Thursday, May 2, 2013

Melayu tinggalkanlah kepompongmu, usah terus bergayut dengan bantal busukmu...

******************** Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ******************* Renungan ******************** “...Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain daripada kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” (Surah Al-Baqarah, ayat 85) ****************************** Artikel lama penulis mengenai orang Melayu disiarkan kembali untuk iktibar bersama sempena PRU ke-13 pada 5 Mei ini. ******************************* Manusia lahir dengan tangan kosong. Manusia juga akan kembali dengan tangan kosong. Sepanjang perjalanan kehidupan daripada saat lahir ke detik kematian, seseorang itu menghimpun segala-galanya - daripada harta benda, anak pinak, ilmu pengetahuan, amal baik dan buruk, dosa serta pahala. **************************** Antara harta seorang bayi ialah botol susunya, kemudian pada zaman kanak-kanak ada bantal busuk, seterusnya ada permainan, beg sekolah, ada basikal, waktu bujang ada bilik sendiri, kemudian kereta, rumah, saham dan akhirnya meninggalkan dunia fana ini dengan harta bernilai berjuta-juta ringgit. Sesetengahnya pula meninggalkan dunia tanpa apa-apa selepas diisytiharkan muflis. *********************** Jika sesetengah kanak-kanak tidak lekang dengan bantal busuknya, demikian juga orang Melayu, tidak selesa untuk meneruskan kehidupan tanpa idolanya. *********************** Daripada zaman kecilnya sehinggalah hampir ke liang lahad, sebahagian Melayu memerlukan wira, idola, tokoh, legenda dan ikon semasa untuk dijadikan dahan, tempat berpahut sama seperti seorang kanak-kanak mendambakan bantal busuknya. *************************** Keperluan orang Melayu untuk bergantung kepada legendanya, tergambar daripada perbualan penulis dengan beberapa orang pelawat Perigi Hang Tuah ketika berehat-rehat di beranda Masjid Duyong (dinamakan semula sebagai Masjid Laksamana Hang Tuah), Melaka selepas solat zuhur baru-baru ini. *************************** Mereka bertanya, adakah penulis orang tempatan, dan kemudian memuji, berkata orang Kampung Duyong adalah keturunan Hang Tuah, pahlawan Melayu termasyhur itu. Secara kebetulan sumur lama yang digelarkan 'Perigi Hang Tuah' ada di kampung itu. ************************* Kehebatan dan kemasyhuran Hang Tuah menjadi idola orang Melayu, dulu dan sekarang, terutama kepada yang berpegang kepada slogan 'dulu, kini dan selamanya'. ************************** Penulis tersenyum sendirian, teringat satu kisah yang ditulis berdasarkan satu tinjauan sendiri di 'kampung Hang Tuah' itu hampir 20 tahun lalu. ***************************** Berdasarkan tinjauan dan daripada perbualan orang-orang tua kampung itu, apa yang dinamakan 'Perigi Hang Tuah' itu sebenarnya tidak wujud sebelum negara mencapai kemerdekaan. ******************************* Telaga dihebohkan sebagai 'Perigi Hang Tuah' itu hakikatnya hanyalah tempat mandian dan sumber air penduduk bernama Mat Segel dan keluarganya pada zaman sebelum merdeka. ************************** Ia menjadi masyhur selepas airnya dikatakan menjadi penyebab sembuhnya penyakit seorang pelawat dan bertambah terkenal apabila dikepung dan dibina tembok di sekitarnya oleh seorang tabib Cina yang digelar penduduk kampung sebagai 'Nyonya Lilin' pada tahun 60-an dan 70-an. ************************** Tetapi disebabkan orang Melayu bagaikan kanak-kanak yang memerlukan bantal busuknya, maka perigi lama itu 'dinaik taraf', sekali gus diiktiraf sebagai 'Perigi Hang Tuah', dan dicatatkanlah kononnya di perigi itulah Hang Tuah mandi-manda manakala di kawasan sekitarnya adalah tempat Hang Tuah membesar. ********************** Hang Tuah adalah idola dan ikon Melayu. Sama ada dia benar-benar hidup atau wujud sebagaimana yang digambarkan (keperkasaan dan kehebatan), perkara itu tidak dapat dibuktikan. Tetapi Hang Tuah tetap membawa kehebatan dan keperkasaan Melayu yang juga mahu dikaitkan dengan keturunan Iskandar Zulkarnain yang turun di Bukit Seguntang dan Mahameru. ************************* Zaman berubah, sepanjang sejarahnya, Melayu berusaha mendekatkan diri dengan idolanya. Idola Melayu turut berubah daripada Hang Tuah yang digambarkan sentiasa berkeris kepada 'pahlawan' Melayu berkot dan bertali leher atau berpakaian Melayu bersampin dengan 'brief case' dan 'hand set'nya. *********************** Melayu baru adalah jelmaan Melayu lama. Ia tidak berubah sepenuhnya kerana sebahagian ciri, sifat dan sikapnya masih kekal. Ia masih mengekalkan pemujaan idola Hang Tuahnya (perhatikan bagaimana Melayu baru tetap bangga dengan keris seperti yang dipertunjukkan dalam perhimpunan agung sebuah parti Melayu), dan juga sikap PhDnya (perasaan hasad dengki) tetapi mencari idola sampingan untuk disesuaikan dengan zamannya. ******************************* Melayu baru mungkin menjadikan tokoh seperti Dr Mahathir Mohamad sebagai idola. Tetapi pencarian itu tidak berakhir di situ. Mereka masih dan akan terus tercari-cari, maka lahirlah idola untuk menjadi pegangan kelompok-kelompok tertentu seperti Nur Amalina kepada budak sekolah, Nurhaliza sebagai artis 'bersopan' dan Mawi daripada Akademi Fantasia yang turut dibahaskan secara panjang lebar pelbagai pihak termasuk oleh profesor universiti. ************************** Melayu baru yang mendakwa kontemporari masih mengekalkan cara hidup Melayu lama, jadi tidak hairanlah semoden mana seseorang Melayu itu, ia mengekalkan 'apa-apa yang diajarkan datuk neneknya' seperti adat bersanding, kenduri kendara dan menghidupkan budaya lama berdondang sayang, mak yong, berkuda kepang dan mendendangkan lagu unsur khurafat seperti Ulik Mayang atau Puteri Santubong. ************************* Dalam pencarian Melayu terhadap hero (wira), mentor,idola, tokoh korporot dan politik sanjungan untuk menjadi payung dan sandarannya, ada sejenis lagi Melayu yang mencari pelindung di kalangan manusia sesat bertopengkan agama; ada yang mengaku Rasul (misalnya Rasul Melayu Kahar), Nabi umat Melayu, Ayah (Pin), Penyelamat dan sebagainya. ************************** Mungkin Melayu yang begitu sibuk mencari hero, idola dan mentor inilah menjadi penyebab mengapa rancangan realiti TV kini macam 'pisang goreng panas'. ************************ Manusia Melayu yang bertuhankan sesama insan, harta benda, wang ringgit, pangkat, nafsu serakah dan iblis syaitan ini adalah kemuncak kepada pergantungan kepada idola seperti yang menjadi amalan sesetengah orang Melayu. Tidak hairanlah jika banyak Melayu baru 'kaki ekor' (tahi judi) dan ramai pula membiarkan banyak masjid besar dan indah, kosong pada kebanyakan waktu. ************************ Slogan-slogan seperti 'hanya...saja mampu buat itu dan ini. Hanya...saja yang mampu memerintah negara adalah antara manifestasi kebergantungan orang Melayu kepada idola dan pujaannya (ini termasuklah parti politik). ************************* Slogan berbentuk indoktrinasi inilah sebahagian faktor penghalang minda Melayu untuk berkembang dan keluar daripada kepompong menyanjung idolanya sama seperti seorang kanak-kanak yang berpegang kejap kepada bantal busuknya. ************************* Sejak kecil sehingga dewasa dan seterusnya tua, kebanyakan manusia Melayu menerima apa saja yang disogokkan tanpa berusaha menyelidiki kebenaran atau hakikat sesuatu perkara itu. ************************** Kebanyakan menggunakan alasan, 'itu adalah ajaran datuk-nenek (budaya) kita' sedangkan dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 170, Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah,' mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami.' "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak mendapat petunjuk?" **************************** Indoktrinasi ke atas orang Melayu begitu berkesan sehingga sebahagiannya tidak bergerak akal fikiran mereka - asyik memikirkan laba dunia - dengan semata-mata berpegang kepada idola, tidak lebih daripada kanak-kanak yang mahukan bantal busuk mereka sekalipun ia hapak, busuk dan meloyakan. ************************ Jika tiada ajakan paradigma Melayu, orang Melayu dikhuatiri akan terus kekal hanyut dengan idolanya itu tidak kira dalam apa bidang pun, sama ada politik, ekonomi, budaya dan sebagainya sekalipun parti Melayu terbesar di dunia terus bersidang saban tahun. ************************** Selagi Melayu tidak meninggalkan slogan '...dulu, kini dan selamanya', jangan harap Melayu lama akan bertukar Melayu baru yang hidup bertunjangkan al-Quran dan hadis, bukannya menghunuskan keris lama ke udara seperti idola lamanya, Hang Tuah! ****************** Kesimpulannya, berubahlah wahai Melayu, INI KALILAH...

No comments: