***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.Renungan
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
***
PULUHAN tahun lalu, seorang guru Bahasa Melayu saya begitu meradang apabila membaca karangan murid-muridnya yang bermula dengan ayat seperti 'Sebagaimana yang kita semua ketahui' dan 'Memang tidak dapat dinafikan'.
**************************
Beliau menjerit: "Apa pasal awak tulis 'sebagaimana yang kita semua ketahui' kerana ada orang tak tahu lagi tentang apa yang awak perkatakan itu. Kenapa awak tulis 'memang tidak dapat dinafikan', nanti ada orang dapat nafikan...terkebil-kebil biji mata awak."
**************************
Kesimpulannya, tidak payahlah kita memulakan tulisan kita (termasuk peranggan dan ayat) dengan mengungkapkan klise (ungkapan yang sudah terlalu sering digunakan) itu.
**************************
Teguran guru saya itu berlaku puluhan tahun lalu; sekarang jika amat-amati, ada klise baru dalam tulisan iaitu seperti 'Sejujurnya...' atau 'Untuk rekod...' Sebagai orang bukan pakar bahasa, tidaklah dapat saya mengulasnya, cuma saya berpendapat tidak menuliskannya 'tidak akan ada cacat cela' kepada tulisan kita.
*********************
Guru Bahasa Melayu itu begitu prihatin, beliau turut menegur pelajar yang menulis ayat yang 'boleh mencabar logika otak' kita seperti 'turun ke bawah', 'pergi haji ke Makkah' dan 'hujan turun'. Katanya, gunakan 'turun' saja sebab 'tiada orang turun ke atas', 'pergi haji' saja sebab tiada orang pergi haji ke tempat lain selain daripada Makkah dan 'tiada hujan yang naik' Jadi, gunakan hujan saja.
******************************
Ya pembaca, kali ini saya mencelotehkan soal penulisan kerana kebelakangan ini saya ditugaskan mengedit sejumlah tulisan karya siswa-siswa universiti tempatan terutama 'budak' USIM. Kebanyakan pelajar USIM yang menghantar tulisan mereka adalah daripada bidang bahasa dan komunikasi.
********************************
Ertinya mereka sedang dipersiapkan untuk bertugas di bidang berkenaan seperti menjadi tenaga pengajar, penyiar, pengacara, penulis, wartawan dan penerbit. Mungkin mereka tidak dilatih untuk menjadi seorang ustaz atau ustazah. Perbetul dan maafkanlah jika andaian saya ini salah.
**************************
Jika benarlah andaian saya, pada pendapat saya yang daif ini, siswa-siswa USIM ini sewajarnya menulis dari skop mereka sebagai wartawan atau penulis. Seorang wartawan tidak menulis berdasarkan 'idea'nya semata-mata tetapi amatlah digalakkan untuk mereka melakukan wawancara. Apabila menemu bual seseorang atau beberapa orang yang selayak dan secocoknya untuk membicarakan sesuatu subjek itu dan kemudian kita menulisnya, barulah karya kita itu ada ummph!
******************************
Memang amat wajar kita menuliskan hujah daripada al-Quran dan hadis (sila pastikan kita nyatakan dengan tepat ayat dan Surah al-Quran dan riwayat hadis), dan apabila tulisan kita ditambah dengan pandangan tokoh yang berkaitan, relevan serta semasa yang kita wawancara (misalnya Ustaz Hasan Din dalam isu akhlak muda-mudi atau Naib Canselor USIM sendiri mengenai program meningkat syahsiah siswa-siswi), insya-Allah tulisan kita akan kelihatan 'segar' (baru) dan meningkatkan 'selera' orang hendak membacanya.
***********************************
Jadi, wahai siswa-siswi buatlah wawancara sebelum menulis. Dapatkan 'sumber pertama' (segar, terkini dan semasa) tetapi jika 'masa suntuk' ataupun kita jenis.......(malu saya nak sebutkan), sekurang-kurangnya kita perlu mendapatkan sumber 'kedua' seperti dapatkan buku Ustaz Hasan, lalu kita pun menulis: "Seorang tokoh agama, Ustaz Hasan Din dalam bukunya........menyatakan..... " Aii, kan sudah nampak 'boring' tu...jadi syor saya lakukan wawancara supaya tulisan kita segar, memancing minat pembaca.
****************************
Perkara penting pertama dalam penulisan adalah apa hendak ditulis. Anjing gigit posmen adalah cerita basi yang tidak ada umphh, ramai siswa siswi menulis mengenai perkara yang sama. Carilah kelainan, terokalah isu segar misalnya, kenapa tak diterbitkan surat khabar berbahasa Arab di tanah air sedangkan sudah ramai graduan dari Timur Tengah, kenapa U (termasuk USIM) terlalu ramai 'budak' perempuan dan apa masalah yang timbul daripada perkembangan ini.
*********************************
Akhir sekali, tolong jangan tulis berjela-jela. Satu muka surat khabar itu bukan untuk dimuatkan 'kisah kita' saja. Penulis lain juga 'merayu' supaya dimasukkan artikel mereka. Jadi pandai-pandailah 'ukur baju di badan sendiri' (ukur kepanjangan artikel untuk dimuatkan dalam akhbar). Penulis memohon maaf jika terkasar bahasa, teguran adalah untuk semua terutama untuk diri penulis sendiri yang serba daif ini...
No comments:
Post a Comment