Tuesday, July 23, 2019

Rumah tangga 5: Mula-mula 'harum', lepas tu...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. - Maksud Ayat Al-Quran, Al-Isra', 17:1.

ORANG muda berkata kerana cinta punya pasal lautan api pun sanggup kurenangi...ya, itu kisah pasangan sedang menyulam cinta atau baharu kahwin tetapi apa akan berlaku selepas 10, 20, 30 atau 40 tahun melayari rumah tangga? Biasalah, ada pasangan terus bahagia tetapi tidak kurang juga yang sengsara.

Baru-baru ini saya ke Tanjung Balai di Karimun, Indonesia; pulau ini boleh dijejaki dalam masa sejam saja dengan menaiki feri di Kukup, Johor. Dalam mencari maklumat mengenai destinasi kembara ini saya melakukan pencarian di internet, ketemu saya dengan sebuah blog yang mengkisahkan majlis perminangan seorang pemuda Semenanjung dengan gadis Karimun. Ya apalah sangat dengan laut Selat Melaka kerana lautan api pun sanggup kurenangi demi cintaku padamu.

Penulis blog itu menyatakan majlis peminangan orang Melayu di Karimun sama seperti orang Melayu di Semenanjung, cuma orang Karimun masih tebal dengan adatnya - ada majlis 'pantun memantun' dan penyerahan barangan hantaran. Ada tukang serah dan antara barangan wajib adalah tepak sirih, sirih junjung, bunga rampai, cincin tanda dan 'wang hangus'. Sama seperti di Semenjung jumlah dulang hantaran adalah dalam angka ganjil, 7, 9 dan sebagainya.

Demikianlah, apabila nak kahwin ke seberang laut pun kita tak kisah maklumlah lautan api pun sanggup kurenangi...waduh waduh tetapi selepas 5 atau 10 tahun kahwin isteri suruh mandikan anak dalam besen di bilik air pun sang suami 'mengelat'...ya inilah antara faktor yang memungkinkan rumah tangga menghadapi krisis demi krisis.

Berceloteh pasal rumah tangga ini, baru-baru ini ketika duduk-duduk di berada sebuah masjid, penulis ketemui sebuah buku menarik bertajuk 'Asam Garam Rumah Tangga' karya Dato' Haji Mohd Yunus Mohd Yatim yang pernah menjadi Mufti Negeri Melaka.

Buku terbitan bersama Majlis /Jabatan Agama Islam Melaka ini menghimpunan kira-kira 50 kisah rumah tangga; ada banyak kisah menarik antaranya dengan tajuk 'Ibu mentua tempeleng menantu di pejabat kadi', 'Isteri disuruh beranak, dia mahu kahwin lagi', 'Buruh curi cap jari isteri kerana mahu kahwin lagi', 'Sangkanya isteri yang tidur rupanya ibu mentua' dan 'Suami tuduh kadi syokkan isterinya'.

Insya-Allah pesanan Mufti melalui 'Sepatah Kata' beliau dapat dijadikan panduan untuk suami isteri dan masyarakat. Mufti menyatakan:- Sesungguhnya perkahwinan adalah satu ikatan suci lagi mulia, kerana ia tuntutan syariat Allah dan sunnah Rasul s.a.w.

Hendaknya ikatan tersebut kekal abadi, mudah-mudahan akan dijauhkan Allah daripada berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Rumah tangga yang didirikan atas asas kasih sayang itu hendaknya tidak berakhir dengan kehampaan dan linangan air mata, kesudahan yang tidak diingini oleh sesiapa; anak pula menjadi mangsa.

Buku Asam Garam Rumah Tangga ini dapat membuka mata dan minda pasangan suami isteri dengan isu-isu dan masalah rumah tangga yang sering berlaku sepanjang hidup mereka. Peristiwa-peristiwa yang dimuatkan adalah benar, cuma nama wataknya ditukar. Semoga kisah-kisah ini akan menjadi penasihat yang bijak dan menambah pengalaman bagi memberikan tunjuk ajar yang sangat berguna kepada kita semua semoga dapat melayari rumah tangga sebaik-baiknya.

Ya, awal-awal melayari rumah tangga semuanya harum belaka..tetapi selepas 10,20,30, 40 tahun iaitu selepas menghadapi gelombong ujian menyebabkan kebanyakan lelaki 'bertaubat' daripada menyebut 'lautan api pun sanggup kurenangi' kerana sebaga insan kerdil dan lemah kita kerap 'lemas' dalam mengharungi badai kehidupan ini apatah lagi dalam 'lautan api'.

Untuk selamat,, perbaharuilah niat anda berumah tangga - insya-Allah jika kerana semata-mata kerana-Nya, anda sebagai suami isteri akan berbahagia dunia akhir, ya 'till to jannah' kata orang-orang muda sekarang!

Dan ingatlah pesanan seorang tok guru ini: - "jika mahu 'mufarakah', malulah pada anak cucu, menantu serta cicit!"

No comments: