Monday, September 6, 2021

Muharam 28, 1443: Bertudung tetapi bertelanjang? (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang aniaya, nanti kamu ditimpa api neraka.." (Q.S. Hud:113)


KINI semakin ramai wanita Islam bertudung. Ada yang berkata mereka sudah berhijrah...


Syukur alhamdulillah, tetapi apa dikesalkan, segelintir wanita bertudung terutama remaja, berpakaian seolah-olah bertelanjang – mereka mengenakan jeans ketat dipadankan dengan kemeja-T tanpa lengan yang ‘hanging’ (tergantung) sendat, sekali gus menyerlahkan susuk tubuh.


Kemeja-T singkat itu menyebabkan punggung mereka yang berbalut jeans ketat, terserlah, begitu memalukan orang memandang. Tetapi si pemakai tidak malu menyerlahkan aset mereka untuk dilihat ratusan malahan ribuan pasang mata terutama di tempat-tempat awam seperti stesen bas dan pusat membeli-belah.


Pemandangan bertambah jelek jika si pemakai jeans ketat tadi membongkok atau duduk di bangku kerana seluar dalam mereka terserlah malah alur bontot pun boleh nampak.


Penulis teringat sebuah rencana menyatakan di Aceh Barat sudah ada pasukan penggunting celana ketat; mana-mana wanita berpakaian begitu akan digunting seluar mereka dan diberikan kain sarung sebagai ganti.


Selain berjeans ketat dan berkemeja-T sendat, segelintir lagi wanita bertudung mengenakan baju kebaya mengikut bentuk badan yang dipadankan dengan kain berbelah sama ada di depan, belakang atau sisi.


Bagi wanita mereka mungkin tidak rasa apa-apa, tetapi bagi kebanyakan lelaki ‘normal’, itu adalah gangguan seksual amat hebat. Jika selama ini, pejuang hak wanita selalu bercakap mengenai gangguan seksual terhadap wanita di pejabat, mengapa agaknya mereka tidak langsung mempedulikan apa yang telah dibuat oleh golongan Hawa yang mengganggu ketenangan dan fikiran insan bernama lelaki?


Kenapa semakin ramai wanita berfesyen begini? Salah satu sebabnya pengaruh media massa termasuk televisyen.  Misalnya, dengan hanya bertudung (dahulu tak bertudung sekarang sudah walaupun dengan hanya tudung singkat dan masih ber-T-shirt pendek, mereka dikatakan sudah berhijrah).


Seorang ustazah ketika dihubungi menyatakan dalam Islam hanya wajah (muka) dan tapak tangan wanita boleh didedahkan manakala anggota lain wajib ditutup dalam pakaian longgar.


Beliau menasihati wanita Islam termasuk mereka yang terbabit dalam industri pakaian (Islam dan bukan Islam, lelaki atau perempuan), mempelajari etika berpakaian dalam Islam dan tidak mudah melabelkan sesuatu ciptaan itu Islamik bagi menarik minat pengguna Islam, hakikatnya ia bersifat komersial.


Katanya, apabila salah faham berlaku, ia menyumbang kekeliruan kepada orang ramai. Ramai beranggapan apabila bertudung, mereka sudah memenuhi kehendak Islam, hakikatnya dengan berpakaian menampakkan susuk tubuh, mereka bukan saja menimbulkan salah faham kepada orang Islam dan bukan Islam bahkan boleh sampai ke tahap menghina ajaran Islam.


Apabila seseorang wanita itu bertudung ia dikaitkan dengan kepatuhan kepada hukum Islam tetapi apabila pada masa yang sama dia mendedahkan aurat lain seperti lengan, kaki dan berpakaian ketat dan nipis, dia seolah-olah menghina agama sendiri kerana mengambil hukum-hakam secara separuh-separuh.


Rasulullah s.a.w. dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya sebilangan ahli neraka adalah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi hakikatnya bertelanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.”


Ustazah itu berkata perlakuan pelakon dan personaliti televisyen yang sesetengahnya gemar ‘memakai dan membuka tudung’ memberi kesan negatif kepada remaja. Sesetengahnya ketika upacara tertentu seperti majlis akad nikah begitu sopan bertudung litup tetapi pada majlis resepi kahwin berpakaian terdedah sana dan sini. Ini dibimbangi akan mempengaruhi remaja mengikuti idola masing-masing.


Berhubung perkembangan kurang sihat dalam pemahaman mengenai pakaian menutup aurat ini, ustazah itu berkata, pihaknya insya-Allah, akan berusaha memberi kesedaran mengenai etika berpakaian kepada wanita Muslim termasuk kemungkinan mengadakan pertunjukan busana Muslim.


*** Info

Petikan daripada buku Penenang Jiwa (Pengubatan & Rawatan) oleh Imam Al-Ghazali dan diterjemahan oleh Muhammad Qadirun Nur (Wholesale Mart)


QANAAH


Meniaraplah di hadapan Allah, jangan meniarap kepada manusia,

Menerimalah dengan memutuskan keinginan,

Sungguh kemuliaan itu dalam tiada keinginan,

Jangan berharap kepada sanak saudara,

Orang kaya yang tidak berhajat kepada manusia.


Juga dikatakan senada dengan syair itu:

Wahai si pengumpul dunia!

Waktu kian menentukan,

Terkunci rapat semua pintu,

Sambil kau fikir bagaimana mewujudkan keinginan,

Entah mudah atau sulit kau buru juga,

Kau kumpulkan harta,

Katakan padaku, sudahkah kau kumpulkan?

Hai pemburu harta,

Hari-hari kian meninggalkanmu,

Hartamu telah dilirik ahli waris,

Milikmu hanyalah yang kau infakkan,

Zat yang membahagi akan memberimu rezeki,

Pemberian daripada-Nya selalu terjaga,

Selalu baru takkan binasa,

Qanaah itu selalu menerima,

Tidak pernah tergesa atau berduka

No comments: