Monday, September 30, 2013

'They lived happily ever after...', apakah ini wujud?

************************* Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. *********************** Renungan ************************ "Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199) *********************** SEBAGAI murid sekolah rendah aliran Inggeris pada tahun-tahun 1960-an dan 70-an dulu, kerap benar saya terdedah dengan 'fairy tales' (kisah pari-pari atau kayangan) dari Barat seperti 'Snow White and the Seven Dwafs' dan 'Sleeping Beauty' yang pengakhirannya ditulis, 'and they lived happily ever after' (mereka - pasangan putera dan puteri - berkahwin dan hidup berbahagia selama-lamanya). *************************** Benarkah kehidupan di dunia ini ada bahagia selama-lamanya? Semakin tuanya diri ini, semakin sedarlah saya bahawa kehidupan ini sebenarnya' dilalui secara pergiliran' - ada bahagia ada derita, ada senang ada susah, ada masa gembira dan ada masa berduka - semuanya berlangsung silih berganti ibarat siang dan malam; gelap dan terang. *************************** Berdasarkan ini, pada pandangan hamba yang daif ini, ungkapan 'they lived happpily ever after' dalam realiti kehidupan sebenarnya tidak wujud; pemikir Melayu-Islam yang tersohor di Nusantara, Allahyarham Buya Hamka dalam salah sebuah buku yang pernah saya baca (tak ingat lagi tajuknya) ada mengungkapkan bahawa jika kita melihat istana yang tersergam indah; janganlah ingat di dalamnya penghuninya sentiasa hidup berbahagia dan bersukaria - di sana juga ada derita dan air mata! Jadi janganlah kita tertipu dengan apa yang kita lihat. ********************************* Hidup adalah satu perjalanan menuju noktahnya, kematian. Masalahnya kita tidak tahu bila dan bagaimanakah noktah itu. Apa saja boleh berlaku dalam perjalanannya;ada ulama mengkategorikan kehidupan seperti berikut: kita bermula dengan baik tetapi bertukar buruk dan akhirnya mati dalam kejelekan (su'ul khatimah); kita bermula dengan buruk tetapi hujung hayat menjadi baik dan mati dalam kebaikan (husnul khatimah); kita bermula dengan baik dan mati dalam baik (inilah yang terbaik) dan kita bermula dengan buruk dan mati pun dalam keadaan buruk (ini paling teruk). ******************************* Kemudian ada sebuah hadis menyebut: Daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: beliau diberitahukan Rasulullah s.a.w. bersabda: "...Sesungguhnya salah seorang antara kamu beramal amalan ahli syurga sampai antara dia dengan syurga tinggal sejengkal, kemudian didahului ketentuan sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka dan masuklah ia ke dalam neraka; dan salah seorang kamu melakukan amalan ahli neraka sampai antara dia dan neraka tinggal sejengkal, kemudian didahului ketetapan, sehingga dia melakukan amalan ahli syurga sehingga dia masuk ke dalam syurga.“ - Imam Bukhari ****************************** Ya, wahai pembaca, kita tidak tahu nasib kita pada masa depan; jadi pada kesempatan ini inginlah saya yang daif ini mengingatkan diri sendiri dan pembaca usahlah kita berlagak sombong mengecop seseorang itu banyak dosalah; dia, hatta bekas mayat dia pun tidak layak dibawa pulang dan sebagainya kerana sebagai insan serba lemah kita tidak tahu hakikat seseorang termasuk dia sudah beriman atau tidak; yang tahu hanya dia dan Allah SWT saja. ******************************* Bukankah kita sudah biasa mendengar taubat seorang penjahat yang telah membunuh 99 orang; kemudian melengkapkannya menjadi 100 orang; tetapi taubatnya diterima Allah SWT dan dia dimasukkan ke dalam syurga; jadi apakah kelayakan kita untuk berkata itu dan ini mengenai seseorang itu sedangkan dosa kita sendiri bertimbun; sekarang ini Allah SWT 'sembunyikannya' jika Dia 'mendedahkannya' habislah kita! Kemudian kita juga tahu ada 'ahli syahid' yang dihumbankan ke neraka! ********************************* Seperti diceloteh pada awal ruangan ini bahawa dunia dan segala isinya termasuk pasangan suami isteri sentiasa berubah (tidak benarnya ungkapan 'they lived happily ever after'). Ada pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan saja, kemudian kerap berlaku 'perang Teluk' yang membawa kepada perceraian. Pasangan yang kekal ke akhir hayat pun bukan sentiasa 'happy' saja; ada masa bahagia ada masa derita - bukanlah peribahasa Melayu ada menyebut "sedangkan lidah lagi tergigit ini pula suami isteri..." ************************** Ya, dunia sentiasa berubah dan sejarah (dunia) biasanya dirakamkan oleh pihak yang menang (berkuasa). Ada sebuah peribahasa Afrika berbunyi: “Until lions have their historians, tales of the hunt shall always glorify the hunters” (sehinggalah sang singa mempunyai penulis sejarah, kisah perburuan akan hanya menggambarkan kehebatan si pemburu). *************************** Kini kita digembar-gemburkan segala yang muluk-muluk mengenai si pemburu; singa di hutan siapa peduli? Pemburu berlagak 'hero' sedangkan di hutan tadi, dia lari lintang pukang menyematkan diri hanya selepas mendengar bunyi 'deheman' raja rimba. Tetapi di kampung, dia berlagak, bercerita dia telah menikam sang singa! ******************************* Hari ini seseorang itu dituduh pengkhianat; mungkin esok lusa dia diangkat pahlawan bangsa. Tak percaya; 'TANYALAH' kepada Tok Janggut, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau dan sebagainya...ya dunia dan isinya termasuk manusia sentiasa berubah, 'nobody lives happily ever after! (tiada orang hidup bergembira sepanjang masa).

1 comment:

Unknown said...

kehidupan sudah diatur oleh Allah SWT hendaknya kita selalu beriman dan bertaqwa kepadaNya, mampir juga dong ke blog saya www.goocap.com