Friday, June 24, 2016

Pemimpin, usah terlepas pandang pembangunan insan...

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Kalau sekiranya perempuan ahli syurga (termasuk bidadari) datang kepada penduduk bumi, nescaya akan disinarinya dunia antara langit dan bumi dan terpenuhinya dengan bau harum semerbak. Sesungguhnya tutup kepalanya lebih baik daripada dunia dan isinya." (HR. Bukhari) 

KAGUM saya membaca perjuangan sesetengah pemimpin dan bakal pemimpin (seperti calon pilihan raya) seperti janji mengetengahkan pembinaan jambatan, meningkatkan taraf jalan raya dan menaik taraf hospital (semuanya pembangunan fizikal) tetapi perasaan itu beransur-ansur menjadi 'kendur' kerana menyedari mereka seakan-akan terlepas pandang pembangunan insan.

Mengusahakan pembangunan fizikal adalah amat baik tetapi ia sewajarnya diringi pembangunan insan lebih-lebih lagi pada zaman mencabar sekarang ini di mana masyarakat kita dicemari 'ketempangan' sosial hampir kronik seperti rasuah, penyelewengan kuasa, 'membuli' rakyat dengan cukai melampau, dadah dan pelbagai permasalahan moral seperti seks bebas, gengster dan tidak hormat orang tua (ibu bapa) dan guru.

Moral (akhlak) masyarakat kita daripada pemimpin setinggi-tingginya kepada rakyat 'terperosok' di kampung-kampung semakin lama semakin buruk; di peringkat atasan rasuah dan penyelewengan kuasa menjadi-jadi dan di kampung, kes kecurian wang tabung masjid malah hasil kebun seperti pisang dan binatang ternakan seperi lembu dan ayam pun seperti tak terbendung!

Kes dadah amat menakutkan demikian juga kes salah laku seks sehingga kementerian dan menteri terbabit menyuarakan kebimbangan kerana kelahiran anak tak sah taraf (haram) meningkat dengan kadar tinggi menyebabkan sekolah harapan perlu diwujudkan untuk menampung remaja perempuan yang terlanjur.

Jika kita melihat keadaan masyarakat kita yang semakin kronik dari segi moralnya, apa gunanya jika kita perjuangkan bandar yang kita diami sebagai 'Venice of the East', atau terkenal seantero dunia tetapi penduduknya terutama generasi muda semakin hanyut terutama pada zaman kemajuan ICT yang 'ledakannya' bagaikan tidak dapat ditahan-tahan itu.

Tidak risaukah kita melihat anak-anak kita sekarang ini bagaikan tidak tahu bersosial; mereka asyik tunduk dengan gajet telekomunikasi di tangan hampir 24 jam sehari? Jika dulu, jika seseorang itu bercakap sendirian mungkin kita anggap dia 'gila' tetapi sekarang sudah biasa untuk seseorang itu senyum, ketawa, bercakap dan menyanyi 'sorang-sorang'!

Demikianlah, wahai pemimpin jangan lihat keperluan rakyat dari segi pembangunan fizikal saja...amat-amatilah keadaan masyarakat, jika mereka kronik dari segi moral, apa cadangan, pendekatan dan usaha (perjuangan) anda untuk membaikinya. Namun amat kita bimbangi, jika pemimpin sendiri sudah kronik permasalahan moralnya seperti terbabit dalam rasuah, penyelewengan kuasa malah salah laku seks malah pembunuhan, apakah yang dapat mereka lakukan? Jika mereka cuba buat pun, ia tidak lebih daripada tikus membaiki labu malah ada peribahasa berbunyi 'guru kencing berdiri, murid kencing berlari'!

Pemimpin bercakap tidak seperti bikin dibimbangi akan termasuk dalam golongan munafik yang diertikan sebagai orang yang berpura-pura beriman tetapi tidak. Istilah munafik sekalipun sering dikaitkan dengan Islam, sebenarnya bersifat universal. Dalam bahasa Inggerisnya adalah 'double-faced' atau 'hypocrite. 

Berhubung hal munafik ini, bukan orang Islam saja memperkatanya. Tidak lama dulu, penulis Noel F D' Oliveiro menulis dalam akhbar 'The Sun': "Hipokrasi (bersifat munafik) adalah kejahatan tahap tertinggi dalam masyarakat kita. Ia wujud dalam diri kita dan dalam semua peringkat masyarakat, dalam kelas atasan dan rendah. Kita semua biasa dengan sifat munafik ini - dalam politik, pengiklanan, media massa, perubatan dan paling menyedihkan dalam agama."

KIta amat bimbang jika pemimpin bersifat munafik seperti berbohong (seperti mengumumkan projek tetapi tidak melaksanakannya) rakyat pun akan ikut sama. Ini kerana kata-kata bijaksana menyebut bagaimana pemimpin begitulah rakyat. Bagaimana acuan begitulah kuihnya. Kita tidak bayangkan bagaimana masa depan negara jika pemimpin dan rakyat sama-sama bergelumang dengan maksiat seperti rasuah. Jika ini berlaku, pandangan baik dan orang baik dikuatiri tidak laku lagi.

Jadi sebelum hal buruk ini berlaku, pada pandangan saya yang daif ini, pembangunan insan amatlah penting daripada kita menyebut-yebut untuk mengusahakan pembinaan jambatan, membaiki jalan raya dan sebagainya'. Kalau 'kita tak ada' jambatan dan jalan tetap akan dibina. Namun sekarang ini lihatlah sekeliling, bantulah mana yang patut...anda tidak perlu dipilih menjadi pemimpin baru mahu bekerja!

No comments: