Wednesday, November 30, 2022

5 Jamadilawal 1444: Dakwah perlu 'follow-up' di Sabah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud; "Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekali gus daripada (dada) manusia, tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu bertanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan akan menyesatkan orang lain." (HR. Muslim)


ALHAMDULILLAH diI Sabah saya berpeluang solat waktu berjemaah di surau sebuah pondok tahfiz. Alangkah syahdunya menyertai kumpulan budak-budak berjubah dan berserban putih bersih bersolat.


Pada solat subuh Jumaat, 'imam muda' membaca Surah Sajdah; terasa ketenangan dan kesyahduan walaupun kadang-kala bacaan imam 'tersangkut-sangkut' (al-maklumlah dia sedang belajar) tetapi diperbetulkan ustaz mereka.


Ya Islam dan pengajiannya semakin berkembang di Negeri Di Bawah Bayu. Menurut risalah Ataqwa (Akademi Tahfiz Al-Quran Wal Hadith (Misi Dakwah Di Sabah) bermulanya dakwah Islam di negeri Sabah ini adalah pada zaman arwah Bapa Pahlawan Sabah iaitu Datuk Paduka Mat Salleh dan arwah Tun Dato' Mustafa bin Dato' Harun yang ketika itu memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah.


Tun Mustafa juga dikenali Bapa Kemerdekaan Sabah telah menubuhkan Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA). Dengan penubuhan USIA ini, ramai daripada kalangan suku kaum seperti Dusun, Kadazan, Murut, Rungus telah memeluk Islam pada tahun 1970-an dan 1980-an.


Umat Islam di pulau Borneo khasnya saudara baharu di Sabah mengharapkan usaha dakwah dapat dipertingkatkan terutama di kawasan ceruk rantau di pedalaman. Hakikatnya segelintir daripada kalangan mereka ini terbiar dan tidak ada bimbingan daripada pendakwah Islam dan kekurangan tenaga pengajar yang menyebabkan ada di antara mereka menjadi murtad.


Berceloteh dengan seorang rakan pulang berdakwah dengan kawan-kawannya selama 40 hari di sebuah kawasan pedalaman di sana, mengharu dan menginsafkan bahawa lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk 'memahatkan' Islam di bumi bertuah itu.


Mungkin satu kampung sudah diislamkan, tetapi penduduk terus dengan amalan lama dan ada kemungkinan besar untuk kembali kepada kepercayaan sebelumnya jika tidak 'dipahatkan' ilmu dan amalan Islam.


Katanya, 'takazah' (keperluan agama) adalah amat mendesak. Penduduk yang telah diislamkan (saudara kita) hauskan ilmu dan bimbingan manakala yang belum Islam menunjukkan minat sangat mendalam untuk mengetahui tentang Islam.


"Namun kedua-dua hal ini gagal ditangani umat Islam secara baik. Memang betul, ramai yang sudah diislamkan, tetapi kurang sekali usaha 'follow up' (susulan). Penduduk sudah diislamkan, tetapi terbiar tanpa bimbingan (usaha dakwah) supaya mereka terus istiqamah dalam Islam seterusnya mengamalkan perintah dan larangan agama.


"Saya saksikan sendiri bagaimana seorang ustaz dari kota datang untuk mengetuai solat Jumaat termasuk membaca khutbah di sebuah masjid tetapi selepas itu dia tergesa-gesa pulang sedangkan penduduk mahukan ustaz mengajar dan membimbing mereka.


"Selama seminggu penduduk terbiar dari segi agamanya, minggu depan seorang ustaz lagi akan datang untuk mengetuai solat Jumaat, selepas itu dia pun berangkat pergi, jadi siapa yang hendak mengajar agama kepada penduduk-penduduk di kawasan pedalaman itu?" tanyanya.


Pendakwah itu bimbang 'saudara kita' akan kembali kepada kepercayaan asal kerana banyak faktor memungkinkannya. "Misalnya dalam sesebuah keluarga ada seorang dua yang memeluk Islam, yang lain masih mengekalkan cara hidup lama; lambat laun dikhuatiri 'saudara kita' akan kembali kepada kepercayaan dan cara hidup lama kerana mereka tidak ada bimbingan dalam beragama," katanya.


Beliau mendakwa sepanjang berdakwah ada ditemui seorang bapa mengahwinkan anak gadisnya yang sudah Islam dengan pemuda bukan Islam. Si bapa tidak tahu itu satu kesalahan, lebih malang lagi tiada ustaz 'hadir' untuk membetulkan keadaan itu.


Mengenai dakwah kepada penduduk bukan Islam, si pendakwah berkata kebanyakan penduduk di rantau ini 'lembut-lembut belaka' - mereka 'banyak tersenyum' dan diam saja 'ketika didakwah'.


"Ramai tertarik kepada Islam, kami pernah menghadiri majlis kenduri berkhatan bagi 'saudara baharu'...begitu terharu kami melihatkan selain kanak-kanak ada pemuda berusia 18 'siap sedia untuk dikhatankan' demikian juga orang 'veteran'," katanya.


Berdasarkan kunjungan dakwahnya yang menarik minat penduduk tempatan, beliau mengharapkan lebih ramai kumpulan dakwah dapat ke Sabah dan Sarawak


Namun beliau mengingatkan bahawa 'kawasan dakwah' adalah begitu luas jadi masa diperlukan lama; tidak mungkin untuk melakukan kerja dakwah dalam tempoh sehari dua kerana perjalanan ke sana saja untuk memakan tempoh berhari-hari.


"Umat Islam mesti melakukan korban untuk menegakkan Islam; kepayahan tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk tidak berdakwah," katanya yang berazam untuk kembali berdakwah kepada penduduk di pulau Borneo.


"Kawasan sasaran dakwah adalah jauh-jauh belaka; banyak kesukaran perlu ditempuh tetapi inilah pengorbanan kita untuk Islam," katanya yang sudah biasa meninggalkan anak isteri dan kampung halaman bagi tempoh yang lama.


Penting untuk orang luar mengetahui seperti diutarakan oleh Ataqwa, bahawa pendakwah luar (atau berlainan suku) sukar untuk mendekati dan memahami uslub dakwah dan waqie masyarakat asal Sabah.


Selain itu, antara masalah yang timbul adalah kekurangan kemudahan asas seperti surau dan kelas pengajian agama untuk membimbing mereka. Jika dilihat situasi di Sabah ini, jumlah rumah ibadat agama lain lebih banyak berbanding masjid dan surau. Malah ada banyak rumah ibadat seperti gereja mendirikan binaan gergasi tanda salib di tepi jalan utama.

No comments: