Monday, June 24, 2019

Rumah tangga 1: Bersabarlah sampai kita atau si dia mati...


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

HASBI Rabbi, Hasbi Rabbi Jallallah, Ma Fi Qalbi, Ma Fi Qalbi  Ghairullah...alunan zikir ini yang dilantunkan oleh seseorang secara kuat memecahkan keheningan dhuha di sebuah masjid ketika saya beriiktikaf pada suatu hari pada 10 hari terakhir Ramadan,

Hari itu selepas solat subuh berjemaah dan mengikuti kuliah subuh, saya bergegas ke suatu lokasi sunyi dalam masjid untuk meneruskan ibadat secara bersendirian seperti mendirikan solat dhuha dan membaca al-Quran.

Memanglah pada awalnya zikir itu mengetarkan jiwa tetapi apabila diulang berterusan secara kuat-kuat, dirasakan 'semacam' oleh jiwa saya yang kotor ini. Ia mengganggu konsentrasi saya. Nak berzikir kenapa perlu kuat-kuat...nak menunjuk-menunjuklah tu, bisik hati saya yang busuk...zikir diam-diam tak boleh ke?

Sekalipun terganggu dan 'bengang', saya meneruskan 'urusan' saya dan beberapa jam kemudian ketika melangkah meninggalkan masjid, di suatu penjuru saya hampir terlanggar jemaah yang agak saya berzikir dengan kuat tadi.

Selepas meminta maaf dan mahu bergegas pergi, dia sebaliknya menahan saya dan mengajak saya berbual. Dia mendakwa kurang nampak kerana berpenyakit glaukoma. Jadi dia mengajak saya duduk dekat-dekat...maka berbual-buallah kami, pada mulanya saya agak perbulan akan singkat tetapi akhirnya berlarutan sejam dua.

Apa yang menyebabkan saya bagaikan 'digam' di situ adalah IC dan lesen memandu yang ditunjukkan lelaki itu. Namanya Muhammad.........bin Abdullah; di tengah-tengahnya ada nama India. Jadi dulunya dia orang bukan Islam yang kembali kepada Islam (fitrah). Katanya dia menjadi Islam ketika diserahkan kepada seorang peniaga India Muslim oleh keluarganya ketika dia berusia 13 tahun, sekarang umurnya sudah hampir 50 tahun.

Panjang kisah hidupnya, katanya sekarang dia 'happy' sebab itu dia berzikir dan bernasyid dengan nada kuat dalam masjid. "Saya gembira dan mahu menggembirakan orang lain," katanya yang mengaku turut 'membuat lawak' di pasar malam dan sebagainya.

Beliau mendakwa menjadi 'happy' kerana kini menjadi 'solo' (tiada tanggungan). Dia berkahwin dua kali. Kali pertama ketika dia kaya kerana diberi amanah meneruskan bisnes bapa angkat. Ada sebuah keluarga India Muslim tertarik kepadanya lalu mahu menjadikan dia menantu.

Rumah tangganya hancur selepas dia ada tiga anak. Dakwanya isterinya tak dengar cakap, dia gunakan 'kuasa tangan' untuk mengajar sang isteri. Isterinya lari membawa tiga anak bersama. Akhirnya dia ceraikan isteri dan 'lepaslah tanggungannya', dakwanya.

Kemudian dia berkahwin dengan seorang janda dua anak. Bersama wanita keturunan Mamak ini, dia mendapat seorang lagi anak. Sama seperti isteri pertama dia mengajar isteri menggunakan 'kuasa tangan'. Akhirnya, isteri dan anak-anak 'ghaib'. Isteri ini belum dicerai tetapi 'keberadaan' dia dan anak-anak tidak diketahui.

Sekarang selepas 'merdeka' daripada anak isteri, 'si tambi' yang baru saya kenali itu berkata dia sangat 'happy'. Masanya dihabiskan di masjid - makan minum pada Ramadan ini cukup mudah - makanan sahur ada, apatah lagi masa berbuka. Jadi tak ada apa nak dirisaukan.

Apabila selesai mengkisahkan hal dirinya, tibalah giliran saya 'membuka mulut'. Saya mengulang apa yang pernah dicakap oleh seorang ustaz ketika saya mengikuti kelas pengajiannya. Katanya, seorang lelaki di akhirat kelak akan ada empat golongan perempuan yang 'menarik kakinya' ketika dia mahu memasuki syurga.

Orang itu adalah ibunya, isterinya, anak perempuannya dan adik beradik perempuannya. Semuanya adalah dalam tanggungjawab lelaki - misalnya sang anak akan mengadu sang ayah gagal mendidiknya, demikian juga si isteri. Akibatnya si lelaki akan dihumbankan ke neraka. nauzubillah.

Saya bertanya lelaki itu apa dia sudah buat kepada anak-anaknya yang katanya semua perempuan. Semuanya dalam lingkungan umur remaja. Adakah dia sudah mengajar mereka mengenai hal ehwal agama seperti tauhid, akhlak, ibadat dan aurat...ya dia tak boleh lepas tangan dalam perkara ini. Dia bertanggungjawab ke atas mereka.

Saya perhatikan wajah lelaki itu menjadi pucat...dia berkata, ya kah, saya tak tahu pun... Saya berkata dengan tegas, ya! Dia tertunduk, dan dengan suara sebak tertahan-tahan dia berkata hari raya ini dia akan mulai keluar mencari anak-anaknya...sekarang dia tidak tahu di mana mereka berada...

Dia juga berkata dia akan berusaha mencari mak dan bapa kandungnya selepas saya berkata kebaktian seorang anak kepada kedua-dua orang tua tetap ada sekalipun mereka bukan Islam. Katanya, dia tidak tahu sama ada mereka masih hidup atau tidak, tetapi dia akan berusaha mengesan keberadaan mereka.

Lelaki itu mengaku tindakan memukul (mengasari) isteri tidak berjaya mengatasi masalah rumah tangga. Bukan lelaki ini saja mengalaminya, sejumlah lagi lelaki yang saya temui membawa diri ke masjid selepas ditinggalkan anak isteri, kebanyakan mereka mengaku berkasar seperti memukul isteri menyebabkan mereka melarikan diri. 

Akhirnya sang suami terkontang-kanting membawa diri, alhamdulillah jika mereka ke masjid tetapi jika ke pub, kelab malam dan sebagainya, apakah kesudahan ceritanya...

Seorang ustaz yang cukup popular mengenai bab rumah tangga, Ustaz Muhammad Abdullah Al-Amin (Ustaz Amin) apabila bercakap mengenai penyelesaian masalah rumah tangga selalu mengingatkan agar suami isteri lebih-lebih lagi sang suami agar bersabar, bersabar dan terus bersabar...ya sampai bila? Katanya bersabarlah sampai kita mati atau si dia mati!

No comments: