Monday, December 26, 2011

Hanya 20% isi rumah berpendapatan lebih RM3,000

****************
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)

*************

Kita mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada kerajaan dan rakyat dalam pemberian wang bantuan RM500 sekali beri, tetapi dalam keghairahan pemimpin negara dan media massa membesar-besaran pemberiaan berkenaan kepada isi rumah yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan; terdedahlah satu hakikat yang perlu direnungkan – hanya 20 peratus saja isi rumah di negara ini yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan!

Kementerian Kewangan menyatakan RM2.6 bilion akan mula dibayar mulai pertengahan Januari depan yang akan memanfaatkan 5.2 juta isi rumah atau 79.5 peratus daripada isi rumah di negara ini. Jika 79.5 peratus daripada seluruh isi rumah berpendapatan kurang RM3,000 sebulan, bermakna hanya ada 20.5 peratus saja isi rumah yang berpendapatan lebih RM3,000 sebulan.

Sekarang ini pendapatan isi rumah biasanya disumbangkan oleh suami dan isteri; ini bermakna jika sebuah keluarga itu berpendapatan RM3,000 sebulan; masing-masing hanya berpendapatan dalam lingkungan RM1,500. Jika perkiraan begini dilakukan apakah ini bermakna kira-kira 80 peratus daripada rakyat berpendapatan kurang daripada RM1,500 sebulan?

Dengan berpendapatan RM1,500 atau kurang daripada itu sebulan, hakikat ini perlulah menjadi bahan renungan kita – benarkah rakyat dalam ambang berpendapatan tinggi seperti yang dicita-citakan sesetengah pemimpin negara ini. Bagi kita perolehan sebanyak RM1,500 sebulan tidak begitu jauh daripada garis kemiskinan apatah lagi jika seseorang itu tinggal di kota dan bandar-bandar besar.

Jika sedar bahawa sebahagian besar daripada rakyat adalah miskin atau golongan sederhana (kira-kira 80 peratus daripada penduduk), maka sewajarnya langkah-langkah drastik dan berkesan dilakukan untuk mengatasi masalah ketidak-mampuan rakyat ini. Dengan pendapatan RM1,500 sebulan di kota sebenarnya tidak banyak perkara keperluan hidup yang boleh dilunaskan. Sewa (bayaran ansuran) rumah, tambang pengangkutan dan bayaran utiliti bulanan sudah cukup untuk melangsaikan wang sebanyak itu

Jadi bagi kita, usaha mengurangkan beban golongan majoriti rakyat golongan miskin dan sederhana ini bukanlah dengan pemberian sekali beri tetapi merancang mengurangkan penderitaan dan kesempitan hidup mereka. Isu jelas yang paling membelenggu rakyat adalah kenaikan harga barangan keperluan dan perkhidmatan yang sejak akhir-akhir ini seperti tidak dapat dikawal oleh pihak berkuasa.

Memberi rakyat wang tunai RM500, dengan cepat mereka boleh menghabiskannya tetapi dengan berwibawanya kerajaan memastikan harga barangan keperluan harian seperti beras, gula, kopi, tepung, susu, minyak, sayur-sayuran, ikan serta ayam dan daging dalam jangkauan rakyat miskin, inilah seribu kali lebih baik dan mulia.

Demikian juga menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang baik dan efisien terutama di kawasan luar bandar adalah amat dialu-alukan. Kini krisis pengangkutan awam di kawasan pinggir kota dan kawasan luar bandar menjadi terlalu buruk sehingga ribuan penumpang di Seremban, Temerloh, Shah Alam dan Kuala Selangor terkandas gara-gara penguasaha pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti terpaksa memberhentikan perkhidmatan kerana syarikat mereka mengalami kerugian yang teruk.

Kita sedar syarikat-syarikat ini rugi besar kerana penggendalian perkhidmatan di luar bandar tidak menguntungkan tetapi bukankah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menangani permasalahan seperti ini. Jika kerajaan boleh berbelanja berbilion-bilion ringgit untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam canggih seperti MRT di ibu kota, mengapa tidak boleh diperuntukkan sedikit sebanyak untuk melegakan penderitaan rakyat luar bandar?

Berkenaan bantuan sekali beri RM500, kita berharaplah ia bukan umpan di kail, tetapi jika betul-betul umpan, harap-haraplah ikan yang ‘bersekolah’ akan mengigit-gigitnya secara bijaksana, jangan mulut tersangkut di kail sudahlah. Biarkah umpan habis tetapi ikan tak dapat-dapat juga!

No comments: