Monday, October 12, 2020

Safar 24, 1442: Meriahnya Bandung dengan orang Malaysia...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan barang yang tidak kamu amalkan." (Maksud ayat 2 Surah Al-Shaf)


PEMERGIAN saya ke Jakarta dan Bandung tidak lama dahulu adalah atas ajakan dan tajaan seseorang. Awalnya tidaklah saya ketahui tujuan ahli kumpulannya; setibanya di sana barulah saya ketahui bahawa mereka sebenarnya gila ber'shopping'. Mereka leka 'shopping' dan 'shopping' - kata orang putih, 'shop till you drop'.


Ya, mungkin itulah tujuan utama kumpulan demi kumpulan 'parivisata' (pelancong) Malaysia yang begitu ramai ke Bandung sama ada melalui melalui penerbangan terus ke Lapangan Terbang (Bandara) Husein Sastranegara di kota itu atau melalui lebuh raya sejauh 120 kilometer menghala ke timur selepas mendarat di Bandara Soekarno-Hatta di Jakarta.


Selepas tahu 'kegilaan' mereka ber'shopping', tidaklah saya kerap mengikuti rombongan itu kecualilah ketika mengunjungi Taman Visata Tangkuban Prahu. Ketika duduk-duduk di sebuah bangku bersama isteri betul-betul menghadap 'Kawah Ratu'  di kemuncak gunung berapi itu, seorang lelaki Sunda, penjual barangan cenderamata yang menggantung barangan jualan di tubuhnya, merapati kami (ahh, potong 'stim' pulak budak ni, fikir saya) dan 'membuka kisah sedih pribumi orang kebanyakan Indonesia' walaupun kami tidak membeli apa-apa daripadanya. Sungguh ramai penjual, mungkin menyamai jumlah pelancong!


"Ya, pak dan ibu, kami sangat suka sekali dengan orang Melayu-Malaysia. Orangnya berbudi bahasa, berlainan sekali dengan pelancong orang putih malah orang Asia lain yang bengis dan kasar menghalau kami yang mencari makan," katanya sedih ketika kami memfokuskan mata melihat dasar Kawah Ratu yang berasap-asap.


Dia terus bercerita dan bercerita - daripada mitos Tangkuban Prahu iaitu kisah Sangkuriang yang jatuh cinta dengan ibunya sendiri, Dayang Sumbi yang cantik jelita. Untuk menggagalkan 'cinta terlarang' itu Sangkuriang diminta membuat sebuah perahu besar; akhirnya Yang Maha Kuasa menelangkupkan perahu itu yang kononnya membentuk Gunung Tangkuban Prahu - kepada nasibnya sekarang.


"Presiden Indonesia sudah bertukar tangan, tapi nasib kami masih macam ini. Semua penjual (cenderamata) di sini bukan menjual barangan sendiri sebaliknya kami ambil daripada pihak tertentu. Kami hanya dibayar komisen saja atas setiap barangan terjual. Hanya penjual ada kartu ini saja boleh berjualan," katanya sambil menunjukkan kad nama lusuh yang tergantung di lehernya.


"Rakyat biasa Indonesia sangat susah," katanya. "Untuk dapat makan pun susah, apatah lagi mahu sekolahkan anak-anak." Lelaki Sunda itu mendakwa persekolahan di Indonesia adalah berbayar demikian juga kos rawatan perubatan yang begitu tinggi.


Namun penjaja itu menjelaskan etniknya bermaruah tinggi. Mengemis-ngemis tiada dalam kamus kehidupan orang Sunda yang dakwanya 100 peratus Muslim. Biar susah bagaimanapun, mereka akan keluar mencari rezeki. Dia sendiri berjalan berpuluh-puluh kilometer dari desanya ke Bandung dan Tangkuban Perahu demi mencari sesuap dua nasi.


Dia juga bercerita betapa ramai orang Sunda sudah ke Malaysia, mencari rezeki, Ditanya kenapa dia tak pergi; katanya kos pembiayaannya tersangat tinggi, dia tidak mampu membayarnya.


Ya, berdasarkan perbualan dengan lelaki Sunda itu tahulah saya 'betapa pentingnya sumbangan' orang Malaysia kepada perkembangan ekonomi di Bandung. Ya, ramai daripada pengunjung dari Malaysia 'bagaikan orang gila' menghamburkan jutaan rupiah mereka (selepas ditukar daripada ringgit) di premis jualan seperti kain, barangan kulit dan aneka barangan seperti di Pasar Baru Trade Centre.


Bagaimana saya tidak mengatakan orang Malaysia ramai di Bandung - di hotel saya berselisih bahu dengan orang Malaysia, demikian juga di tempat beli belah malah di puncak Gunung Tangkuban Prahu! Malah suatu pagi ketika bersarapan di hotel, saya berpeluang 'berceloteh' dengan seorang 'makcik' berusia lebih 70 tahun yang duduk di sebelah saya. Ya, Bandung dikunjungi beramai-ramai oleh orang Malaysia, tidak kira muda atau tua. Selain membeli belah, apa agaknya mereka buru di kota ini yang mereka turut membantu 'ekonominya' pak pengusaha hotel, pengusaha visata dan kedai-kedai?


Berdasarkan perkembangan ini, saya beritahu teman-teman baru Indonesia saya termasuk seorang 'dosen' (pensyarah) universiti, bahawa sebenarnya hubungan orang Indonesia-Malaysia adalah tersangat erat, mereka saling perlu memerlukan. Hal ini berlainan daripada 'kerja gampang' sesetengah pihak yang mahu mengeruhkan hubungan kedua-dua negara seperti 'projek ganyang' Malaysia.


Perihal hubungan baik Malaysia-Indonesia misalnya mahu terus dimantapkan oleh pihak berkuasa  kedua-dua negara. 


Ya, Malaysia-Indonesia adalah negara serumpun dengan rakyat kedua-dua negara saling memanfaatkan antara satu sama lain. Nama Bandung memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia mencipta masakan seperti mi atau sirap Bandung, tetapi maaflah pak, mi Bandung tiada di Bandung!

No comments: