Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)
BELANJAWAN 2020 dibentangkan pada Jumaat, 11 Oktober 2019. Sebelum itu Utusan Melayu (Malaysia) ditutup. Sebelum itu pula diadakan Kongres Maruah Melayu. Semuanya berlalu dengan pantas tetapi bagi 'mereka terbabit' panahannya 'berterusan memedihkan' - entahlah sampai bila agaknya...
Takziah dan ucapan simpati kepada warga Utusan yang bukan saja terjejas sumber periuk nasi tetapi terpaksa meninggalkan 'tempat jatuh dikenang' dalam keadaan tergesa-gesa. Sebagai wartawan dan penulis sekalipun tidak pernah bekerja dengan Utusan, saya cuba-cuba menyelami rasa hati warganya...
Sebenarnya Utusan dengan saya 'dekat benar'. Dulu semasa di sekolah rendah pada tahun-tahun 1970-an, Utusan Pelajar menjadi bahan bacaan tambahan saya. Hampir setiap minggu ayah membelinya. Saya amat menghargainya - saya simpan setiap naskhah baik-baik sehingga 'menimbun jadinya'.
Tahun demi tahun berlalu, akhirnya saya bertatih menulis di Utusan Pelajar. Pada ruangan Forum Pembaca, cerpen dan fiksyen sains saya cuba berkarya; hasilnya beberapa karya saya tersiar. Pengalaman ini mengembangkan 'sayap' saya ke akhbar-akhbar lain - adalah cerpen dan komentar tersiar...dan dapat 'bayaran' (honorarium) pula! Siapa tak suka...jadi terima kasihlah kepada Utusan!
Tahun 2012 pada usia 50 tahun saya 'pencen' atas 'kehendak sendiri'. Menyara diri dengan duit KWSP. Duit tak banyak, 'tetapi berani buat (berhenti) beranilah tanggung sendiri. Selain duit KWSP, adalah saya buat kerja 'part time' seperti menulis artikel dan membuat penyuntingan untuk akhbar-akhbar tertentu.
Mula-mula 'semuanya okay' tetapi apabila tahun berlalu, 'cahaya suram mulai terasa'. Kerja-kerja penyuntingan tidak diperlukan lagi manakala artikel-artikel di akhbar lambat atau tidak dibayar. Ada sahabat dalam industri cuba menyabarkan - kamu cubalah faham bahawa akhbar cetak sudah tidak berapa laku lagi pada ketika anak-anak muda beralih ke medan komunikasi baharu.
Pada zaman sukar ini, eloklah kita lihat paparan diri saya ini untuk 'orang di atas' sana merencana pelan belanjawan mereka. Kerajaan baharu menjanjikan sejumlah perkara yang muluk-muluk untuk rakyat...jadi apa salah pemimpin-pemimpinnya mendengar keluhan ini...
Keperluan asas manusia ada tiga saja - makanan, tempat tinggal dan pakaian. Jadi baiklah kita tumpukan kepada hal-hal ini saja supaya 'orang di atas' sana tahu, mahu faham dan seterusnya melakukan tindakan.
1. Makanan (duitlah tu). Harga barangan makanan tersangatlah mahal wahai tuan-tuan. Selepas 'pencen' dan duduk di rumah saya tahulah - beras 10 kg kira-kira RM30; kalau jenis yang baik (basmati) boleh sampai RM70-RM80. Ikan kembong dan cencacaru yang 'koman' tu pun boleh sampai RM18...daging lembu usah cakaplah sudah samapi RM30-RM40 sekg. Harga cili kering pun sudah RM10-RM15 sekg. Gas pula hampir RM30 sebalang. Kesimpulannya belanja dapur bagi keluarga sederhana, RM500 pun tak cukup!
Kalau makan di luar,,,uuhh lagi dahsyat. Sepinggan nasi campur paling murah pun RM5-RM10; mi goreng atau mi rebus sudah RM7-RM8. Mahu makan ikan bakar, mi udang, sate, KFC dan sebagainya...bagi satu keluarga sederhana kalau tak bawak RM100 - RM300, jangan cuba-cubalah. Nanti malu dibuatnya!
2. Tempat tinggal. Alhamdulillah saya sudah ada tempat tinggal. Rumah sederhana di kampung saya bina atas tanah ayah. Puluhan tahun dulu saya bina dengan kos RM50,000. Sekarang ini terkejut saya anak-anak nak beli rumah di Bandar Seri Putra RM400,000, pangsapuri di pinggir sebuah bandar hampir RM200,000. Ya rumah-rumah ini macam mampu pandang saja! Kalau macam tu, rakyat miskin mahu duduk di mana...di dalam gua atau di bawah jambatan dan jejambat? Bercakap pasal kediaman ini, kena cakap pasal pembayaran utiliti - baru-baru ini bil elektrik rumah saya RM350 melambung daripada kira-kira RM200 sebulan pada masa lalu...ya apa sudah jadi?
3. Pakaian...bagi diri sendiri saya tak kisah sangat. Apa yang masih elok pakainya tetapi bagaimana anak isteri...bagi anak yang sekolah...harga bagi pakaian sekolah mereka disertakan dengan kelengkapan lain seperti beg, kasut apabila memasuki tahun baru tidak lama lagi boleh menjangkau RM500 seorang..kalau ada dua orang sudah RM1,000...itu belum masuk bab makan minum, tambang bas dan yuran lagi...ya mana nak 'cekau' duit ni?
KESIMPULANNYA...ada rakyat sedang 'nazak' wahai pemimpin di atas sana...Jika 'warga biasa' yang sinonim dengan bab kemiskinan ini merintih sedemikian rupa...bagaimana agaknya warga Utusan yang baru saja kehilangan periuk nasi...didoakan anda semua tabah dan sabar menghadapi dugaan hidup ini...insya-Allah ada sinar di hujung terowong...