***************
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Wafatkanlah aku dan keadaan Islam dan gabungkanlah aku dengan orang-orang saleh." (Maksud Ayat 101 Surah Yusuf)
**************
SEMASA remaja dulu, sekali-sekala saya memegang batang cangkul dan sabit, menolong ‘orang tua’ berkebun. Saya membantu menanam pokok tebu, serai dan tanam-tanaman kampung lain. Ketika itu tidaklah terasa sakit badan selepas bekerja kerana tenaga masih banyak dan badan ‘fit’.
Tetapi sekarang, pada usia 50-an, apabila saya berkebun semula selepas memiliki sebidang tanah ‘sekangkang kera’, tidaklah dapat saya gambarkan kesakitan badan termasuk lenguh-lenguh anggota, sendi dan tulang selepas ‘aktiviti’ menebas atau mencangkul.
Penat sungguh berkebun atau menjadi petani ini, keluh saya. Patutlah tak ramai anak-anak muda kita nak jadi petani. Selain penat menebas, mencangkul dan menyemai, benih yang ditanam dirasa lambat pula membesar dan membuahkan hasil. Jika tanaman menjadi, kena fikir pula cara memasarkannya. Jika tidak tahu, hasil tanaman akan berlonggok
atau membusuk di kebun.
Sebaliknya, jika kerja bergaji, hujung bulan insya-Allah akan dapat habuannya. Pendeknya, tidak perlu fikir apa-apa, duit sudah di’bank in’. Selesai sudah masalah perbelanjaan anak yang bersekolah, belanja dapur dan sebagainya.
Tetapi bertani banyak masalah yang memerlukan kesabaran tinggi. Penghasilannya bukan boleh ditetapkan pada setiap hujung bulan. Kalau tak berduit pada hujung bulan bagaimana mahu menyediakan belanja rumah tangga, anak-anak dan membayar bil. Tentulah pening kepala memikirkannya.
Penat menebas, saya pun beredar ke bawah sepohon rambutan yang merimbun. Peluh membasahi seluruh anggota badan termasuk di muka. Cuaca jam 10.00 pagi itu sungguh panas. Di bawah pokok rambutan keadaan redup. Saya pun mula merehatkan diri. Botol air dicapai. Pada masa yang sama tangan sebelah lagi mencapai sebuah akhbar tabloid
harian.
Tersentak saya membaca tajuk besar muka depannya – Imam perangai buruk dipenjara setahun. Apa yang menyebabkan imam ini dicop sebegitu sehingga ditulis berperangai buruk? Saya membaca lagi, ooo, rupa-rupanya Iman Hoslan Hussin didapati hina mahkamah kerana baling selipar ke arah hakim selepas kalah kes in Mahkamah Persekutuan. Puas
saya memikirkan tajuk akhbar ini. Ya, ada yang tidak kena.
Teringat saya akan kelas kewartawanan asas yang saya hadiri di universiti puluhan tahun lalu. Ternyiang-nyiang di telinga saya pesanan seorang pensyarah; “kamu ‘reporter’ (pemberita) ini macam posmen, tugas posmen hanya hantar surat, dia tidak terbabit malah tidak tahu langsung apa yang terkandung dalam surat itu. Sebagai
pemberita, kamu melaporkan saja sesuatu kejadian atau peristiwa itu, jangan pandai-pandai membuat andaian dan ulasan.”
Ya, tajuk akhbar itu telah menyentak jiwa saja. Imam perangai buruk dipenjara setahun. Faktanya adalah ‘Iman baling selipar dipenjara setahun’. Berbeza sungguh antara ‘imam perangai buruk’ dengan ‘imam baling selipar’? Mendakwa imam perangai buruk adalah satu bentuk ‘labeling’ atau membuat 'judgment' yang dipercapai mempunyai tujuan dan motif tertentu.
Alangkah dahsyatnya jika dunia kewartawanan yang murni itu cuba dikelabui dengan unsur-unsur dendam kesumat bertujuan menghukum atau memburuk-burukkan pihak-pihak tertentu.
Membaling selipar tidak semestinya berperangai buruk. Ambil contoh makan. Kalau seorang itu kebuluran, sudah tiga hari tidak makan, tentunya dia akan makan dengan lahapnya apabila diberi makanan. Apakah boleh kita melabelkan orang yang makan cara ini ini sebagai seorang yang buruk makan? Tentunya tidak kerana dalam keadaan ‘luar biasa’ seseorang itu tidak akan ingat akan diri apalagi perbuatannya. Seseorang yang terlalu lapar dengan tiada makanan halal, daging binatang haram pun boleh dimakannya.
Demikianlah orang yang tertekan dengan tiada tempat untuk dia menyalurkan perasaannya akan bertindak bukan-bukan. Orang Melayu terkenal dengan sikap ‘amuk’nya malah perkataan ini digunakan dalam banyak bahasa dunia termasuk Inggeris. Jika ada orang Melayu mengamuk (ran amok, perkataan bahasa Inggeris), kita bersyukurlah Iman Hoslan
tidak ‘ran amok’ di mahkmah, dia hanya membaling selipar. Mungkinkah dia tiada ‘avenue’ (kesempatan dan peluang) untuk meluahkan perasaannya?
Imam itu didapati bersalah oleh mahkamah tetapi bagi saya, tindakan akhbar menggunakan tajuk ‘Imam perangai buruk dipenjara setahun’ (sepatutnya Imam baling selipar dipenjara setahun) adalah keterlaluan dan tersasar daripada prinsip asas kewartawanan. Apakah kita orang media tidak bersedia meminta maaf kepada keluarga Imam Hoslan sama seperti yang kerap dilakukan PM kita sekarang ini?
Tidakkah kita rasa berdosa menyatakan imam itu berperangai buruk, hakikatnya dia membaling selipar? Jadi, tidak wajar wartawan membuat rumusan dia berperangai buruk. Mana boleh wartawan membuat rumusan dalam sesuatu laporan. Apakata para wartawan dan editor termasuk diri saya sendiri sedia kembali berkurusus di sekolah kewartawanan bagi muhasabah diri bahawa kita sudah jauh terpesong daripada dunia kewartawanan sebenar!
1 comment:
Betul tu..dah terlau byk kebejatn dlm masyrt n negara krg..tahap moral n kemnusian makin menurun..
Post a Comment