Saturday, August 27, 2016

Dakwaan memasukkan undang-undang hudud; ALIRAN khilaf...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62) 

SETIAP Muslim wajib membantu mendaulatkan hukum-hakam Islam, demikian tulis saya dalam ruangan ini tidak lama dulu. Antara usaha itu adalah melalui penulisan termasuklah melalui blog ini.

Berhubung perkara ini, apabila terbaca sebuah rencana bertajuk 'Keadilan, kebebasan dan perpaduan' oleh ALIRAN dalam Suara Keadilan 16 Ogos 2016 (muka surat 20) daripada petikan ucapan Presiden ALIRAN, Dr Francis Loh di majlis Sepetang Bersama ALIRAN 2016 pada 23 Julai 2016 di Dewan Perhimpunan Cina, saya yang naif ini terpanggil untuk membuat sedikit teguran.

Presiden ALIRAN itu antara lain menyatakan: "Sekurang-kurangnya sejak 1980, Umno telah menguasai agensi persekutuan Islam, yang perlu melaporkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri,

"Terkini untuk menaikkan sokongan mereka yang kian menjunam, Umno telah bergabung tenaga bersama PAS dengan 'mengalihkan' halangan yang dihadapi PAS untuk meminda Akta Parlimen bagi memasukkan undang-undang hudud."

Melalui pembacaan, penelitian dan pendengaran saya, adalah suatu kekhilafan (kesilapan) untuk menyatakan PAS melalui Presidennya, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada ketika ini sedang berusaha meminda Akta Parlimen bagi memasukkan undang-undang hudud.

Dalam tulisan saya yang lalu, dinyatakan langkah Presiden PAS membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen adalah bagi meminda Akta 355 bertujuan memperkasa Mahkamah Syariah.

Antara lain, saya menulis bahawa Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang mengenai pentadbiran agama Islam termasuk Mahkamah Syariah bagi negeri yang berkenaan. Bagaimanapun Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai bidang kuasa atas umat Islam dan mengenai pengamalan ajaran Islam setakat ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.

Akta 355 dalah suatu akta untuk memberi bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah yang ditubuhkan di bawah mana-mana Undang-Undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan jenayah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.

Akta ini mula-mula dikanunkan pada tahun 1965 dan waktu itu ia dikenali sebagai Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965. Hukuman yang tersenarai dalam akta ini adalah denda RM1,000 dan penjara enam bulan.

Akta Mahkamah Syariah 1965 (pindaan 1984) telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah pada paras menjatuhi penjara sehingga tiga tahun, hukuman denda sehingga RM5,000 dan hukum sebat sehingga enam rotan manakala mengikut suatu pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1988, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah-mahkamah Bawahan tidak mempunyai kuasa kehakiman ke atas perkara-perkara yang telah menjadi bidang kuasa Mahkamah Syariah. Amat jelas undang-undang hudud tidak diamalkan di Malaysia.

Oleh demikian usaha PAS meminda Akta Mahkamah Syariah bukan sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini. Ketika diperkenalkan pada 1965, ia mendapat banyak sokongan dan ketika pindaan kali pertama pada 1984 pun tidak ada bantahan dan 'kekepohan' seperti sekarang.

Jika dirujuk denda, pada 1965 ia adalah RM1,000 selepas 20 tahun (pindaan 1984) ia dinaikkan kepada RM5,000 jadi dengan keadaan semasa kini denda sebanyak ini tidak menakutkan orang Islam daripada melakukan jenayah. Jumlah RM5,000 adalah 'enteng' bagi mereka. Demikian juga hukuman penjara sehingga tiga tahun dan sebatan enam rotan tidak menakutkan mereka, jadi apakah ia tidak boleh diusahakan untuk ditingkatkan sehingga akhirnya menepati kehendak Islam?

Akta ini telah mengehadkan kuasa Mahkamah Syariah, sekarang orang Islam yang sedar mahu memindanya, jadi ada apa masalah? Ia sama sekali tidak membabitkan orang bukan Islam, jadi apa mahu 'bising-bising'! Tokoh PAS, Dr Zuhdi Marzuki sendiri menjelaskan, pindaan Akta 355 bermatlamat meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan memberi ruang kepada profesyen kehakiman syariah.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menjawab salah faham mengenai pindaan Rang Udang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) atau nama ringkasnya Akta 355,berkata tiada kaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Pelaksanaan hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, bagi melaksanakan hudud, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Hanya satu kelainan pindaan Akta 355 kali ini, kesemua pindaan bermula tahun 1984, 1989 dan 1997 diusulkan oleh pihak kerajaan. Manakala, buat kali pertama pindaan pada tahun 2016 baru-baru ini dibawa secara usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang (Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang) yang bertujuan untuk meluaskan lagi bidang kuasa hukuman yang dibenarkan oleh Mahkamah Syariah, kecuali hukuman mati...jadi apa yang perlu dibimbangkan pihak-pihak tertentu seperti ALIRAN yang menyebut "PAS mahu meminda Akta Parlimen bagi memasukkan undang-undang hudud." Ternyata ini suatu kekhilafan!
Harap-harap ia bukan disengajakan bagi mencetuskan kekecohan!

No comments: