Posted on 13rd DEC 2010
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dalam salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan." (Surah al-Maidah:2)
***
SEKARANG musim hujan. Di ibu kota hampir setiap petang hujan. Hujan adalah rahmat tetapi manusia dengan kepelbagaiannya, menghadapi hujan secara berbeza-beza. Misalnya hujan petang membawa keresahan kepada sesetengah pekerja yang mahu segera pulang tetapi bagi penjual payung ia adalah hari mengaut untung.
Bagi sejumlah rakyat marhaen, pengangkutan awam adalah sinonim dengan mereka. Dengan pendapatan kecil berbanding kos hidup tinggi (harga minyak, gas dan gula sudah dinaikkan baru-baru ini), maka mahu tidak mahu, mereka terpaka juga mengharung suka duka menaiki kenderaan awam seperti bas dan di ibu kota, termasuk kereta api transit ringan (LRT).
Hujan menambahkan kesukaran mereka ketika pergi dan balik kerja. Bagi insan kecil seperti penulis yang setiap hari terpaksa menaiki bas ekspres kerana jarak rumah dan pejabat terlalu jauh, Stesen Bas Sementara Bukit Jalil dikunjungi dua kali sehari – pada sebelah pagi untuk ke tempat kerja dan petang bagi perjalanan balik.
Sesuai dengan namanya (sementara), hampir semua kegiatan di stesen ini dilakukan di bawah khemah besar. Daripada kaunter tiket kepada gerai, semuanya dalam khemah. Namun sebahagian besar bas berada di kawasan terbuka; kenderaan ini menurun dan menaikkan penumpang di beberapa laluan yang dinamakan ‘platform’. Hakikatnya kawasan ini adalah tempat pakir kenderaan stadium.
Kini pada musim hujan, laluan bas sudah berlopak-lopak dan bergenang dengan air. Kawasan sudah menjadi terlalu lecak, berlondang. Penumpang yang menaiki atau menuruni bas kadang kadang-kadang termasuk dalam kawah air. Kasihan, kaki mereka bukan saja lencun tetapi berlumpur dan berselut.
“Depa ingat ini bendangkah?” jerit seorang pemandu bas ekspres ke Selatan. “Baikilah segera,” katanya yang terpaksa mengalihkan bas bagi membolehkan penumpang menaiki bas dengan lebih selesa.
Seorang penumpang mengeluh: “Nasib baik aku dalam perjalanan balik. Kalau mahu pergi pejabat, macam mana? Kasut aku sudah penuh dengan lumpuh ini!”
Seorang penumpang yang lebih kritis pula berkata: “Mentang-mentanglah kita orang miskin, siapa peduli nasib kita ini. Masuk sawah masuk sawahlah, jadi kita boleh balik.”
Demikian serba sukarnya rakyat marhaen menjalani kehidupan. Perkhidmatan di Stesen Bas Sementara Bukit Jalil yang dijanjikan beroperasi beberapa bulan bagi menampung keperluan di Hentian Puduraya yang ditutup bagi kerja-kerja penambah-baikan, nampaknya sudah berlarutan hampir setahun, sehinggalah ke tahun baru.
Hentian Puduraya yang dirasmikan oleh Perdana Menteri ketiga, Hussein Onn pada 2 Oktober 1976 itu, sudah terlalu nazak, tidak mampu lagi menampung kepesatan pembangunan pengangkutan awam masa kini, oleh sebab itulah ia diubah suai selepas mendapat teguran Perdana Menteri, Najib Razak yang membuat kunjungan awal tahun ini.
Kerja-kerja pembaikan di Puduraya masih belum selesai sedangkan Terminal Pengangkutan Bersepadu Selatan (ITT) di Bandar Tasik Selatan bernilai RM570 juta yang dijanjikan boleh digunakan pada penghujung Ogos dan dirasmikan pada November, juga belum lagi digunakan.
Nampaknya rakyat marhaen diperlukan untuk terus bersabar menghadapi karenah birokrasi pemerintah sedangkan pemimpin dengan gah mendendangkan lagu lama ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’. Apakah ini bermakna rakyat didahulukan untuk menanggung beban?
Jika stesen bas di ibu kota seperti di Bukit Jalil keadaannya amat daif, macam sawah padi, bayangkan bagaimana agaknya stesen bas lain di bandar kecil dan pekan.
Tentunya kemudahan inilah yang menjadi tumpuan rakyat marhaen, mereka benar-benar berharap kerajaan dapat memberikan sedikit keselesaan tetapi rupa-rupanya hal itu jauh panggang dari api.
Pemimpin bercakap berdegar-degar mengenai projek berbilion-bilion ringgit, negara berpendapatan tinggi, pencapaian hebat bertaraf dunia, tetapi rakyatlah terpaksa menanggung keperitan – makan minum insya-Allah cukup tetapi untuk hidup selesa menjadi masalah besar.
Memanglah di negara kita mungkin tidak ada orang mati tak makan, tetapi amat-amatilah derita sesetengah mereka’. Ada yang terpaksa makan nasi berlaukkan ikan dan kangkong lombong, ada yang terpaksa berpanas dan berhujan mencari kotak, kertas dan bekas tin dan tidak kurang juga terpaksa tinggal dalam podok usang hampir roboh atau di bawah jambatan.
Jika demikian halnya, apakah erti pemimpin bercakap mengenai projek-projek berbilion-bilion ringgit seperti pembinaan Menara Warisan sedangkan wang itu sewajarnya disalurkan kepada rakyat yang dahagakan bantuan seperti pelajar sekolah di pedalaman dan juga di tengah-tengah kota yang dihimpit kedaifan!
2 comments:
saya rasa patut org yg buat ulasan nie , buat ulasan turutan . yelah takut manusia malaysian yg tertinggal dari arus pemodenan tak tahu apa yg dah berlaku sekarang. di bukit jalil dan puduraya. apa yg telah dilakukan. bak kata radio tv, bila teruk diboo, dicaci, dikutuk, bila dah elok, masih lagi di caci- cerca, semuanya negative. hehe. cheers.
suka tengok org gaji besar2 ujung bulan makan maggie dgn suka ikat perut. orang kampung yg daif makan nasi berulam kan sayur kampung dan ikan atau ayam. untung hidup di malaysia, kurang tekanan, bijak dan rajin sedikit, dapatlah duit lebih. pemalas dan bodoh skit, habis harta tergadai dan makan ler kais awal bulan makan ujung bulan . hehe.
Post a Comment