Monday, May 19, 2014
'Sebenarnya, saya isteri dia'...
********************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
*********************
Renungan
********************
"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)
*************************
DIUCAPKAN Selamat Menyambut Hari Guru kepada warga pendidik yang secara tradisinya meraikannya pada setiap 16 Mei. Memperkatakan tentang guru, secara automatik mengingatkan saya akan sajak Allahyarham Usman Awang bertajuk 'Guru Oh Guru'.
*****************************
GURU OH GURU
Jika hari ini seorang perdana menteri berkuasa, ***
Jika hari ini seorang raja menaiki takhta, ***
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara, ***
Jika hari ini seorang ulama yang mulia, ***
Jika hari ini seorang peguam menang bicara, ***
Jika hari ini seorang penulis terkemuka, ***
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa, ***
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa, ***
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.
*****************************
Guru dan murid adalah satu gandingan; tiada guru tiadalah murid dan tiada murid tiadalah guru. Hari Guru disambut oleh guru dan murid; jarang kita dengar guru menyambut Hari Guru tanpa murid mereka.
**************************
Guru pula digandingkan dengan ibu bapa dalam pendidikan anak-anak, maka muncullah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Pendeknya, persoalan guru dan murid (pendidikan) menguasai sebahagian besar daripada kehidupan kita.
*************************
Kini daripada lima orang anak saya, tinggal seorang saja berada di bangku sekolah rendah. Anak bongsu perempuan saya (buat masa ini, masa depan siapa tahu) dalam Tahun 6, akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dijadualkan September nanti.
*****************************
Baru-baru ini terkejut besar saya mendapati anak gadis sunti ini mula berjinak-jinak membaca sejumlah besar novel 'cintan', yang antara tajuknya seperti 'Sebenarnya saya isteri dia'. Kebanyakan novel ini tebal-tebal berlaka, 500 muka surat adalah biasa bahkan ada yang mencecah 1,000 muka surat!
***************************
Seorang abang anak gadis saya apabila menyedari si adik membaca 'Sebenarnya saya isteri dia' membuat heboh satu rumah, menyindirnya dengan melaung: "Oh, adik baca 'Sebenarnya saya isteri dia'...sepatutnya adik bacalah buku 'Sebenarnya, saya calon UPSR'. Ini tak, dibacanya buku ini, nak buat apa, dah nak kahwin ke, dah nak jadi isteri ke?"
****************************
Demikianlah, bingung saya memikirkan gelagat anak-anak zaman sekarang. Jika anak saya gila membaca novel dan menonton TV, saya perhatikan sejumlah anak-anak saudara saya pula obses dengan gajet elektronik mereka. Mereka seolah-olah berada dalam dunia sendiri, suasana persekitaran tidak dipedulikan - mereka tidak ghairah untuk bertegur sapa dan berbual-bual dengan saudara mara.
************************
Pada kesempatan sebagai guru tuisyen hujung minggu, kadang-kadang saya bertanya anak-anak murid saya, siapa solat subuh pagi itu. Amat mengejutkan hanya seorang dua mengangkat tangan, bakinya tidak solat. Bukan saja solat subuh, tetapi solat waktu lain pun mereka tak tunaikan.
***********************
Demikianlah akhlak anak-anak muda termasuk pelajar semakin buruk, kewajipan agama seperti solat semakin terlerai. Ibu bapa, guru dan anak-anak dewasa ini didakwa terlalu mementingkan kejayaan akademik, soal keagamaan terutama dari segi amalannya tidak berapa dititik-beratkan. Kejayaan diukur dengan deretan A dalam peperiksaan awam sedangkan pegangan agama termasuk akhlak ditolak ketepi.
**************************
Hakikatnya, dalam mencorak generasi muda, bukan saja ibu bapa dan guru bertanggungjawab tetapi hampir seluruh institusi masyarakat seperti kepimpinan negara, media massa (bahan bacaan dan penyiaran) , masjid (rumah ibadat), keluarga besar (datuk nenek, bapa saudara dan sebagainya) serta persatuan dan pertubuhan setempat termasuklah perkumpulan belia.
************************
Namun apa yang kita perhatikan, kebanyakan daripada institusi ini mulai tempang; anak-anak dipengaruhi dengan elemen buruk menyebabkan kelompok yang terbabit dalam dunia pendidikan seperti guru menjadi bingung; apa yang diajar di sekolah tidak dipraktikkan di luar, malah di sekolah sendiri.
*************************
Sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat masa kini, media massa kita sudah menjadi 'kurang ajar' menyebabkan anak-anak juga menjadi 'tak terajar'. Ibu bapa dan guru di sekolah bukan agen tunggal pendidikan; anak-anak juga belajar melalui media massa dan persekitaran. Ada yang belajar melalui filem dan drama Korea, Jepun, Hollywood, Bollywood dan Indonesia. Sinetron dari seberang amat diminati.
***************************
Anak-anak juga didedahkan dengan bahan bacaan kurang sesuai termasuklah lambakan novel; jadi tak hairanlah jika anak di sekolah rendah saya turut membaca novel 'Sebenarnya saya isteri dia' sedangkan sepatutnya dia istiqamah dalam menunaikan kewajipan agama di samping menumpukan perhatian kepada pelajaran kerana menginsafi 'Sebenarnya saya calon UPSR'!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment