Wednesday, December 14, 2011
Haji, hajah perlu muhasabah diri
*********************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
******************
RENUNGAN
*****************
"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)
********************
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana diberi-Nya kesempatan untuk kita memuzakarahkan isu membabitkan ummah. Kali ini kita ingin membicarakan perihal jemaah haji yang hampir semuanya sudah kembali ke tanah air masing-masing selepas menunaikan Rukun Islam kelima.
***************************
Jemaah mengharapkan haji mabrur yang tiada balasannya kecuali syurga. Kemabruran haji (yang diterima Allah) inilah yang perlu dipertahankan seseorang haji dan hajah itu sehinggalah dia meninggal dunia. Seseorang 'haji' sewajarnya mengekalkan peranannya sebagai utusan kebenaran dan menjadi model kepada masyarakatnya. Jika berada di Tanah Haram, seseorang itu berusaha mematuhi segala hukum hakam Allah SWT termasuk menentang kebatilan sepanjang berada di sana, kini dengan kembalinya ke tanah halal (tanah air masing-masing), dia perlu terus istiqamah dalam amalannya.
****************************
Sebagai contoh mudah, bagi seorang Muslimah, jika dia boleh menutup aurat sepenuhnya di Tanah Suci, tiada sebab dia 'membogelkan' kepala dan membuka anggota auratnya yang lain di tanah air. Hukum Allah SWT bukan hanya termaktub di Tanah Suci saja; ia diguna pakai pada sebarang masa dan di mana-mana seseorang itu berada.
*******************************
Kita berpendapat ingatan kepada 'haji' dan 'hajah' itu tepat pada masanya bagi membolehkan mereka yang telah menunaikan rukun Islam terakhir, memahami, menjiwai seterusnya mengamalkan segala pengajaran dan falsafah daripada ibadat yang mereka laksanakan itu. Mereka perlu dingatkan bahawa mengamalkan Islam sepenuhnya dan menegakkan segala hukum-hakamnya termasuk hudud menjadi tanggungjawab setiap Muslim apatah lagi mereka yang kini bergelar 'haji' dan 'hajah'. Jika mahu berpolitik, mereka perlu melakukannya mengikut peraturan Islam yang sudah pasti menolak amalan buruk yang berleluasa sekarang ini seperti mengamalkan asabiyah (perkauman), menipu dalam pilihan raya, rasuah, memfitnah dan merompak harta negara.
****************************************
Apabila dinyatakan mengamalkan Islam sepenuhnya, ia bermaksud menjadikan al-Quran dan hadis itu sebagai panduan hidup dalam semua bidang kehidupan. Ia bukan sahaja dalam soal ibadat khusus seperti solat dan puasa seperti difahami sesetengah pihak tetapi merangkumi segala-galanya - daripada soal yang dipandang remeh temeh oleh manusia kepada urusan mengatur masyarakat seperti politik, muamalat dan perundangan. Ketika berada di Tanah Suci, jemaah haji diberi nasihat mengenai hukum hakam Islam oleh Kementerian Hal Ehwal Haji dan Wakaf Arab Saudi melalui buku 'Panduan Untuk Jemaah Haji dan Umrah serta Pengunjung Masjid Rasul' yang antara lain menegaskan perkara-perkara yang membatalkan Islam.
*********************************
Selain syirik iaitu mempersekutuan Allah yang dianggap kesalahan terbesar, turut disenaraikan perkara batil lain ialah berkeyakinan bahawa petunjuk yang lain daripada Nabi s.a.w. adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi s.a.w. lebih baik seperti mereka yang mengamalkan peraturan thaghut (aturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang daripada hukum Allah) dan mengenepikan Rasulullah s.a.w. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.
**********************************
Sebagai contoh; a) berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam; atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan sekarang; atau Islam adalah sebab kemunduran umat Islam; atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.
********************************
b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah seperti melaksanakan hukum hudud, memotong tangan pencuri dan merejem penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.
****************************
c) Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundungan yang lain daripada Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam hukum muamalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam kerana dengan sedemikian, ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT menurut ijmak (kesepakatan) ulama.
************************************
Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah SWT dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain daripada Syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam.
****************************
Perkara lain yang boleh membatalkan Islam ialah membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah SWT yang bermaksud: "Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka."
***************************
Selain itu, mempersendakan Allah SWT atau Kitab-Nya, atau Rasulullah s.a.w. atau sesuatu daripada ajaran agama, maka dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekalian memperolok-olok? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman."
************************
Dalam urusan masyarakat hari ini banyak perkara termasuk hukum-hakam disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Berdasarkan hakikat ini, sedar dan insaflah betapa banyak dosa yang telah kita lakukan. Hanya kepada Allah SWT-lah kita memohon keampunan kerana kegagalan kita melaksanakan hukum-hakamnya.
*************************
Kepada insan yang bergelar haji dan hajah yang baru kembali, disarankan supaya berpegang teguh kepada perlakuan manasik dan falsafah haji yang telah sedaya upaya diterapkan semasa di Tanah Suci. Kita ulangi, di Tanah Suci sudah istiqamah membungkus diri dengan pakaian menutup aurat, termasuk rambutnya sekali, tetapi kenapa di tanah air kembali mendedahkannya?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Hari ini kaum Muslimin berada dalam situasi di mana aturan-aturan kafir sedang diterapkan. Maka realitas tanah-tanah Muslim saat ini adalah sebagaimana Rasulullah Saw. di Makkah sebelum Negara Islam didirikan di Madinah. Oleh karena itu, dalam rangka bekerja untuk pendirian Negara Islam, kelompok ini perlu mengikuti contoh yang terbangun di dalam Sirah. Dalam memeriksa periode Mekkah, hingga pendirian Negara Islam di Madinah, kita melihat bahwa RasulAllah Saw. melalui beberapa tahap spesifik dan jelas dan mengerjakan beberapa aksi spesifik dalam tahap-tahap itu
Post a Comment