejiwa' ini? Patriotik atau retorik, demikian tulis peminat veteran Suara Keadilan, Raja Mohd Yusof Raja Othman,80, dalam surat terbaharunya kepada saya (penulis) baru-baru ini.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dr Salleh Said Keruak berkata Kabinet setuju untuk mengekalkan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun lalu 'Sehati Sejiwa' untuk 2016 kerana perlunya memupuk semangat bersatu-padu yang telah lama menjadi amalan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Ketika Malaysia menghampiri sambutan Kemerdekaannya yang ke-59, semangat itu penting jika kita mahu melihat negara kita, dan rakyatnya mencapai kemajuan dalam dekad akan datang," katanya.

Bagi menjawab atau memberi respons kepada tulisan ‘pakcik’ Raja Mohd Yusof yang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1956-1979,  penulis berusaha mencari luahan orang yang seangkatan beliau, dan syukurlah saya menemui keratan sepucuk surat pembaca (Forum Pembaca) dalam akhbar Utusan Malaysia tidak lama dulu yang ditulis oleh seorang insan bernama Leftenan Kolonel (Bersara) Jalil Ithnin dengan tajuk 'Apa Erti Merdeka Kalau Ekonomi Masih Dijajah'.

Antara lain bekas pegawai tentera ini mengkritik sambutan hari kebangsaan yang dihiasai dengan mencipta benda dan perkara membazirkan seperti kek dan bendera terpanjang, terbesar dan tertinggi dan kemudian menonjolkan personaliti (pejuang) kemerdekaan terutama orang politik yang bersifat retorik saja.

Satu persoalan besar yang dilontarkannya adalah - "Benarkah orang Melayu sudah merdeka?"

Bekas askar itu meneruskan dengan pertanyaan: "Apakah pengorbanan saya kepada negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi, jawapannya saya rasa TIDAK.

"Nama-nama pahlawan negara yang telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap. Lenyap ditelan masa dan dilupakan.

"Nama yang kerap diulang-ulang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus saja, yang dikenang digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sajalah hero merdeka. 

Demikian juga bagaimana kita boleh melupakan pahlawan kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddin Al-Helmy dan Abu Bakar Baqir? Apakah keadaan ini sama seperti pepatah; lembu punya susu, sapi dapat nama? 

"Apakah erti merdeka kalau kita rakyat terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut segala-galanya. Ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa...inilah realitinya," katanya.

Demikianlah rayuan bekas tentera dalam sebuah negara merdeka; ya kita tertanya-tanya mengapa setiap tahun diadakan 'Hari Rayuan Pahlawan' di mana tabung-tabung derma diedarkan, tidak bolehkah kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada 'kekayaannya' setidak-tidaknya perolehan sebanyak RM30 bilion setahun daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) untuk membantu pahlawan berjasa yang telah mengorbankan nyawa untuk tanah airnya.

Tidakkah dengan merayu-rayu bantuan ini akan menjatuhkan maruah seseorang pahlawan atau keluarga mereka? Bukankah dengan jasa pahlawan-pahlawan inilah dapat diwujudkan suasana aman yang telah melahirkan 'tauke-tauke besar berperut gendut atau tembam' dan 'politikus bilionaire' atau anak-anak mereka yang boleh berjudi dan rugi berjuta-juta ringgit di Las Vegas dan pusat perjudian di kota besar lain atau menyalurkan wang berjuta-juta malah berbilion-bilion ringgit dalam akuan bank mereka? 

Apa, adakah rakyat miskin boleh ‘sehati sejiwa’ dengan si pengkhianat ini? Ya, “biarlah aku miskin harta tetapi tidak sekali-kali aku mahu ‘sehati sejiwa’ dengan pengkhianat agama, bangsa dan negara ini!”

No comments: