************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghitungnya." (Ibrahim:34)
************
HAMPIR separuh (lebih 49 peratus) pengundi di Malaysia adalah wanita oleh itu sumbangan golongan ini adalah besar bagi kejayaan mana-mana pihak dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.
Sehubungan itu, kita meminta semua pihak memikirkan hal ini dan melakukan tindakan segera bagi memenangi hati wanita kerana mereka mungkin menjadi penentu kemenangan pilihan raya. Isu-isu wanita perlu diketengahkan dan ditangani secara bijaksana kerana sebarang kelemahan di pihak kita akan memungkinkan musuh meraih sebanyak mungkin undi daripada golongan ini.
Kita mungkin sudah bergerak ke depan dengan mengemukakan sejumlah calon Muslimat pada pilihan raya umum lalu dan juga pilihan raya kecil Dun Tenang (calonnya Normala Sudirman) tetapi masih banyak lompang yang perlu diperbaiki. Sekalipun kita mengemukakan lebih ramai calon Muslimat, pihak musuh akan tetap menuduh kita sebagai hanya mahu memancing undi golongan wanita.
Sebenarnya, apa saja yang kita buat (termasuk memartabatkan golongan wanita) akan dipandang sinis oleh pihak ini; oleh itu tabahkan semangat untuk terus memberikan yang terbaik kepada golongan wanita sejajar dengan ketetapan Allah SWT melalui Kitab dan Rasul-Nya. Namun pelaksanaan hal ini tidak mudah kerana wanita sebagai golongan lemah yang dijadikan daripada tulang rusuk Nabi Adam s.a.w.; sebahagiannya mudah terpengaruh dengan manis dunia termasuklah hiburan dan laranya. Kelemahan inilah yang dieksploitasi oleh pihak lawan kita yang terus berjanji memberikan yang muluk-muluk kepada wanita penyokong atau pengundinya.
Di sini kita lihat betapa pentingnya golongan lelaki sebagai pemimpin (termasuklah sebagai suami dan bapa) berperanan untuk mendidik orang di bawah mereka. Bukanlah Allah SWT telah berfirman melalui ayat 6 Surah At-Tahrin yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka, yang bahan-bahan bakarnya adalah manusia dan batu (berhala).”
Insya-Allah apabila kebanyakan wanita sudah dirapati dan dipasakkan ilmu agama dalam diri masing-masing, mereka akan tahu menilai mana intan dan mana kaca; pihak mana yang berjuang untuk keselamatan mereka di dunia dan akhirat dan pihak mana yang hanya menjanjikan kemanisan dunia yang bersifat sangat sementara. Ya berusaha keras dan berdoalah agar wanita-wanita kita diberi taufik dan hidayah untuk memilih antara kaca dan permata.
Namun memasakkan ilmu ke dada-dada wanita kita bukan proses mudah atau boleh dilakukan menjelang pilihan raya saja. Pendidikan bermula daripada bayi dalam kandungan lagi, berterusan di alam bayi, alam kanak-kanak, remaja, dewasa, tua sehinggalah seseorang itu masuk ke alam kubur. Ertinya pendidikan adalah proses seumur hidup. Persoalannya adakah kita bersedia dan cukup prasarananya untuk menjayakan cita-cita mendidik seluruh masyarakat ini?
Sekalipun kelihatan berat, tetapi usaha perlu dilakukan dengan doa tanpa putus-putus. Insya-Allah apabila wanita kita terurus matlamatnya, kita akan sentiasa mendapat sokongan mereka termasuk ketika pilihan raya.
No comments:
Post a Comment