Saturday, September 7, 2013

Semasa kecil ditimang ibu, besar ditimang gelombang...

******************** Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************** Renungan ********************* "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32 ************************* RUMAH kecil tiangnya seribu, rumah besar tiangnya sebatang; semasa kecil ditimang ibu, sudah besar ditimang gelombang...saya cukup suka mendengar seni kata puisi atau lagu ini; setiap kali mendengarnya terasa betapa ia meresap jauh ke dalam lubuk hati. **************************** Namun sehingga kini saya masih gagal memahami mengapa bijak pandai Melayu menggunakan pembayang 'rumah kecil tiangnya seribu, rumah besar tiangnya sebatang'. Bagaimana keadaan rumah kecil tiang seribu manakala rumah besar tiang sebatang? Apa rasionalnya, mungkin ada cendekiawan sedia berkongsikan jawapannya, sudi-sudilah menghantarnya melalui e-mel saya. *************************** Apa yang ingin celotehkan kali ini adalah berkenaan maksud seni kata "sudah besar ditimang gelombang" manakala maksud ungkapan "semasa kecil ditimang ibu" pada pendapat saya sudah dimaklumi kebanyakan orang - ibulah yang banyak berkorban dalam segala hal semasa kita kecil dulu. ******************************* Saya setuju kehidupan dewasa kita bagaikan ditimang gelombang - terumbang ambing ke sana ke mari, sekejap ke pantai dan sekejap lagi ke tengah lautan bergelora. Mungkin ia ada persamaan dengan peribahasa 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam'. ********************************** Tentunya, sebahagian kita terutama generasi yang membesar pada tahun 1970 dan 1980-an terkedu mendengar lirik lagu 'Gelombang' nyanyian Salamiah Hasan: "Nasibku dirundung malang, sederas gelombang, menghempas di pantai..." ***************************** Namun apabila menginjak usia tua ini, ungkapan 'ditimang gelombang' mulai terasa tersasar daripada pengertian hakikat penghidupan - sebenarnya keyakinan, sikap dan perlakuan kitalah yang menentukan hala tuju kita sama ada menuju kebahagian dunia akhirat (syurga) atau penderitaan di dunia dan akhirat (neraka) tanpa mengetepikan faktor bahawa Allah SWT penentu segala-galanya. ******************************** Mulai terasa dalam diri ini "gelombang bukanlah penentu kehidupan ini" tetapi "kitalah sebenarnya yang menguasai gelombang." Kita menawan gelombang itu dengan iman dan bukan membiarkan diri kita dihanyutkan olehnya - terkapai-kapai tanpa ada perhentian atau pelabuhan. ********************************* Syawal lalu (apabila kelas pengajian maghrib-isyak ditangguhkan sebulan) memberi peluang kepada saya menatap sejumlah buku yang terdapat di masjid dan sebuah buku tebal bertajuk 'Fadhilat Sedekah' benar-benar memukau diri ini untuk bermuhasabah diri. *********************************** Ungkapan seperti 'usahlah gila mengumpul harta untuk ditinggal serta dihabiskan oleh orang lain di dunia ini', 'depositlah harta kamu agar kekal dan berganda-ganda di sisi Allah Taala (yang tidak dapat dimusnahkan oleh manusia seperti pencuri dan perompak dan bencana alam)' dan 'harta kamu yang sebenarnya adalah apa yang kamu telah makan, pakai dan belanjakan di sisi Allah' memberi ingatan kepada kita supaya sentiasa berada di jalan-Nya walaupun sentiasa dipukul gelombang. ************************** Sekalipun badainya tersangat kuat, tabungan kita untuk kebahagian dunia dan akhirat wajib diteruskan. Ada gelombang atau tiada gelombang (seperti kita jatuh sakit, miskin, dihina orang) pelaburan dan tabungan kita (seperti solat, zakat, sedekah, puasa, jihad dan kerja) perlu diteruskan dengan sebaik mungkin. Kita tidak ditimang gelombang sebenarnya, tetapi kitalah yang menguasai diri kita (terutama hati dan tindakan) dalam gelombang itu. *************************** Apa yang menariknya, cendekiawan mengingatkan kita supaya istiqamah (berkekalan) dalam amalan baik kita - biarlah sedikit tetapi berterusan. Misalnya kalau kita mahu bersedekah, tidak mengapa jika jumlahnya kecil tetapi lakukan sentiasa seperti setiap hari. *********************************** Misalnya dalam menderma kepada tabungan seumpama tabung masjid anggaplah ia sebagai salah seorang anak kita yang diberi belanja sekolah setiap hari. Jika kita ada tiga orang anak yang diberi RM2 seorang setiap pagi, anggaplah tabung masjid itu sebagai anak kita yang keempat - 'berilah' tabung itu RM2 setiap pagi (ada banyak fadilat bersedekah pada awal hari, salah satunya malaikat mendoakan kebaikan untuknya) termasuk hari tak sekolah. ******************************* Jika sehari kita derma RM2, dalam masa sebulan jumlahnya RM60; dalam setahun sudah ada RM720. Kalau kita istiqamah dalam masa 10 tahun, ia sudah menjadi RM7,200. Kalau kita mulakan amalan ini pada usia 40 tahun dan meninggal dunia pada usia 70 tahun (tempoh menderma 30 tahun), kita sudah 'melabur' di 'bank Allah SWT' sebanyak RM21,600! ******************************* Jika pelaburan kita dalam membesarkan anak membolehkan mereka menjadi anak salih yang mendoakan kita amat bermanfaat di dunia dan akhirat; begitulah pelaburan kita dalam tabung masjid tadi. Selain keuntungan di dunia seperti dimurahkan rezeki, ganjaran yang menunggu di akhirat nanti tersangatlah besar, hanya Allah SWT menentukannya. ******************************** Ingatlah 'simpanan' kita dalam tabung Allah SWT tidak akan rosak seperti simpanan di bank dunia dan dalam bentuk harta tetap yang akan binasa (seperti bank diisytikar muflis, berlaku bencana alam atau kamu sendiri mati) malah dilipat-gandakan. Namun semuanya perlu dilakukan mengikut landasan yang betul...semata-mata kerana Allah Taala. Di sini ikhlas amat penting. ******************************* Rumusannya, kita sendiri menentukan hala tuju hidup kita sama ada hendak berbahagia di dunia dan akhirat atau ke neraka sana. Nauzubillah. Jadi pada pendapat hamba yang daif ini tidak benarlah ungkapan "sudah besar kita ditimang gelombang!" Bagaimana pendapat pembaca?

No comments: