Monday, December 27, 2010

Mengapa dihidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu?

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Ucapkanlah kepada mereka, kata-kata yang mulia dan rendahkan dirimu di hadapan kedua-dua ibu bapamu dengan penuh rasa sayang." (Surah al-Israk, ayat 23-24)
***

Sempena tahun baru 1432 Hijrah dan tahun Masihi 2011 ini, kita terpanggil untuk menyatakan kekesalan dengan tindakan pihak berkuasa menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu seperti joget lambak dan berdondang sayang (Yang Dipertua Negeri Melaka Khalil Yaakob, Ketua Menteri Ali Rustam dan Menteri Rais Yatim dan isteri masing-masing berjoget lambak 1-Malaysia pada sambutan Hari Krismas Kebangsaan di Perkampungan Portugis Ujong Pasir pada malam 26 Disember) membabitkan percampuran lelaki perempuan demikian juga konsert di mana muda-mudi bebas bergaul.

Ketika ini pada sesetengah majlis rasmi negeri tertentu terutama yang membabitkan industri pelancongan, diadakan acara hiburan cara lama seperti joget lambak yang kita sedia maklum diperangi secara habis-habisan oleh ulama pada tahun-tahun 1960-an sehingga 1980-an, tetapi pemimpin masa kini melihatnya sebagai satu cara terbaik memperhebatkan industri pelancongan seterusnya meraih pendapatan tinggi kepada rakyat dan negara, kononnnya.

Menghidupkan semula amalan jahiliah orang Melayu ini, adalah sesuatu yang malang bagi masa depan bangsa ini yang sewajarnya diperkasakan bukan saja untuk kebahagiaan dunia tetapi juga akhirat. Tidak guna digembar-gemburkan akan ketuanan Melayu sedangkan hakikatnya bangsa ini mahu dilekakan kembali dengan amalan yang bukan saja mendatangkan penderitaan di akhirat tetapi juga di dunia.

Kini bangsa Melayu menghadapi masalah sosial paling kronik. Permasalahan seperti meningkatnya kes penyalah-gunaan dadah, cerai, bunuh, membunuh diri, berzina dan pelbagai maksiat lain bukan saja membabitkan muda-mudi tetapi juga golongan veteran yang sewajarnya bersiap sedia menjadi penghuni kubur. Tetapi nampaknya cara hidup songsang yang dihidupkan kembali oleh pihak berkuasa, menjadi tarikan utama golongan ini untuk kembali berjoget dan berdondang sayang menyamai zaman 1960-an, malah lebih teruk daripada itu. Orang Melayu nampaknya mahu dinostalgiakan kembali dengan zaman kelekaan itu, seterusnya melupakan permasalahan serius dihadapi bangsa ini pada zaman serba mencabar sekarang.

Bagi kita, sesetengah pemimpin Melayu ini sengaja meleka-lekakan bangsanya agar mereka dan suku sakat mereka terus berkuasa ‘dulu, kini dan selamanya’. Apabila rakyat didendangkan kononnya kehidupan mereka penuh kemewahan, kemudian disogokkan dengan majlis-majlis keramaian pemuas nafsu. maka akan terus tertidurlah bangsa ini dijajah bangsanya sendiri. Bangsa ini akan hanyut dengan aneka maksiat bentuk baru; dulu ada permukiman tujuh hari tujuh malam jika anak pembesar berkahwin di mana acara seperti joget lambak dan sabung ayam diadakan, kini orang Melayu dihanyutkan pesta sana, pesta sini yang mungkin berlangsung dua atau tiga hari dengan kemuncak diadakan konsert di mana muda-mudi bebas bercengkerama.

Menjelang tahun baru Masihi 2011, kita akan dapat menyaksikan bagaimana pemimpin Melayu sama sibuk. Mereka mengetuai majlis menghitung detik itu yang biasanya diakhiri dengan konsert. Anak-anak muda berpeleseran, lelaki perempuan bercampur aduk. Jika guru (pemimpin) kencing berdiri, masakan kita boleh marah apabila anak murid (muda-mudi) kencing berlari. Jika pemimpin enak-enak berjoget lambak, masakan kita mahu marah jika anak-anak lelaki perempuan bermaksiat dalam semak, dalam kereta, bilik hotel dan di taman.

Maksiat yang disuburkan pada sambutan tahun baru ini, biasanya akan ‘membuahkan hasil’ sembilan bulan kemudian. September dan Oktober adalah bulan ‘menuai hasil’ apabila ramai anak-anak tak sah taraf (di luar nikah) dilahirkan. Untuk mengatasi masalah ini, ada pihak berkuasa mencari jalan singkat dengan mewujudkan ‘sekolah harapan’ (hamil). Ini adalah akal manusia jahiliah, menyuburkan pesta maksiat seperti joget lambak serta konsert dan mencari jalan keluar mengikut nafsu sedangkan Islam menekankan pendidikan dan langkah pencegahan awal seperti membendung percampuran bebas lelaki perempuan dan menekankan persoalan aurat dan teramat penting ditegakkan semua hukum hakam Allah SWT termasuk hukum hudud seperti merejam mati penzina lelaki perempuan yang sudah berkahwin manakala yang belum berkahwin, 100kali sebatan.

No comments: